Kyogo Furuhashi Tolong Kutip Sampah Selepas Dikeluarkan Ketika Bertemu Bayer Leverkusen

Celtic tewas di tangan Bayer Leverkusen dalam aksi saingan Europa League awal pagi semalam, namun salah seorang pemain mereka mencuri perhatian peminat atas sikap terpuji yang beliau pamerkan.

Wakil dari Scottish Premiership itu menghadapi kekalahan kedua mereka dari dua perlawanan terakhir dalam saingan Europa League.

Kekalahan berganda ini menyebabkan laluan untuk Celtic mara ke peringkat seterusnya sedikit sukar melainkan mereka mampu mencatatkan kemenangan dalam semua baki perlawanan.

Bahkan ia juga perlu bergantung kepada keputusan perlawanan pasukan lain untuk menentukan adakah mereka bakal layak atau tidak.

Walaupun segalanya seperti tidak berpihak pada Celtic di atas padang dengan mereka dibelasah 4-0 di halaman mereka sendiri.

Para penyokong Celtic walau bagaimanapun tetap mampu berbangga dengan salah seorang pemain mereka yang menunjukkan sikap terpuji.

Kyogo Furuhashi menunjukkan sikap terpuji dengan beliau mengutip sampah di tepi padang selepas beliau dikeluarkan.

Pemain kebangsaan Jepun itu dikeluarkan pada minit ke-74 permainan dengan perlawanan ini merupakan aksi pertama beliau sejak dari rehat antarabangsa sebelum ini.

Berbanding terus duduk di tempat duduk pemain simpanan, Kyogo memilih untuk mengucapkan terima kasih pada para penyokong, dan sambil berjalan, beliau mengutip sampah-sampah yang ada di tepi padang.

Ketika beliau mengutip sampah tersebut, ada peminat yang merakam aksi terpuji Kyogo Furuhashi dan ramai yang memuji beliau atas kemuliaan hatinya itu.

Ia sememangnya sudah menjadi budaya untuk orang-orang Jepun, dengan mereka terkenal sebagai manusia yang mementingkan amalan mulia seperti itu.

Ini juga bukanlah kali pertama para pemain Jepun dipuji atas sikap mulia tersebut, dengan pemain kebangsaan mereka sendiri pernah dipuji kerana membersihkan pilih persalinan ketika aksi Piala Dunia 2018 yang lalu.

Jepun pada ketika itu tewas 3-2 di tangan Belgium di pusingan 16 terbaik, dengan skuad kendalian Roberto Martinez itu sememangnya pilihan utama untuk memenangi kejohanan tersebut.

Nacer Chadli menjaringkan gol kemenangan untuk Belgium pada minit ke-94 permainan, dan menyingkirkan Jepun dari kejohanan.

Kekalahan tipis dan bolos di minit akhir jelas bakal mengoyakkan emosi para pemain, namun skuad Jepun tetap menunjukkan sikap terpuji mereka dengan membersihkan bilik persalinan.

Mereka meninggalkan bilik persalinan dalam keadaan bersih, kemas dan ia seolah-olah belum digunakan oleh mereka sebelum itu.

Tindakan mereka itu telah mencuri perhatian ramai dengan para peminat seluruh dunia memuji kemuliaan hati skuad kebangsaan Jepun dalam menjaga kebersihan persekitaran mereka.

Setahun selepas itu, skuad yang sama sekali lagi mencuri perhatian ramai, dengan mereka melakukan hal yang sama ketika tersingkir dari saingan Piala Asia di Qatar.

Bukan hanya para pemain yang gemar melakukan hal tersebut, para penyokong Jepun juga sering melakukan hal terpuji itu tidak kira di mana mereka berada.

Para penyokong Jepun akan mengutip sampah sebelum mereka meninggalkan stadium dan mereka melakukan hal tersebut beramai-ramai.

Pada Jun 2019, pasukan bola sepak wanita Jepun berjaya menewaskan Scotland dalam aksi Piala Dunia Wanita, selepas tamat perlawanan tersebut, para penyokong mereka mengutip segala sampah yang ada di tempat duduk penonton.

Melihat kemuliaan hati para penyokong Jepun, para penyokong Scotland turut sama mengikut jejak langkah mereka, dengan turut sama membantu untuk mengutip sampah-sampah yang ada.

Ketika saingan Euro, jalan-jalan di London di lihat berada dalam keadaan yang sangat teruk selepas tamat aksi seri bertemu Scotland.

Para penyokong Scotland selepas tamat perlawanan tersebut telah mengutip segala sampah yang ada dan membantu petugas kebersihan untuk membersihkan kawasan yang terjejas.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Asal Usul Lagu Keramat Liverpool, You'll Never Walk Alone