Leno: Saya Sertai Arsenal Untuk Bermain Setiap Minggu

Penjaga gol baru Arsenal, Bernd Leno mengakui beliau melalui permulaan yang mengecewakan bersama Arsenal walaupun perancangan asalnya adalah untuk bermain setiap minggu bersama pasukan utama.

Arsenal membelanjakan €22 juta (£19.2 juta) untuk mendapatkan khidmat Leno dari Bayern Leverkusen dalam jendela perpindahan musim panas yang lalu. Pada awalnya, Leno dijangka akan mengambil alih tugas Petr Cech selaku penjaga gawang utama Arsenal namun Unai Emery mempunyai idea yang lain.

Leno akui beliau tidak biasa memanaskan bangku simpanan

Emery memilih untuk mengekalkan Cech sebagai penjaga gol utama Arsenal bagi permulaan musim ini dan ia mengakibatkan Leno terpaksa duduk memanaskan bangku simpanan, sesuatu yang sukar untuk diterimanya memandangkan beliau merupakan penjaga gol utama Bayern Leverkusen sebelum ini.

Selepas hampir dua bulan menunggu, Leno akhirnya melakukan penampilan pertama dalam perlawanan kompetitif menentang pasukan dari Ukraine, Vorskla Poltava dalam saingan Europa League.

Arsenal berjaya mencatatkan kemenangan 4-2 ke atas Vorskla Poltava di hadapan penyokong sendiri hasil jaringan daripada Pierre Emerick-Aubameyang, Danny Welbeck, dan Mesut Ozil. Namun begitu, Leno terpaksa menelan pil pahit apabila pintu gol Arsenal dibolosi sebanyak dua kali pada penghujung perlawanan.

Leno percaya beliau merupakan pemain yang cocok dengan sistem Unai Emery di Arsenal

Ketika bercakap kepada wartawan selepas tamat perlawanan, Leno telah ditanya mengenai permulaan kariernya bersama Arsenal.

“Saya datang ke Arsenal dengan tujuan untuk bermain setiap minggu. Tetapi saya percaya apabila anda berpindah ke kelab yang lebih besar dan negara lain, anda memerlukan lebih masa untuk menyesuaikan diri. Memang keadaan ini agak mengecewakan tetapi saya perlu tenang dan bekerja lebih keras.”

“Pengurus [Unai Emery] sentiasa memilih kesebelasan utama berdasarkan persembahan pemain. Saya rasa keadaan akan berubah, mungkin bukan setiap minggu, tetapi Emery akan lebih kerap menukar pemain selepas ini.”

“Beliau tidak pernah cakap Liga Perdana Inggeris merupakan kejohanan untuk Cech dan Europa League adalah untuk saya. Saya akan berusaha keras setiap hari untuk bermain dengan lebih kerap.”

“Saya datang ke sini untuk merasai Liga Perdana Inggeris. Saya percaya liga ini merupakan liga yang terbaik. Bundesliga bagus tapi Liga Perdana Inggeris lebih bagus, dan saya sudah tidak sabar untuk beraksi dalam liga.”

Leno percaya beliau merupakan pemain yang sesuai dengan filosofi bola sepak yang ingin diterapkan Emery dalam skuad Arsenal ketika ini. Beliau juga berkata semua pemain sudah menyesuaikan diri dan berasa selesa dengan permainan yang Emery ingin terapkan di Stadium Emirates.

Vorskla Poltava Slayer. Lord Welbeck bersama Abu Mayat

“Keadaan semakin bertambah baik di kelab ini. Permainan yang Emery mahu lihat merupakan gaya permainan saya. Saya rasa saya telah melakukan kerja yang baik dengan passing dalam perlawanan tadi.”

“Sudah tentu saya berasa agak kecewa kerana melepaskan dua gol tetapi mereka menjaringkan dua gol yang sangat cantik. Mungkin saya perlukan sedikit lagi masa.”

BACA:  Mkhitaryan Salahkan Diri Sendiri Mengenai Kegagalan Di Old Trafford