Legenda Liverpool Yakin Salah Tidak Setahap Cristiano Ronaldo

Mohamed Salah dan Cristiano Ronaldo merupakan dua pemain terhebat dunia yang beraksi dalam saingan Premier League pada ketika ini, dan dianggap antara pemain yang paling digeruni pasukan lawan.

Kedua-dua mereka merupakan pemain yang akan sentiasa diberi kawalan paling ketat di atas padang, dek kerana mereka akan menghadirkan bahaya andai dilepaskan.

Mohamed Salah pada ketika ini jelas sekali sedang berada di tahap persembahan terbaik sepanjang kariernya, sementara Ronaldo pula, beliau masih lagi mampu beraksi secara kompetetif walau sudah berusia 36 tahun.

Pemain kebangsaan Mesir itu dari awal ditandatangani hingga ke hari ini, beliau terus menerus menjadi mesin pencetak gol utama The Reds.

Awal musim ini, walau baru mengharungi beberapa perlawanan sahaja, Salah sudah berjaya memecahkan beberapa lagi rekod dalam saingan Premier League.

Beliau berjaya mencatat nama sebagai penjaring gol dalam kesemua 10 perlawanan terakhir Liverpool, dari semua pertandingan.

Beliau juga berjaya memecahkan rekod Didier Drogba sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam saingan premier league untuk pemain dari benua Afrika.

Ketika aksi kemenangan 5-0 menewaskan Manchester United minggu lalu, beliau berjaya mencipta hat-trick dan turut mencatatkan satu assists dalam perlawanan tersebut.

Menariknya lagi, Salah turut cemerlang mencipta sejarah baru selepas menjadi pemain pertama dalam sejarah saingan Premier League, yang berjaya mencatatkan hat-trick di Old Trafford.

Kerana kesemua pencapaian dan kejayaan tersebut, dan ditambah pula dengan aksi mantap yang beliau pamerkan sepanjang musim ini, ramai yang percaya bahawa Salah layak dianggap sebagai pemain terbaik dunia pada ketika ini.

Bahkan penyokong pasukan lawan sendiri tidak meragui hal itu dan bersetuju yang Mohamed Salah sememangnya antara pemain terhebat dunia pada ketika ini.

Apabila sudah dianggap yang terbaik, sudah tentu akan ada yang membandingkan beliau dengan nama Messi dan Ronaldo, dengan beliau kini dianggap lebih bagus berbanding duo terhebat sepanjang zaman itu.

Beliau dianggap lebih bagus kerana kedua-dua Messi dan Ronaldo pada ketika ini sepertinya masih belum mendapatkan rentak persembahan terbaik mereka.

Namun walau ramai yang bersetuju dengan hal itu, ia tidak untuk legenda Liverpool, Graeme Souness yang tampil dengan pendapat berbeza, dengan menganggap Salah masih belum sampai di tahap sehebat Ronaldo.

Bercakap kepada Sky Sports, Graeme Souness menjelaskan tentang isu perdebatan melibatkan Salah dan Ronaldo (sebelum aksi pertembungan Liverpool bertemu Manchester United) dengan beliau menyatakan bahawa:

“Kamu tak boleh bandingkan kedua-dua mereka, ia bukan hanya untuk tempoh tiga bulan terakhir ini sahaja. Ada perdebatan yang mengatakan bahawa Salah merupakan pemain terhebat dunia untuk tempoh tiga bulan terakhir musim ini.”

“Ronaldo turut ada hujah sendiri, Ronaldo boleh duduk di mana-mana ruang dengan mana-mana pemain dari mana-mana generasi dan dia boleh kata, ‘Saya merupakan pemain terhebat dalam sejarah dunia bola sepak’.

“Dan orang akan perdebatkan tentang itu. Bagi saya, dia jelas sekali berada di atas sana.”

“Untuk Salah, dia telah melalui beberapa tahun yang hebat bersama Liverpool, ketika ini, dia merupakan yang terbaik, namun Ronaldo masih berada di tahap yang berbeza dari apa yang Salah lalu sepanjang kariernya, di mana dia ketika di tahap ini.”

Graeme Souness turut menyatakan yang beliau jelas akan memilih Salah berbanding Ronaldo kalau mengikut penilaian berdasarkan prestasi semasa.

Namun, beliau yakin dan percaya, jika beliau diminta untuk memilih antara kedua-dua pemain ini jika Ronaldo masih berusia 28 tahun, maka jelas beliau akan memilih bintang Manchester United itu.

“Jika kamu kata saya boleh pilih antara Ronaldo di usia 28 tahun dengan Salah di usia 28 tahun, saya akan pilih Ronaldo, tapi pada ketika ini, dan sekarang, memang saya pilih Salah. Semua orang akan pilih Salah kerana dia sedang berada di tahap persembahan terbaiknya.”

Walau apa pun perdebatan yang melibatkan dua pemain ini, Mohamed Salah tidak boleh dinafikan lagi sememangnya antara pemain paling berprestasi sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Aksi beliau bertemu setan merah bukti mengapa beliau dianggap terhebat dalam dunia bola sepak, dengan Salah mampu untuk menjadikan Maguire dan Shaw, dua pertahanan berkelas dunia menjadi tisu basah.

Cristiano Ronaldo walau sudah beberapa perlawanan dalam saingan liga gagal untuk menjaringkan gol, namun beliau sebenarnya memulakan kempen saingan musim ini dengan sangat bagus.

Walau skuad setan merah sedang bergelut dengan masalah prestasi, namun beliau tetap mampu untuk menjadi mesin pencetak gol untuk kelab.

Ronaldo pada ketika ini sudah berjaya menjaringkan enam gol untuk Manchester United dari semua penampilan dalam semua pertandingan sepanjang musim ini.

Tiada siapa yang akan pertikaian tentang kehebatan Ronaldo dengan beliau sememangnya sudah mendominasi dunia bola sepak sejak lebih sedekad yang lalu.

Namun pada ketika ini, Mo Salah jelas berada di tahap yang berbeza dengan beliau memulakan saingan musim ini dengan sangat sempurna.

Di usia 28 tahun, andai Salah konsisten seperti sekarang untuk tempoh lima musim ke depan sekalipun, kedudukan Ronaldo dan Messi sebagai pemain terhebat sepanjang zaman tidak akan terjejas.

Di satu sisi lain, Salah akan terus dikenang sebagai pemain terhebat yang pernah beraksi dalam sejarah saingan Premier League.

Ia kerana beliau yang dianggap ‘One Season Wonder’ berjaya konsisten dan terus menerus memecahkan pelbagai rekod dalam saingan Premier League.

Dan kerana itulah beliau berhak untuk dianggap sebagai pemain terhebat yang pernah beraksi dalam sejarah saingan Premier League.

Sumber: Sportskeeda

BACA:  Ronaldo Buat Perangai Dan Manchester United Tidak Gembira