Lee Chong Wei Bakal Menerima Hadiah Unit Kondominium Bernilai RM1.5 Juta

Umum mengetahui Lee Chong Wei akan menerima RM637,888 daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Badminton Malaysia, selain sebuah kereta Proton Suprima S 1.6L Turbo Premium dan sofa urut klasik uDiva dari Osim malahan beliau juga akan mendapat pencen bulanan RM3,000 sepanjang hayatnya.

Rezeki Chong Wei semakin bertambah apabila beliau bakal menerima Unit Kondominium bernilai RM1.5 Juta dari Pemaju Hartanah.

Beberapa hari sebelum berlepas ke Sukan Olimpik Rio, jaguh badminton Malaysia, Datuk Lee Chong Wei, melawat bilik pameran di Cheras, Kuala Lumpur untuk mencari pelaburan dalam unit kondominium.

Menurut laporan laman berita Singapura, The Straits Times, kini pemaju hartanah yang ditemui Chong Wei, Orando Holdings, mahu menghadiahkan kepada pemain berusia 32 tahun itu satu unit bernilai RM1.5 juta atas sumbangannya kepada sukan Malaysia.

Kondominium eksklusif Lavile, berkeluasan 1,100 kaki persegi dengan tiga bilik tidur itu, dirancang di Taman Maluri bersetentang dengan KLCC dan akan dilengkapi perabot sepenuhnya.

“Pada masa ini, kami tidak mempunyai gelanggang badminton di kondominium itu. Mungkin kami boleh meminta arkitek untuk membina sekurang-kurangnya satu gelanggang dan menamakannya sempena nama Datuk Lee Chong Wei,” kata Pengarah Urusan Orando Holdings, Datuk Eng Wei Chun, dalam laporan tersebut.

Wei Chun berkata Chong Wei telah menunjukkan minat untuk membelinya sebelum berlepas ke Brazil, sambil menambah bahawa dia telah membuat keputusan awal untuk memberi unit tersebut kepada atlet berkenaan.

“Saya menawarkan diri untuk melakukan ini. Saya menunggu sehingga selepas permainannya untuk beritahu dia,” katanya.

“Saya mahu memberi kejutan. Dia banyak berjasa untuk negara,” kata Wei Chun, sambil menambah bahawa dia berharap ia akan menggalakkan lebih ramai golongan muda Malaysia untuk cemerlang dalam sukan.

Ditanya mengapa Chong Wei adalah satu-satunya atlet Malaysia yang menerima unit percuma daripada Orando, Wei Chun berkata ia adalah kerana Chong Wei wajah Malaysia di pentas antarabangsa, selain pernah berhasrat untuk membelinya.

“Akan ada peluang lain untuk atlet Olimpik akan datang. Saya melihat ini sebagai satu tanggungjawab sosial korporat. Kami mahu negara ini mempunyai masa depan yang cerah dan harmoni. Sukan sedang melakukannya. Ini merupakan cara saya meningkatkan sukan kita, untuk masa depan yang lebih cerah untuk Malaysia, “katanya.

Kondominium 38 tingkat itu dijangka siap pada 2020.

Ini bukan satu-satunya ganjaran buat pemenang perak tiga kali Sukan Olimpik itu selepas memenangi tempat kedua dalam acara perseorangan badminton di Rio.

Sumber : Stadium Astro

Baca Juga

Baca Juga