Legenda Liverpool Anggap Gol Kemenangan Ronaldo Seharusnya Dibatalkan

Gol kemenangan pada minit ke-95 permainan yang dijaringkan oleh Cristiano Ronaldo ketika aksi bertemu Villarreal kemarin, telah mencetuskan kontroversi.

Salah seorang legenda Liverpool turut tampil untuk memberi pandangan beliau tentang gol kemenangan United ketika aksi dalam saingan Champions League itu.

Ronaldo berjaya membantu United dari keciciran mata ketika aksi di Old Trafford kemarin, selepas beliau menjaringkan gol kemenangan untuk setan merah menewaskan Villarreal di minit-minit akhir permainan.

Ia secara tidak langsung memberi kelegaan kepada Solskjaer yang bimbang beliau bakal pulang dengan satu mata sahaja, selepas sebelum ini berputih mata kerana diaibkan oleh Young Boys.

Pemain kebangsaan Portugal itu telah mempamerkan aksi persembahan cukup mantap bersama Manchester United sejak ditandatangani semula pada musim panas baru-baru ini.

Beliau pada ketika itu berada di dalam kotak penalti Villarreal, dengan Fred melakukan hantaran mencari Jesse Lingard yang sedang berlari masuk ke kawasan enam ela.

Lingard yang ketika itu diasak oleh dua pemain bijak menolak semula bola mencari Cristiano Ronaldo yang ada di tepi beliau, dengan bekas bintang Juventus itu kemudiannya melepaskan rembatan padu menewaskan penjaga gol Villarreal.

Selepas menolak bola ke arah Ronaldo, beliau tersungkur dan ketika bintang Portugal itu melepaskan rembatan, Lingard sudah berada di kedudukan yang menyebabkan beliau berpotensi untuk offside.

Ramai sebenarnya yang meragui gol tersebut, dengan para peminat di media sosial turut menganggap gol itu tidak sepatutnya dikira.

Namun selepas merujuk VAR, pengadil perlawanan merasakan tiada masalah tentang gol itu dan beliau mengesahkan jaringan Ronaldo itu.

Legenda Liverpool, Pepe Reina tampil untuk membahaskan tentang gol tersebut, dengan beliau menegaskan ia sepatutnya di batalkan kerana offside.

Reina bermain bersama seteru utama United pada tahun 2005 hingga 2014, dengan beliau kini masih bermain bersama Lazio dalam saingan Serie A.

Pemenang Piala Dunia itu turut membuat hampir 400 penampilan bersama Liverpool dengan berjaya memenangi FA Cup dan League Cup.

Antara pencapaian terbaiknya bersama The Reds adalah mara ke aksi perlawanan akhir saingan Champions League.

Beliau sebelum menyertai Liverpool telah beraksi selama tiga musim bersama Villarreal dan kerana itulah mungkin Reina begitu ambil peduli tentang pasukan dari Sepanyol itu.

United jelas sekali sangat memerlukan gol tersebut tidak kira bagaimana cara sekali pun, dan sama ada ia offside atau tidak, gol tersebut berjaya memberi mereka tiga mata berharga.

Paco Alcacer berjaya meletakkan pasukan pelawat di hadapan, sebelum Alex Telles menyamakan kedudukan dengan menjaringkan gol volley yang sungguh cantik dan menakjubkan.

Cristiano Ronaldo menjaringkan gol kontroversi itu pada minit ke-95 permainan untuk mengesahkan kemenangan United menewaskan Villarreal dengan keputusan 2-1.

Cristiano Ronaldo baru-baru ini turut meminta Ole Gunnar Solskjaer supaya mengubah taktikal Manchester United agar dapat disesuaikan dengan corak dan gaya permainan beliau.

Ronaldo berjaya menjaringkan lima gol dari semua pertandingan bersama Manchester United sejak kepulangan semula beliau ke Old Trafford dari Juventus pada jendela perpindahan musim panas baru-baru ini.

Walaupun beliau dilihat sudah berada di tahap persembahan terbaiknya, namun Ronaldo tetap meminta Ole Gunnar Solskjaer agar mengubah gaya permainan Manchester United.

Menurut sumber laporan dari ESPN, pemain berusia 36 tahun itu mahu agar para pemain United untuk membawa bola masuk ke kawasan serangan dengan lebih pantas lagi, dalam usaha kelab untuk mendapatkan yang terbaik darinya di atas padang.

Pemenang lima kali gelaran Ballon D’or itu sudah menjelaskan tentang hal tersebut kepada pengurus dan barisan jurulatih yang lain dengan beliau yakin dirinya akan menjaringkan lebih banyak gol andai United lebih pantas untuk membawa bola masuk ke final third.

Laporan tersebut turut menyatakan yang United sudah mula berusaha untuk penuhi permintaan Ronaldo itu, dengan mereka ketika ini sedang menjalani latihan untuk membiasakan pemain lain agar bergerak lebih pantas untuk masuk ke kawasan lawan, dan menghantar bola kepada bintang Portugal itu.

Skuad kendalian Ole Gunnar Solksjaer itu sedang dalam usaha mereka untuk menjadi pasukan yang paling digeruni kerana ketajaman jentera serangan mereka.

Tambahan lagi, barisan kejurulatihan turut meminta agar pemain di bahagian defensive midfielder dan pertahanan agar mengubah gaya permainan mereka dan perlu turut lebih pantas menghantar bola membantu jentera serangan.

Pemain seperti Paul Pogba, Bruno Fernandes dan Mason Greenwood turut memainkan peranan penting dalam jentera serangan United sepanjang musim ini.

United walau bagaimanapun meminta agar mereka boleh pamerkan aksi lebih baik dan lebih kerap untuk menghulur bola kepada Ronaldo yang lebih klinikal di hadapan gol.

Sumber: SPORTbible

BACA:Β  Man Utd Singkir Sancho Kerana Berdegil Mohon Maaf