Legenda Liverpool Anggap Sancho Sebagai Pemain Sayap Terhebat Dalam Dunia Bola Sepak

Jadon Sancho telah dianggap sebagai pemain sayap terhebat dalam dunia bola sepak selepas beliau melengkapkan perpindahannya ke Manchester United.

Selepas mengharungi saga perpindahan yang sangat panjang, United akhirnya mengumumkan secara rasmi tentang penandatanganan bintang Borussia Dortmund, Jadon Sancho petang semalam.

Pemain berusia 21 tahun itu ditandatangani dengan nilai £73 juta dan beliau tentunya perlu mempamerkan aksi permainan yang sungguh menakjubkan untuk memastikan nilai tersebut berbaloi dibayar.

Legenda Liverpool, Didi Hamann yakin dan percaya Sancho akan membuktikan nilai £73 juta itu berbaloi untuk United bayar.

Hamann mendedahkan kepada Racing Post bahawa:

“Ia bakal menjadi musim yang besar untuk Ole Gunnar Solskjaer dan juga Manchester United dan saya jangka Jadon Sancho akan menjadi bintang di Old Trafford.”

“Saya jarang melihat pemain sayap yang boleh tewaskan lawannya dengan mudah, dengan hanya sedikit gerakan dia sudah boleh melepasi pertahanan lawan.”

“Sancho juga boleh berperanan untuk menghidupkan semula Paul Pogba dan Marcus Rashford di United.”

“Saya pernah melihat dia beraksi dalam saingan Bundesliga, dia berjaya jadikan pemain lain lebih baik, mencipta peluang dan menarik pertahanan untuk keluar dari posisi, dan sekilas kita nampak hal seperti itu ketika aksi kemenangan 4-0 England menewaskan Ukraine di peringkat suku akhir saingan Euro 2020.”

Hamann pernah beraksi bersama Liverpool dan Manchester City sebelum ini, namun itu tidak menghalang beliau dari mengeluarkan pendapatnya.

“Saya agak terkejut kerana dia diketepikan ketika kejohanan tersebut, dia sudah tentu akan jadi pilihan pertama saya andai saya seorang pengurus.”

“Pada pandangan saya, bukan hanya Sancho sebagai pemain sayap terbaik England, tapi dia sebenarnya pemain sayap terhebat dalam dunia bola sepak.”

Sancho sah menjadi pemain Manchester United dan memakai jersi bernombor 25

“Penyokong Manchester United seharusnya sangat teruja tentang kembalinya Sancho ke England.”

Jadon Sancho menyertai Borussia Dortmund dari seteru utama United, Manchester City ketika berusia 17 tahun pada tahun 2017 yang lalu.

Kerana kecewa tidak mendapat minit permainan yang cukup di Etihad, Sancho memutuskan untuk berpindah jauh ke Jerman dan menjadi salah seorang pemain muda terhebat dunia.

Beliau berjaya menjaringkan 50 gol dan mencatatkan 64 assists dari 137 penampilan bersama Black and Yellow, dan Sancho turut berjaya membantu Dortmund untuk menjuarai DFB-Pokal pada musim lalu.

Sancho sebenarnya sudah lama dikaitkan dengan kepulangan semula ke England, dan United sendiri sudah menyatakan minat mereka untuk mendapatkan pemain sayap itu sejak era kelab dikendalikan oleh Jose Mourinho lagi.

Akhirnya Ole Gunnar Solskjaer yang berjaya mendapatkan khidmat Sancho dan beliau jelas teruja untuk bekerjasama dengan pemain muda itu.

“Kami sudah mengikuti dia dan memutuskan untuk mengejar dia dan akhirnya kami berjaya lakukannya, dan kami dapat lengkapkan perpindahan dia. Dia ada DNA yang membuatkan penyokong teruja dan dia sangat menghiburkan dan dia juga seorang pemenang. Dia mahu menang dan itu adalah langkah kami yang seterusnya.”

Jelas Ole kepada laman rasmi kelab.

“Kami perlu untuk melangkah ke depan, kami mahu melangkah ke depan dan kami rasa dia boleh bantu kami untuk lakukan itu. Sudah tentu kami akan berikan dia masa yang cukup untuk berkembang dari masa ke semasa.”

“Ia bukan seperti perlawanan pertama dia nanti, dia perlu tunjukkan segalanya, kami dah sering lihat pemain kami sendiri yang bermain bersama Manchester United, dengan bantuan dari tenaga kejurulatihan dan platform yang ada di Old Trafford, dia akan berkembang dan terus berkembang.”

Manchester United ketika ini sedang dalam usaha mereka untuk melengkapkan perpindahan Raphael Varane dari Real Madrid.

Varane sudah bersetuju untuk ke Old Trafford memandangkan beliau mahu menikmati pengalaman beraksi dalam saingan premier league.

Dalam masa sama, beliau juga mahu menghormati kontraknya bersama Madrid dan tidak mahu melanggar perjanjian.

Pemenang Piala Dunia bersama Perancis itu ketika ini menyerahkan kepada kedua-dua kelab untuk menyelesaikan rundingan dengan beliau secara peribadi sudah bersetuju untuk ke Old Trafford.

Sumber: SB

BACA:  Rio Ferdinand Racun Jadon Sancho Jangan Join Liverpool