Lampard Dedah Masalah Sebenar Beliau Dengan Kante Ketika Kariernya Di Stamford Bridge

Frank Lampard mendedahkan yang beliau hanya ada satu masalah sahaja dengan N’Golo Kante ketika kariernya sebagai pengurus Chelsea.

Lampard dipecat dari jawatan yang beliau impikan di Stamford Bridge, pada Januari lalu selepas bergelar pengurus Chelsea selama satu musim setengah.

Beliau dalam tempoh tersebut telah melalui pelbagai masalah dan terpalit dengan bermacam isu kontroversi termasuk melibatkan dirinya bersama Kante.

Sejak pemergian Frank Lampard, Thomas Tuchel telah dilantik untuk menjadi pengurus Chelsea dan beliau berjaya mendapatkan semula rentak permainan terbaik Kante.

Tuchel berjaya membawa Kante kembali ke tahap yang terbaiknya, dengan pemenang Piala Dunia 2018 itu menjadi watak terpenting dalam membantu The Blues menjuarai Champions League musim lalu.

Dalam aksi seri 2-2 yang dicatatkan oleh Perancis ketika bertemu Portugal, bekas pengurus Chelsea yang ketika itu berada di studio BBC Sport telah menyatakan keterujaan beliau melihat aksi Kante.

Lampard ketika itu telah menyatakan bahawa:

“Masalah yang paling utama saya nampak dengan dia adalah saya sentiasa cuba menahan dia ketika sesi latihan kerana setiap hari dia akan berlatih, dan dia akan melepaskan segalanya ketika berlawan dalam latihan, dan saya perlu cuba kawal dia, tak boleh biarkan dia keluarkan segala dia ada pada ketika itu.”

Lampard kemudian menjelaskan tentang posisi terbaik untuk Kante dengan beliau sesekali memainkan pemain Perancis itu di peranan yang lebih kepada menyerang.

Kebanyakan peminat dan pundit turut mempersoalkan hal tersebut yang mana mereka rasakan Kante tidak sesuai untuk bermain di posisi serangan.

“Ketika saya tiba di Chelsea, Kante telah digunakan dengan sangat kerap dalam beberapa musim sebelum itu, kerana semua orang terlalu bergantung kepada dia, dia kemudiannya mengalami kecederaan hingga membawa ke musim pertama saya. Kita kerap kehilangan dia.”

“Kamu akan benar-benar rasa kehilangan bila N’Golo Kante tidak bermain dalam perlawanan besar kerana dia merupakan pemain penting dalam perlawanan seperti itu. Tidak ada orang berani bermain berdepan dengan dia kerana kemampuan yang dia ada.”

“Dalam semua perlawanan penting, perlawanan akhir, pertandingan bola sepak, pemain seperti Kante sungguh priceless.”

Kante telah membuktikan betapa pentingnya beliau untuk skuad kebangsaan Perancis di kejohanan Euro 2020 ini.

Beliau memainkan peranan penting dalam membantu Perancis untuk bergelar Juara kumpulan F seterusnya mara ke pusingan kalah mati.

Beliau kerap diturunkan di posisi tengah dan kerana beliau mempunyai kemampuan bertahan yang sungguh luar biasa menakjubkan, maka pemain yang lebih kearah menyerang seperti Pogba mampu untuk lebih bersinar.

“Sebab utama mengapa beliau begitu bagus, adalah kerana dia yang terhebat di dunia untuk menjadi seorang pemusnah. Ketika saya mengatakan pemusnah, saya bercakap tentang cara dia memenangi bola semula.”

“Untuk memenangi semula bola dengan kemampuan dia, dengan kelajuan yang dia ada untuk masuk ke ruang sempit dan merapatkan jurang, sumbangan terbesar dia untuk saya adalah daya pemusnah dia, meninggalkan kawasan untuk memenangi bola semula.”

“Dia merupakan jenis pemain holding midfielder klasik, pemain yang sentiasa ada di depan back four, Mekelele turut melakukan hal yang sama sebelum ini bersama Chelsea.”

“Tapi dia mempunyai sesuatu yang jauh lebih baik dalam permainannya. Ketika kamu lihat jarak dia menghampiri pemain lain, dengan larian dan kelajuan, itu merupakan satu hal yang istimewa tentang dia. Ia sesuatu yang sangat unik.”

Kante kebiasaannya akan lebih bersinar ketika beliau beraksi bertemu pasukan besar, lihat saja bagaimana aksinya jika beliau beraksi bertemu Sepanyol, Belgium atau Itali selepas ini.

Lampard turut menegaskan yang beliau sedar akan kebijaksanaan Kante dengan menyatakan:

“Dia mampu untuk lakukan banyak tugas dalam satu masa yang sama. Dia jadikan orang sekeliling dia semakin bagus, dia bantu semua orang.”

Selepas mendengar apa yang dijelaskan oleh Lampard, beliau sepertinya menyesal kerana mengabaikan Kante sebelum ini.

Walau beliau banyak memuji Kante, namun ketika beliau menjadi pengurus Chelsea, Lampard tidak menggunakan pemain Perancis itu dengan baik.

Selain meletakkan Kante di posisi lebih kepada menyerang, beliau juga sering mengetepikan pemain midfield itu dari kesebelasan utamanya.

Namun selepas melihat Kante masih hebat dan masih belum habis peak nya, Lampard tidak henti-henti memuji calon pemenang Ballon D’or itu.

Menurut Lampard, satu-satunya masalah Kante adalah beliau terlalu bekerja keras ketika sesi latihan, selain dari itu bekas pengurus Chelsea itu hanya memberikan pujian sahaja terhadap Kante.

Namun sepertinya alasan itu tidak cukup kuat untuk beliau ketepikan Kante dari skuadnya dan mengubah peranannya dari bertahan kepada menyerang.

Bahasa mudahnya, Lampard sebenarnya malu hendak mengakui beliau tidak pandai menggunakan Kante. Kerana itulah masalah yang beliau maksudkan itu tidak masuk akal.

BACA:  Kenali Insan yang Telah Mengesan Bakat Kante, Vardy, Drogba Dan Haaland