La Liga 2019/20: Barcelona 2-2 Atletico Madrid

Barcelona melayan kunjungan Atletico Madrid ke Nou Camp untuk aksi perlawanan liga yang ke- 33 musim ini. Gergasi Catalan itu mempunyai misi wajib menang untuk terus memberi saingan kepada Real Madrid yang kini sedang mendahului carta La Liga.

Kedua-dua pasukan menurunkan kesebelasan terbaik mereka untuk perlawanan pada awal pagi tadi.

Barcelona kini ketinggalan dua mata di belakang Real Madrid dengan mengumpul 69 mata dan Atletico Madrid pula berada di kedudukan ketiga dengan mengumpul 58 mata.

Perlawanan bermula dengan sungguh menarik untuk ditonton, kedua-dua pasukan bermula dengan tempo permainan laju dan saling berbalas serangan.

Pada minit ke-11 perlawanan, hasil dari satu sepakan penjuru dari Lionel Messi yang cantik dan kemas berjaya menemui kaki Diego Costa yang kemudiannya menampan bola tersebut masuk ke gawang gol nya sendiri.

Walaupun menjaringkan gol sendiri, namun gol tersebut agak cantik juga sebenarnya dari Costa yang kemas menampan bola hantaran Messi ke gawang golnya sendiri.

Lapan minit kemudian, Atletico telah dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan dan Diego Costa diberikan tugas untuk menyempurnakan sepakan penalti tersebut.

Sayangnya Diego Costa gagal untuk menjaringkan gol dari tendangan penalti itu, tetapi nasib Atletico agak baik kerana pengadil perlawanan telah membatalkan sepakan itu kerana Ter Stegen tidak berdiri di atas garisan ketika Costa mahu mengambil sepakan penalti itu.

Saul Niguez dipertanggungjawabkan untuk mengambil sepakan penalti kali kedua ini dan beliau dengan tenang berjaya untuk menewaskan Ter Stegen untuk gol penyamaan Atletico.

Kedua-dua pasukan terus menerus saling berbalas serangan tetapi tiada tambahan jaringan berjaya dihasilkan. Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan keputusan 1-1.

Masuk babak kedua, perlawanan menjadi semakin hangat dan kedua-dua pasukan merencana serangan dengan begitu baik sekali.

Pada minit ke-50, Barcelona dihadiahkan sepakan penalti selepas Ansu Fati dijatuhkan di dalam kotak penalti Atletico Madrid.

Lionel Messi berjaya menyempurnakan tendangan penalti itu dengan panenka yang cukup cantik dan sempurna. Gol jaringan Lionel Messi itu merupakan gol ke-700 kariernya.

Messi sepanjang kariernya telah berjaya menjaringkan 700 gol, 630 gol untuk Barcelona dan 70 gol lagi untuk pasukan kebangsaan beliau, Argentina.

Messi dan rakan sepasukannya meraikan gol tersebut dengan gembira memikirkan bahawa mereka sudah menang dan mampu untuk memberi saingan kepada Real Madrid di puncak Liga.

Sayangnya terjadi satu lagi insiden kontroversi yang mana Atletico sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti 12 minit selepas Messi menjaringkan gol pendahuluan untuk Barcelona.

Yannick Carrasco dijatuhkan dalam kotak penalti dan Atletico dihadiahkan sepakan penalti, Saul Niguez sekali lagi dipertanggungjawabkan untuk mengambil tendangan penalti itu dan beliau berjaya menjaringkan gol penyamaan untuk Atletico.

Perlawanan tamat dengan keputusan seri 2-2 sama dan Barcelona kehilangan dua mata berharga yang sepatutnya mereka dapati di Nou Camp.

Real Madrid mampu untuk menjarakkan empat mata di hadapan sekiranya mereka menang perlawanan selepas ini.

Senarai Pemain Barcelona Dan Atletico Madrid:

Kesebelasan utama Barcelona

Marc Andre Ter Stegen, Jordi Alba, Clement lenglet, Gerrard Pique, Nelson Semedo, Arturo Vidal, Sergio Busquets, Ivan Rakitic, Riqui puig, Luis Suarez, Lionel Messi.

Pemain simpanan

Inaki Pena, Neto, Samuel Umtiti, Junior Firpo, Ronald Araujo, Sergio Roberto, Monchu, Alex Collado, Arthur, Antoine Griezmann, Ansu Fati, Martin Braithwaite.

Kesebelasan utama Atletico Madrid

Jan Oblak, Santiago Arias, Felipe, Jose Gimenez, Renan Lodi, Angel Correa, Thomas Partey, Saul Niguez, Yannick Carrasco, Diego Costa, Marcos Llorente.

Pemain simpanan

Antonio Adan, Mario Hermoso, Kieran Trippier, Ricard Sanchez, Manuel Sanchez, Vitolo, Alvaro Garcia, Hector Herrera, Thomas Lemar, Alvaro Morata, Ivan Saponjic, Joao Felix.

BACA:  "Terhebat Di Dunia" - Shakira Puji Suami Selepas Aksi El Clasico