Lebih Baik Bayar £40 Juta Untuk Abraham Berbanding £150 Juta Untuk Kane

Manchester City ketika ini dilaporkan masih sedang berusaha untuk menandatangani Harry Kane dari Tottenham Hotspur.

Walau bagaimanapun, menurut Trevor Sinclair, beliau lebih sanggup melihat Manchester City mengeluarkan dana bernilai £40 juta untuk mendapatkan Tammy Abraham, berbanding Harry Kane pada musim panas ini.

City sememangnya sedang memburu pemain penyerang selepas mereka kehilangan Sergio Aguero yang menyertai Barcelona secara percuma baru-baru ini.

Kane dilaporkan sangat berminat untuk meninggalkan Tottenham Hotspur dalam usahanya untuk memenangi Piala kejuaraan.

Walau bagaimanapun, pihak kelab telah meletakkan tanda harga bernilai £150 juta untuk Manchester City mendapatkan Harry Kane.

Sinclair percaya nilai tersebut terlalu tinggi dan beliau merasakan tanda harga sebenar Harry Kane tidak seharusnya melebihi angka £100 juta.

Dan Sinclair turut mendedahkan yang dengan nilai tersebut, beliau lebih rela melihat Manchester City mengeluarkan dana untuk menandatangani Tammy Abraham.

Bintang berusia 23 tahun itu sepertinya tidak ada dalam perancangan Thomas Tuchel pada musim hadapan, walaupun beliau antara penjaring terbanyak kelab pada musim lalu.

Ketika ditanya tentang menandatangani Tammy Abraham berbanding Kane, Sinclair mendedahkan kepada talkSPORT bahawa:

“Saya akan lakukannya, yeah.”

“Dia pemain yang sangat muda dengan kemampuan kejurulatihan Pep Guardiola dan rakan sepasukan sekeliling dia… Dia akan jadi pemain bintang.”

Abraham kini hangat dikaitkan bakal menyertai seteru sebandar Chelsea, Arsenal

“Musim ketika dia beraksi bersama Aston Villa dan kembali semula sertai Chelsea dan dia masih mampu lakukan yang terbaik. Dia lincah, laju, ada kekuatan, kemahiran dan dia mempunyai penyudah yang menakjubkan.”

“Tidak ada pemain yang sempurna, terutama di usia 22 ke 23 tahun, tapi dia masih ada banyak masa untuk berkembang.”

“Dia akan jadi seseorang yang saya sangat teruja untuk lihat bersama Manchester City.”

Sinclair mengakui yang agak sukar untuk mendapatkan Tammy Abraham pada ketika ini, memandangkan pemain itu sedang hangat dikaitkan dengan Arsenal dan West Ham.

Beliau kemudiannya terus menjelaskan tentang tanda harga Kane yang dianggap tidak masuk akal dengan menyatakan:

“Ia sangat jelas bertentangan dengan prinsip saya tentang apa yang saya fikirkan berkait kelab. Jujurnya ia sangat bertentangan.”

“Saya cuma tak mahu lihat kelab akan keluar dan membelanjakan nilai yang tak masuk akal hanya untuk membawa masuk seorang pemain sahaja. Ia akan merosakkan kelab.”

Terdapat laporan dari media UK pada minggu lalu, yang melaporkan bahawa Kane sudah mendapat lampu hijau untuk sertai City oleh chairman kelab, Daniel Levy.

Apa-apa rundingan melibatkan ketua pasukan England itu, ia tentu akan menjadi urusan perpindahan yang memecah rekod perpindahan tertinggi dalam saingan premier league.

Yang mana ia tentu akan memecahkan rekod £89 juta yang dibayar oleh setan merah untuk mendapatkan Paul Pogba dari Juventus pada tahun 2016 yang lalu.

Bintang berusia 28 tahun itu juga sepertinya akan menjadi pemain yang memperoleh gaji tertinggi dari kesemua pemain dalam saingan Premier League.

Namun semuanya terserah kepada Spurs sama ada mahu atau tidak untuk melepaskan Harry Kane pada musim panas ini, dengan pemain sendiri sudah mendedahkan hasratnya untuk meninggalkan kelab.

Jika difikirkan nilai £150 juta yang diletakkan oleh Spurs untuk Kane, ia jelas satu nilai yang sangat tinggi dan sukar untuk dipenuhi oleh Manchester City.

Mungkin Tottenham perlu menilai semula harga yang mereka letakkan, dan jika mereka benar-benar mahu melepaskan Kane, maka mereka seharusnya menerima tawaran £100 juta dari City sebelum ini.

Dengan masa yang semakin suntuk, sepertinya Kane berkemungkinan akan kekal beraksi bersama Tottenham dan City perlu mencari penyerang lain untuk ditandatangani.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Kane Yakin Mampu Atasi Salah Dalam Persaingan Merebut Kasut Emas EPL