Legenda Liverpool Mahu Karius Diberi Peluang Kedua

Penjaga gol Liverpool era 80-an, Bruce Grobbelaar mahu melihat kelab lamanya memberi peluang kedua kepada Loris Karius selepas Karius menjadi punca utama Liverpool tewas di tangan Real Madrid dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah minggu lalu.

Masa depan Karius menjadi topik perbualan hangat ketika ini kerana melakukan dua kesilapan besar yang mengakibatkan Real Madrid berjaya memperolehi dua gol menerusia Karim Benzema dan Gareth Bale.

Grobbelaar percaya Karius mesti diberi peluang ke-2. Sama seperti Tun M

Dalam aksi final yang berkesudahan Liverpool tumpas 3-1, Karius melakukan kesilapan pertama dalam perlawanan tersebut dengan melorongkan bola yang berjaya dipintas Benzema.

Ketika perlawanan hampir tamat, Karius sekali lagi melakukan kesilapan apabila gagal menepis dengan baik bola rembatan Bale.

Karius menitiskan air mata selepas perlawanan berakhir dan meminta maaf kepada peminat Liverpool yang berada di stadium.

Selepas melihat aksi kurang meyakinkan Karius, sesetengah pihak mencadangkan pemain tersebut dijual dan penjaga gol yang lebih berkualiti perlu dibawa masuk bagi memantapkan posisi penjaga gol Liverpool.

Liverpool juga mempunyai Simon Mignolet di bangku simpanan tetapi beliau juga kerap melakukan kesilapan mudah dan kurang konsisten.

Insiden yang mampu membunuh karier Karius

Walau bagaimanapun, bekas penjaga gol Liverpool pada era 80-an, Bruce Grobbelaar mahu Liverpool memberi peluang kedua kepada Karius seperti yang pernah beliau terima suatu masa dahulu, dan membolehkan beliau diangkat sebagai salah satu ikon di Anfield.

Jurgen Klopp telah digesa untuk mencari penjaga gol baru dan beberapa nama besar telah dikaitkan dengan perpindahan ke Anfield musim panas ini seperti penjaga gol AS Roma, Alisson dan penjaga gol Lazio, Thomas Strakosha.

Grobbelaar pula mempunyai pendapat lain kerana beliau mahu peluang kedua diberikan kepada Karius untuk membuktikan kemampuan sebenar beliau.

“Liverpool memberikan peluang kedua selama 2 tahun kepada saya, jadi mengapa sekarang mereka tidak boleh melakukan perkara yang sama kepada Karius selepas hanya satu perlawanan ?” Ujar Grobbelaar kepada BBC Sport.

“Jurgen Klopp harus meletakkan Karius kembali beraksi dalam pasukan utama musim hadapan. Letakkan Karius dalam perlawnan pertama kerana beliau perlu kembali beraksi secepat yang mungkin.”

Sebelum kejadian ‘Malam Berdarah di Kiev’, Grobbelaar pernah mengeluarkan kenyataan memuji potensi yang ada pada Karius dan meramalkan penjaga gol dari Jerman itu bakal menjadi antara penjaga gol terbaik dalam Liga Perdana Inggeris pada masa hadapan.

Bruce Grobbelaar, nama yang cukup sinonim dengan Liverpool pada era 80-an

“Karius bakal menjadi penjaga gol paling berpatutan di Liga Perdana Inggeris pada masa hadapan. Beliau hanya dibeli pada harga £4juta dari Mainz. Karius bakal menjadi pemain ternama tidak lama lagi, ditambah dengan kehadiran Virgil van Dijk di bahagian pertahanan.”

Grobbelaar turut percaya kekalahan di Kiev tidak akan menjadi pentas final terakhir buat skuad Liverpool di bawah Jurgen Klopp.

“Liverpool mampu memenangi Liga Juara-Juara Eropah tahun hadapan, tetapi mereka memerlukan sekurang-kurangnya dua pemain untuk ditambah dalam skuad yang sedia ada. Mereka memerlukan seorang pemain pertahanan dan seorang penyerang.”

BACA:  Al Ittihad Percaya Usaha Dapatkan Salah Hanya Tertangguh Sementara