Selepas tamat satu musim liga, para pemain biasanya akan bercuti selama 4-5 minggu. Ketika bercuti, kebanyakan pemain selalunya akan betul-betul berehat sehingga ada pemain yang berjaya menaikkan perut dan menghilangkan six packs.
Menjelang beberapa minggu sebelum sepak mula musim baru, kebanyakan pasukan biasanya sudah memulakan latihan pra musim. Latihan pra-musim sangatlah penting untuk mengembalikan kecergasan dan mempersediakan fizikal dan mental para pemain untuk memulakan kempen dengan cemerlang.
Antara latihan pra-musim adalah seperti di bawah.
Larian Ulang-alik (Speed Shuttles)
Kembali ke kelajuan maksimum sangatlah penting bagi setiap pemain sebelum musim baru bermula, dan untuk mencapai tujuan ini latihan speed shuttle boleh diapplikasikan.
Selepas memanaskan badan selama 10 minit – lengkap dengan regangan dinamik, pemain perlu berdiri di atas garisan tepi padang, lakukan pecutan sejauh 10 meter dengan 80 peratus kemampuan, disusuli dengan berjalan kaki juga sejauh 10 meter.
Ulang pecutan-berjalan ini sebanyak 10 kali. Rutin ini amatlah sesuai untuk diamalkan kerana seperti dalam perlawanan bola sepak, setiap pemain selalunya akan memecut-berhenti sepanjang perlawanan.
Larian Ketahanan (Endurance Runs)
Selepas shuttle run tamat, pemain diberikan rehat selama beberapa minit -termasuk minum air, dan latihan disambung ke larian ketahanan.
Para pemain dikehendaki berada di penjuru padang (corner flag) dan lari mengelilingi padang dalam tempoh empat minit dengan kapasiti 80 peratus kemampuan.
Rutin ini diulang sebanyak empat kali dengan rehat selama 30 saat di antara setiap set.
Ketika melakukan rutin ini, pemain digalakkan untuk cuba berlari pada satu kelajuan sahaja jika mahu mendapatkan ketahanan ketika intensiti tinggi.
Maksudnya di sini, ketika berlari mengelilingi padang, pemain tidak digalakkan memecut lebih laju atau memperlahankan larian tanpa sebab. Jika ini dapat dipenuhi, maka kemungkinan besar seseorang pemain tersebut akan mampu berlari tanpa henti seperti N’Golo Kante sepanjang perlawanan.
Pecutan Jarak Jauh (Long Sprints)
Selepas dua modul di atas selesai, para pemain akan berehat selama beberapa minit sambil minum air dan berborak mengenai sport rim kereta yang baru dibeli. Kemudian, para pemain akan memulakan rutin long sprints pula.
Untuk rutin ini, pemain akan bermula di penjuru padang. Sebaik isyarat diberikan, maka pemain akan memecut selaju-lajunya di garisan tepi padang ke corner flag. Apabila sampai di titik tersebut, pemain akan rehat selama 30 saat sebelum kembali memecut ke corner flag di garisan tepi padang yang lagi satu.
Di sini juga pemain akan berehat 30 saat sebelum memecut ke titik permulaan semula.
Memandangkan rutin ini amatlah memenatkan, dua set dikira sebagai optimum untuk kecergasan pemain. Jika kurang daripada dua set, dikhuatiri pemain tersebut akan menjadi seperti kebanyakan penyerang di Liga Malaysia, dan jika berlebihan, pemain tersebut berpotensi untuk mengalami kecederaan.
Jadi bersederhanalah dalam berlatih.
Selepas tamat latihan, ada baiknya singgah di mamak layan teh tarik dan sekotak rokok Canyon merah, diselangselikan dengan Pine hijau.
Sumber asal artikel : Fourfourtwo