Lesley Ugochukwu, Axel Disasi dan Robert Sanchez, Siapa Mereka Dimata Chelsea

Dalam tempoh kurang seminggu Chelsea cukup agresif untuk mendapatkan pemain baharu. Pada 28 Julai, mereka membuat tawaran sebanyak £80 juta kepada Brighton untuk mendapatkan Moises Caicedo dilakukan dan ianya telah ditolak.

Ia merupakan tawaran keempat dari Chelsea sejak musim lepas. Tawaran pertamanya sebanyak £60 juta kemudian ditingkatkan kepada £65 juta dan £70 juta. Brighton masih tidak bersetuju dengan harga £80 juta kerana mereka melihat harga Caicedo perlu menyamai harga Declan Rice, £100 juta.

Sehari selepas itu Chelsea menemui kesepakatan dengan Lesley Ugochukwu dan Rennes untuk membawa pemain itu ke Stamford Bridge.

Dua hari selepas urusan Ugochukwu selesai, Chelsea menemui kesepakatan dengan AS Monaco untuk membeli Axel Disasi. Pada hari yang sama mereka menghantar satu tawaran kepada Brighton untuk mendapatkan Robert Sanchez.

Tidak lupa Levy Colwill juga telah bersetuju untuk melanjutkan kontraknya selama 6 musim lagi. Kecuali Caicedo, kesemua pemain tersebut adalah pertahanan. Persoalannya siapa mereka ini?

Lesley Ugochukwu, 19 tahun (Rennes)

Chelsea telah bersetuju dengan semua syarat untuk membeli pemain-tengah dari Rennes, Ugochukwu. Perjanjian itu akan menelan belanja sebanyak £23.5 juta. Ugochukwu juga telah bersetuju dengan semua syarat dan dia akan menandatangani kontrak jangka panjang di sana.

Cuma tidak dapat dipastikan sama ada Ugochukwu akan terus dimasukkan ke dalam skuad senior atau dikeluarkan secara pinjaman. Ia kerana Ugochukwu baharu berusia 19 tahun dan dia masih boleh dibangunkan dari kelab lain.

Baru-baru ini pemilik Chelsea telah membeli sebuah kelab di Perancis iaitu Strasbourg. Chelsea tidak dibenarkan menjual pemain kepada kelab yang mempunyai pemilik sama namun mereka boleh meminjamkan kesana.

Walaupun Ugochukwu masih muda namun dia telah memainkan peranan besar bersama Rennes apabila terlibat dalam 35 perlawanan bersama kelab itu sepanjang musim lalu.

Axel Disasi, 25 tahun

Pada 31 Julai atau dua hari selepas urusan mendapatkan Ugochukwu selesai Chelsea mencapai kesepakatan dengan AS Monaco, kali ini mereka membeli Axel Disasi pada harga £38 juta.

Pembelian Disasi merupakan major signing dan dia akan terus terlibat secara kuat dengan pasukan senior. Ia kerana statusnya sebagai pemain kebangsaan Perancis dan sedang berada usia 25 tahun.

Kehadirannya akan memberi Chelsea lebih pilihan di bahagian right-side center-back malah kecederaan yang dialami oleh Wesley Fofana meningkatkan lagi keperluan kelab untuk mendapatkan Disasi.

Selepas perlawanan menentang Fulham pada Ahad lepas Mouricio Pocchetino telah berkata tentang perkara ini,

Fofana mengalami kecederaan, jadi ianya jelas kami perlu mengukuhkan bahagian itu

Pada tahun 2020, Disasi telah berpindah ke AS Monaco dari Reims pada harga £11 juta. Kemudian dia menjadi sebahagian pemain skuad Piala Dunia Perancis dan membuat 3 penampilan dalam kejohanan yang berlangsung di Qatar.

Perpindahannya ke Chelsea menandakan kelab itu telah membeli dua pertahanan-tengah dari AS Monaco selepas membeli Benoit Badiashile pada jendela Januari lepas.

Robert Sanchez, 25 tahun

5 hari selepas tawaran mendapatkan Caicedo gagal, Chelsea mendekati pemain keempat untuk memperkasakan pasukannya. Chelsea telah membuat satu tawaran kepada Brighton bagi mendapatkan Sanchez.

Tawaran tersebut masih belum dijawab namun perbincangan mengenai masih berjalan.

Pada musim lepas Sanchez merupakan penjaga utama kelab itu namun menjelang Mac dia kehilangan tepat kepada Jason Steele, 32. Pengurus Brighton, Roberto de Zerbi merasakan Steele lebih sesuai dengan tuntutan permainannya.

Menjelang penghujung musim Sanchez meminta dirinya diketepi dan De Zerbi tidak membawanya ke siri jelajah pra musim, masa depan Sanchez di Brighton telah berakhir.

Berikut perincian bagaimana Sanchez kehilangan tempat kepada Steele, yang berlaku pada bulan Mac lepas.

De Zerbi berkata Steele lebih sesuai dengan gaya permainan pembinaan dari belakang berbanding Sanchez. Pelan permainan pengurus itu adalah dengan mendorong pemain lawan naik ke kawasan pertahanannya dan penjaga gol akan bertindak sebagai pencetus utama.

Steele mempunyai kebijaksanaan dalam membuat keputusan ketika bola berada di kakinya. Ini memberi kelebihan kepada Steele untuk menjadi pilihan utama berbanding Sanchez.

Ia tidak bermakna Sanchez lemah bermain bola dikaki tetapi Steele lebih konsisten dengan permainannya terutama bermain dengan hantaran pendek dalam ruang padat. Ada kalanya Sanchez terlalu tergesa-gesa melakukan hantaran dan ia mengakibatkan lawan mendapatkan bola.

BACA:  Penyokong Liverpool Bengang Sanchez Langsung Tak Dihukum Selepas Rempuh Diaz