Lembik Dan Pemalas, Statistik Buruk Pemain Termahal Chelsea Mendapat Kecaman

Jamie Carragher menganggap debut Moises Caicedo sebagai mimpi ngeri apabila pemain tengah itu bergelut selepas dimasukkan sebagai pemain gantian dalam perlawanan menentang West Ham pada Ahad.

West Ham yang beraksi dengan 10 pemain mengejutkan Chelsea apabila menjaringkan gol ketiga mereka dalam perlawanan itu melalui sepakan penalti selepas Caicedo dipersalahkan pengadil kerana mengasari Emerson.

Lucas Paqueta kemudiannya tenang menyempurnakan sepakan tersebut untuk mengesahkan tiga mata milik mereka, sebelum Carragher tanpa belas kasihan mengkritik prestasi pemain termahal Chelsea itu.

Ia adalah penampilan pertama yang pasti mahu dilupakan oleh pemain antarabangsa Ecuador itu kerana kelemahan dalam membuat keputusan oleh pemain itu mengundang kekasaran yang menjurus kepada penalti.

Mengulas perlawanan tersebut kepada Sky Sports, Carragher berkata: “Carragher melalui mimpi ngeri sejak dimasukkan. Persembahannya lembik, dan terjahannya juga itu malas.”

Carragher sebelum itu turut mengkritik pemain tengah itu setelah percubaan liar yang tidak menepati sasaran melalui sentuhan ketiga pemain itu dalam perlawanan tersebut.

“Dia baru dimasukkan [sebagai pemain gantian], dan baru sentuhan ketiga dalam perlawanan. Dia bukan pemain yang dikenali dengan sentuhan penyudah, tetapi saya tidak pasti jika dia [dibeli Chelsea] untuk melakukan perkara [sepakan liar] seperti itu!”

Caicedo memulakan perlawanan di bangku pemain simpanan selepas Mauricio Pochettino berpendapat pemain bernilai £115 juta itu belum bersedia untuk beraksi penuh sejak melengkapkan perpindahan dari Brighton.

Caicedo kemudiannya dibawa masuk pada minit ke-67 perlawanan tatkala The Blues berusaha untuk memburu gol penyamaan setelah Michael Antonio berjaya mengembalikan pendahuluan untuk West Ham.

Pemain tengah berusia 21 tahun itu jelas bergelut melakukan tugasan melindungi bahagian pertahanan Chelsea walaupun pada ketika lawan beraksi dengan 10 pemain setelah Nayef Aguerd menerima layangan kad kuning kedua.

Seorang lagi bekas pemain Liverpool yang bertugas sebagai pundit, Jamie Redknapp turut mengkritik persembahan Caicedo dalam analisisnya.

“Caicedo kurang beraksi dan tidak mempunyai minit perlawanan mencukupi sepanjang 60 hari yang lalu dan anda boleh saksikan permainannya yang berkarat.

“Hanya pengurus [Mauricio Pochettino] yang tahu sama ada dia cergas sepenuhnya atau tidak untuk beraksi, dan jelas dia tidak berada di tahap yang sepatutnya.

“Saya yakin dia akan tampil lebih meyakinkan selepas ini. Terutama selepas memberikan penalti kepada lawan di penampilan pertamanya.”

Statistik buruk Caicedo turut mendedahkan pemain itu hilang bola sebanyak lapan kali, melakukan dua kekasaran dan menghasilkan satu percubaan liar yang tidak menepati sasaran sepanjang 37 minit aksi.

Caicedo jelas hilang semangat tatkala pemain West Ham meraikan kemenangan pertama mereka di Premier League pada musim ini.

Pengurus West Ham, David Moyes dan pemain tengah Chelsea, Enzo Fernandez kemudiannya dilihat turut menenangkan pemain itu.

BACA:  FA Cup Final 2020/21: Chelsea 0-1 Leicester City