Lacazette Percaya Europa League Mampu Selamatkan Arsene Wenger

Penyerang Arsenal, Alexander Lacazette percaya menjuarai Europa League musim ini akan membantu Arsene Wenger kekal sebagai pengurus pasukan sekurang-kurangnya semusim lagi.

Arsenal telah diundi bertemu lawan sukar, Atletico Madrid dalam pusingan separuh akhir dalam undian yang berlangsung Jumaat lalu. Sebelum ini, Arsenal berjaya mengenepikan cabaran Ostersunds, AC Milan dan CSKA Moscow untuk mara ke separuh akhir.

Lacazette tidak mahu kehilangan bapa angkatnya, Wenger

Selepas melalui tempoh yang sukar sekitar Februari dan Mac tahun ini, Wenger berjaya mengemudi pasukannya untuk meraih 6 kemenangan dari 7 perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan.

Arsenal hampir pasti akan menamatkan musim ini di kedudukan luar Top 4 untuk dua musim berturut-turut sekaligus terlepas slot ke Liga Juara-Juara. Peluang mereka untuk bermain dalam kejohanan tersebut kini bergantung sama ada mereka mampu menjuarai Europa League atau tidak dengan pemenang bakal mendapat satu slot automatik ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim hadapan.

Mengetahui kepentingan Europa League kepada Arsenal, pemain kedua termahal dalam sejarah Arsenal, Lacazette berazam untuk membantu pasukannya menjuarai kejohanan tersebut musim ini bagi menyelamatkan karier Wenger selaku pengurus Arsenal.

Lord Welbeck dalam prestasi terbaik menjelang pertemuan menentang Atletico Madrid tidak lama lagi

“Menjuarai Europa League mungkin satu-satunya cara untuk Wenger kekal di Arsenal musim hadapan kerana beliau telah banyak berjasa kepada kelab ini.”

“Ia juga mampu menyelamatkan musim kami kerana dalam Liga Perdana Inggeris, kami tidak mempamerkan prestasi yang baik.”

Final Europa League bakal berlangsung di venue yang dekat dengan Lacazette, iaitu stadium kepada kelab lamanya, Parc Olympique Lyonnais.

Aaron Ramsey juga tidak kurang hebatnya

Lacazette merupakan anak kelahiran Lyon dan telah berjaya menjaringkan lebih 100 gol untuk kelab tersebut sejak melakukan debut untuk pasukan utama pada tahun 2010. Lacazette meninggalkan kelab tersayangnya itu pada musim panas lalu dalam perjanjian bernilai £53juta dan beliau amat berharap mampu kembali ke Lyon dengan menjulang trofi Europa League.

“Saya mahu bermain di perlawanan final bukan hanya disebabkan saya akan bermain di hadapan keluarga dan kawan-kawan, tetapi kerana saya menyertai Arsenal untuk memenangi lebih banyak trofi.”

Sepanjang laluan Arsenal ke separuh akhir, Lacazette berjaya menyumbang dua gol tetapi jumlah tersebut mungkin lebih tinggi sekiranya beliau tidak mengalami kecederaan awal Februari lalu.

BACA:  Pemain Berusia 34 Tahun Bakal Jadi Pemain Pertama Dibawa Masuk Unai Emery