Lagenda Kelab Percaya Martial Mampu Membawa Manchester United Menjadi Pasukan Tak Terkalahkan

Bekas penyerang sensasi Manchester United, Louis Saha, percaya bahawa pasukan tersebut itu mampu diselamatkan oleh penyerang Perancis, Anthony Martial, dan bakal menjadikan pasukan tersebut menjadi sebuah pasukan yang kebal.

Pasukan Manchester United kini bagaikan sebuah kapal yang hampir pecah dek dilanda badai ombak yang kuat, dan seorang nahkoda baru telah dilantik bagi membantu menstabilkan kapal buat sementara waktu.

Dalam keadaan semasa, Syaithon Merah telah berjaya menempah tiket ke slot pusingan kalah mati di kejohanan Liga Juara-Juara UEFA selepas berjaya muncul pemenang menewaskan wakil dari Sepanyol, Villareal pada hari Selasa lalu, beberapa hari selepas pengurus Ole Gunnar Solskjaer dipecat.

Pembantu Solskjaer, Michael Carrick, telah ditugaskan untuk memangku jawatan sebagai ketua jurulatih dalam perlawanan tersebut dan telah berjaya membawa pulang tiga mata berharga ke England selepas Cristiano Ronaldo dan Jadon Sancho telah menjaringkan gol buat pasukan mereka.

Perlawanan tersebut juga menyaksikan pemain seperti Marcus Rashford dan Bruno Fernandes telah dipinggirkan ke bangku simpanan, manakala Edinson Cavani dan Mason Greenwood masih bertarung dengan masalah kecederaan dan kesihatan.

Usai tamat perlawanan, timbul desas desus berita yang mengatakan bahawa pengurus berbangsa Jerman, Ralf Rangnick bakal dilantik untuk menduduki kerusi panas tersebut sehinggga tamat saingan pada musim ini.

Dengan adanya seorang pengendali yang baharu, sebahagian besar daripada para penyokong telah berbincang dan membuat teori sama ada pemain United yang sedia ada mampu untuk bangkit dan kembali menjadikan pasukan Syaithon Merah kembali digeruni seperti dahulu.

Saha, mempunyai pendapatnya sendiri di mana dia berasakan bahawa penyerang yang kerap kali tenggelam timbul, Martial, bakal menjadi senjata utama pasukannya sekaligus membawa pasukan yang bertapak di Old Trafford itu tidak mampu dikalahkan oleh mana-mana pasukan.

Saha yang telah berjaya memenangi liga dua kali bersama United, telah mengatakan bahawa Martial dan rakan serangannya bakal mengubah nasib kelab yang bertukar daripada pasukan digeruni kepada bahan jenaka tersebut, dan membawa pasukan mendaki carta liga di mana pada ketika ini mereka berada di tangga kelapan.

“Sebab Liga Perdana adalah marathon, aku percaya diorang boleh beraksi baik semula dan terus mencabar,” ujar Saha kepada media Inggeris, Metro.co.uk.

“Bila diorang dah temukan rentak, diorang memang tak dapat ditandingi disebabkan oleh empat pemain yang mana salah seorang daripadanya adalah yang terbaik dalam Liga Perdana.

Martial sememangnya sering menjadi mangsa cacian peminat setiap kali United tewas sebelum ini

“Sudah pasti, diorang perlu juga bertahan dan pastikan bahawa kedudukan pasukan adalah seimbang.

“Tapi bilamana diorang tu sudah berjaya menemukan formula yang betul dan semuanya berjalan lancar – terutamanya pasal benda dalam kepala diorang yang mana aku tengok diorang terlalu banyak berfikir – para pemain tu memang tak dapat dihentikan bila diorang bermain secara biasa.

“Pada waktu kemuncak, tiada siapa pun yang dapat menyentuh empat atau lima pemain di barisan hadapan.

“Martial, bila dia tengah sedap, memang tak tertandingi langsung.

“Meletakkan diorang semua tu di posisi dan keadaan yang tepat, diorang akan terbang.

“Tapi apapun, semuanya berbalik kepada kerendahan hati dan juga tahap pemikiran.

“Aku yakin yang diorang tu yakin tapi diorang perlu mempunyai gaya pemikiran yang diorang perlu buat benda yang tidak disukai dan bekerja keras demi pasukan,” ujar Saha.

Pada minggu ini, United sekali lagi bakal berdepan tugas getir apabila bakal bertemu pendahulu liga, Chelsea.

Setakat ini, Chelsea sudah berjaya mengumpul 29 mata dan menjaringkan 30 gol serta hanya bolos empat kali. Daripada 12 perlawanan liga, pasukan The Blues telah memenangi sembilan perlawanan, dua kali seri dan hanya tewas sekali.

Dengan pasukan yang agak tidak stabil, mampukah United mencipta kejutan nanti?

Berita : Metro

BACA:  Penyokong Liverpool Bergurau Mengusik Pemain United Menjelang Sepak Mula Aksi Babak Kedua