Lepas Beberapa Hari, Rashford Baru Ada Kekuatan Untuk Update Status

Marcus Rashford menjelaskan tentang mengapa beliau mengambil masa yang lama untuk memunculkan diri selepas kekalahan memalukan United di tangan Liverpool minggu lalu.

Selepas beberapa hari, Rashford akhirnya tampil berbicara tentang kekalahan bertemu Liverpool dan beliau menganggap ia merupakan hal yang paling memalukan.

Setan merah merasa terhina selepas mereka menjadi mangsa belasahan seteru utama mereka, Liverpool di Old Trafford.

Mohamed Salah berjaya mencatatkan hat-trick dalam perlawanan tersebut, seterusnya mencipta sejarah menjadi pemain pertama yang berjaya mencatatkan hat-trick di Old Trafford dalam sejarah saingan Premier League.

Malang untuk United, selain dibelasah teruk, mereka juga dibuli oleh para pemain Liverpool yang bermain bertukar hantaran di tengah padang, seolah-olah mereka sedang menjalani latihan.

Setan merah juga terpaksa bermain dengan 10 orang pemain selepas Paul Pogba dilayangkan kad merah, walau beliau baru saja 15 minit dimasukkan.

Para penyokong Manchester United sendiri tidak sanggup melihat skuad mereka diayam-ayamkan oleh Liverpool dengan kebanyakan dari mereka meninggalkan stadium lebih awal.

Nama Ole Gunnar Solskjaer trending di laman media sosial selepas tamat perlawanan tersebut, dengan ramai yang menggesa agar beliau dipecat.

Cristiano Ronaldo dan Paul Pogba antara pemain yang tampil memuat naik status di media sosial selepas kekalahan itu untuk meminta maaf kepada penyokong.

Sementara Rashford pula, beliau seolah-olah hilang keyakinan diri dan terpaksa menunggu sehingga semalam untuk muncul dan memuat naik status di laman media sosial miliknya.

Beliau memuat naik status berkait kekalahan bertemu Liverpool dengan Marcus Rashford menyatakan bahawa:

“Saya tak boleh menipu, kamu tidak mendengar apa-apa dari saya di sini kerana sebagai penyokong United saya benar-benar tidak tahu apa yang mahu dikatakan selepas hari minggu kemarin. Saya sangat malu. Saya masih malu.”

“Penyokong kita adalah segalanya dan kamu tidak berhak untuk itu. Kami akan bekerja lebih keras untuk cuba dan pulihkan semua ini. Kami akan tebus semula diri kami.”

Masa depan Solskjaer bersama kelab seperti telur di hujung tanduk dengan beliau boleh dipecat oleh kelab pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.

Beliau akan terus mengendalikan setan merah ketika mereka berkunjung ke Tottenham Hotspur Stadium hujung minggu ini, namun tiada jaminan untuk beliau kekal menjadi pengurus selepas tamat perlawanan tersebut.

Terdapat laporan yang menyatakan bahawa pengurus dari Norway itu diberikan tiga perlawanan untuk membuktikan sesuatu kepada kelab.

Beliau harus berikan yang terbaik ketika bertemu Tottenham Hotspur, Atalanta dan Manchester City, namun apa akan berlaku selepas itu masih belum diketahui.

Tidak pasti sama ada pihak kelab mahu mengekalkan beliau, atau bakal melepaskan terus pengurus dari Norway itu.

Hal ini kerana Antonio Conte yang sebelum ini hangat dikaitkan dengan bakal menjadi pengurus United, telah menyatakan persetujuan beliau untuk menerima jawatan tersebut.

Melihat kepada skuad yang United miliki pada ketika ini, agak mustahil untuk ada pengurus yang akan menolak tawaran untuk mengendalikan mereka.

United sebenarnya mempunyai barisan pemain yang cukup menakjubkan, baik penjaga gol, pertahanan, midfield mahupun penyerang.

Dengan taktikal yang betul, dan susunan pemain yang tepat, United sebenarnya mampu untuk mencabar kejuaraan liga dan Champions League pada musim ini.

Namun andai United mahu terus memberi kepercayaan kepada Solskjaer, tugas berat akan menanti beliau kerana lima perlawanan selepas ini, setan merah akan bertemu dengan lawan yang sukar.

Sumber: talkSPORT

BACA:  Mike Phelan Sindir Rashford Yang Buat Latihan Berat Ketika Bercuti