Legenda Arsenal Dakwa Semangat Juang Yang Rendah Punca Arsenal Tewas

Bekas pemain Arsenal, Ian Wright mendakwa semangat juang yang rendah ditunjukkan pemain Arsenal menjadi punca utama mereka tumpas di tangan Manchester City awal pagi tadi.

Dalam perlawanan akhir Piala Carabao itu, Arsenal kecundang di tangan The Citizens dengan jaringan 3-0, hasil gol daripada Sergio Aguero, Vincent Kompany dan David Silva. Trofi yang dimenangi City itu juga menjadi trofi pertama dimenangi Pep Guardiola sejak bergelar pengurus di Etihad Stadium.

Pemain Arsenal yang lembik tidak bermaya

Wright merupakan penyerang Arsenal sekitar 90-an dan berjaya menjaringkan 185 gol buat The Gunners sepanjang 7 tahun bermain di Highbury. Kini beliau masih lagi melibatkan diri dalam bolasepak dan bekerja sebagai pengkritik dan penganalisa di BBC.

Ketika bercakap kepada stesen radio BBC 5 Live selepas tamat perlawanan, Wright punca utama bekas pasukannya tewas adalah kerana pemain Arsenal gagal menunjukkan semangat juang yang mencukupi untuk bersaing dengan City.

“Semua orang tahu untuk menang dalam perlawanan sebegini, kamu memerlukan ketua dan karakter pasukan yang bagus. Tetapi Arsenal tidak mempunyai perkara tersebut.”

Ian Wright. Pemegang rekod penjaring terbanyak Arsenal sebelum dipintas Thierry Henry

“Manchester City adalah pasukan yang sukar untuk ditentang. Mereka bermain sangat baik sepanjang musim tetapi apa yang lebih mengecewakan adalah melihat bagaimana Arsenal bermain dalam perlawanan tersebut. Mereka menunjukkan semangat juang dan keazaman yang sedikit.”

“Ini merupakan perlawanan final dan pemain Arsenal dilihat berjalan. Peminat tidak mahu melihat pasukan mereka bermain dalam final dengan persembahan teruk sebegitu.”

Penyerang antarabangsa Argentina, Sergio Aguero membuka tirai jaringan buat City pada minit ke-18 apabila kesilapan Shkodran Mustafi gagal mengagak bola hantaran jauh Claudio Bravo berjaya dihukum penyerang tersebut.

Kompany dan Silva menambah derita peminat Arsenal dengan masing-masing menjaringkan satu gol pada separuh masa kedua.

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger ketika ditemuramah selepas tamat perlawanan berkata punca kekalahan anak buahnya adalah kerana kurang gagal mengekalkan konsentrasi yang baik sepanjang perlawanan berlangsung.

City mudah jinakkan Arsenal yang lembik. Trofi pertama buat Guardiola di England

“Untuk kebanyakan masa perlawanan tersebut, kami bertahan dengan baik. Tetapi kami hilang fokus buat seketika dan apabila bermain menentang pasukan yang baik, kamu akan dihukum.”

“Kami hilang fokus pada saat-saat yang penting. Gol kedua City merupakan detik penting perlawanan, kerana bagi saya ia adalah 100% offside.”

“Kami tidak banyak memberikan mereka peluang tetapi kami memberikan mereka peluang yang agak mudah. Kami juga tidak mencipta peluang yang cukup untuk menjaringkan gol.”

Arsenal kini menghuni tangga ke-6 Liga Perdana Inggeris, 27 mata ditinggalkan Manchester City yang menghuni tangga teratas liga. Selepas gagal merangkul Piala Carabao, hanya Europa League sahaja yang tinggal buat Arsenal musim ini.

Memandangkan peluang Arsenal untuk mendapatkan kelayakan ke Liga Juara-Juara menerusi liga dilihat semakin mustahil, pertandingan Europa League harus diambil serius Arsene Wenger dengan juara bakal layak secara automatik ke Liga Juara-Juara musim hadapan.

BACA:  Premier League 2020/21: Arsenal 1-1 Southampton