La Liga Enggan Terima Bayaran PSG Terhadap Neymar

Pengendali liga bola sepak Sepanyol, La Liga, hari ini enggan untuk menerima dan mengesahkan transaksi pembelian pemain Barcelona, Neymar, oleh PSG yang dilaporkan sebanyak €222 juta (RM 1.13 billion), menurut jurnalis Sky Sports, Kaveh Solhekol di laman Twitternya.

Kaveh turut mendakwa bahawa lima peguam PSG/Neymar telah tiba di ibu pejabat La Liga di Madrid, dan keluar hanya selepas 15 minit.

La Liga dikatakan enggan dibuli wakil PSG dan Neymar, selain sangsi dengan kemampuan PSG untuk membayar jumlah tersebut tanpa melanggar peraturan Financial Fair Play yang ditetapkan oleh UEFA.

Tidak lama kemudian, La Liga telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi di BBC Sport, mengesahkan mereka telah menerima kunjungan wakil pemain dan kelab tersebut.

“We can confirm that the lawyers of the player (Neymar) have come to La Liga to deposit the clause and that it has been rejected. It is all the information we will give so far.”

Terjemahannya adalah seperti berikut :

Kami sahkan bahawa peguam pemain (Neymar) telah hadir ke La Liga untuk membayar deposit klausa dan ia telah ditolak. Itu sahaja informasi yang dapat kami berikan setakat ini.”

Andai perpindahan ini akhirnya diterima, Neymar akan menjadi antara pemain yang menerima gaji paling tinggi di dunia – £500,000 (RM 3 juta) seminggu selepas cukai, selain bakal mendabik dada untuk berpuluh tahun akan datang sebagai pemain termahal di dunia.

Neymar juga dilaporkan sudah mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan di Barcelona, dan pada masa yang sama beberapa pemain utama La Blaugrana juga sudah mula menyampah dengan situasi sekarang.

Apakah nasib Neymar selepas ini?

Kalau perpindahan tak jadi, malu juga nak patah balik. Ye lah, dah salam-salam, cium-cium dan peluk-peluk, kan?

Sumber berita : SportsBible

Baca Juga

Baca Juga