Lepas Sebulan Bersara, Peminat Terlopong Tengok Fizikal Nasri Sekarang

Pada bulan September lalu, bekas bintang Arsenal dan Manchester City, Samir Nasri secara rasminya mengumumkan persaraan dari dunia bola sepak.

Bekas pemain kebangsaan Perancis itu beraksi dalam saingan liga bola sepak Belgium bersama Anderlecht, yang melepaskan beliau pada tahun 2020, selepas mendapatkan khidmatnya secara percuma pada 2019.

Pada era 2000-2010, Nasri dikenali sebagai salah seorang pemain yang sangat berbakat dan mempunyai kemampuan yang sungguh mengagumkan.

Beliau boleh dianggap antara pemain terhebat dunia ketika kariernya bersama Arsenal, dan menjadi antara pemain terbaik dalam saingan Premier League pada ketika itu.

Di bawah kendalian Arsene Wenger, pemain attacking midfielder itu telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan.

Atas persembahan mantapnya, beliau berjaya menarik minat Manchester City untuk menandatanganinya pada tahun 2011 yang lalu.

Walaupun aksi beliau bersama City sudah tidak sehebat ketika bersama Arsenal, namun beliau tetap berjaya membantu The Citizens untuk memenangi empat kejuaraan utama, termasuk dua gelaran Premier League.

Bintang dari Perancis itu kemudiannya dipinjamkan ke Sevilla pada musim 2016/17, sebelum menandatangani perjanjian tetap bersama gergasi Turki, Antalyaspor pada musim panas 2017.

Beliau kemudiannya menamatkan kontraknya bersama Antalyaspor pada Januari 2018 dan sebulan lebih selepas itu, Nasri terpaksa berdepan hukuman penggantungan selama enam bulan oleh UEFA atas masalah doping.

Selepas tempoh penggantungan beliau tamat, bekas bintang muda Marseille itu memutuskan untuk menyertai West Ham pada tahun 2019.

Begitulah antara kisah ringkas tentang perjalanan karier Nasri dari seorang pemain yang cemerlang, gemilang dan terbilang, terus mendap hingga tiada kelab dan terpaksa bersara di usia 34 tahun, selepas setahun tiada kelab yang mahu mendapatkan khidmatnya.

Baru sebulan bersara, beliau telah dipanggil untuk kembali menyarung jersi Marseille untuk satu perlawanan amal bertemu kesebelasan UNICEF kendalian Wenger bersama pemain seperti Robert Pires dan Didier Drogba.

Gambar beliau beraksi dalam perlawanan itu tular di media sosial, dengan para peminat sangat terkejut melihat potongan badannya yang berkembang dengan sangat pesat.

Beliau jelas sekali meminta jersi plus saiz dari pihak penganjur, kerana ukuran badannya sudah tidak sesuai dengan jersi biasa.

Video di bawah menunjukkan bagaimana aksi beliau di atas padang dalam perlawanan tersebut, dan sepertinya beliau masih mempunyai kualiti kawalan bola yang menakjubkan.

Walau bagaimanapun, tiada siapa boleh memarahi beliau kerana tidak menjaga badannya, kerana Nasri kini sudah tidak bermain bola sepak secara profesional.

Beliau bukan Hazard yang masih bermain tapi badannya lebih kembang berbanding prestasi dan sumbangannya untuk Real Madrid.

Legenda Chelsea, Didier Drogba turut bermain dalam perlawanan tersebut, dengan beliau berjaya mencatatkan hat-trick untuk membantu skuadnya mencatatkan kemenangan 7-4.

Drogba meraikan gol ketiga jaringan beliau dalam perlawanan ini dengan menggunakan keraian ikoniknya ketika era kegemilangan beliau di Stamford Bridge.

Para peminat terharu melihat kemampuan Drogba bermain, dengan beliau mampu mencatatkan hat-trick walau sudah agak lama meninggalkan dunia bola sepak.

Sumber: GMS

BACA:Β  Frimpong Dedah Kisah Silam Bersama Arsenal, Berdendam Dengan Nasri