Lewandowski Semakin Hampiri Rekod Ronaldo

Penyerang prolifik Bayern Munich, Robert Lewandowski semakin menghampiri rekod jaringan gol yang dicipta Cristiano Ronaldo suatu ketika dahulu.

Bekas penyerang Borussia Dortmund itu menambah jumlah jaringan beliau musim ini menjadi 53 gol dalam semua pertandingan selepas menyumbang dua gol dan mencipta satu bantuan gol ketika Bayern Munich mudah membenam cabaran Chelsea dalam aksi timbal balik Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.

Lewandoski sudah mengumpul 13 gol dari 7 penampilan dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah musim ini

Bermain di gelanggang sendiri tanpa kehadiran penonton, Bayern tidak menghadapi masalah untuk membelasah The Blues 4-1 sekali gus meraih kemenangan aggregat 7-1 dan bakal berdepan cabaran getir bertemu Barcelona di peringkat suku akhir hujung minggu hadapan.

Lewandowski kini sudah menjaringkan 13 gol dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah dalam 7 perlawanan dan ramai pihak beranggapan beliau mempunyai peluang yang baik untuk memecahkan rekod jaringan gol Ronaldo dalam satu kempen yang dicipta pada musim 2013/2014, ketika bermain untuk Real Madrid.

Walau bagaimanapun, penyerang antarabangsa Poland itu menegaskan beliau lebih berminat untuk membantu Bayern Munich mara sejauh yang mungkin dalam Liga Juara-Juara Eropah dan tidak terlalu memikirkan untuk memecahkan rekod Ronaldo.

“Itu [rekod Ronaldo] bukan sasaran saya. ” Ujar Lewandowski ketika ditanya Sky Sports selepas tamat perlawanan awal pagi tadi.

“Kami mempunyai satu lagi perlawanan kalah mati tidak lama lagi dan kami perlu bermain dengan sangat baik sebagai satu pasukan.”

“Perkara paling penting adalah bermain baik dan mara ke peringkat seterusnya. Kami perlu membuktikan sebagai satu pasukan yang kami lebih baik dari Barcelona untuk mara ke peringkat separuh akhir.”

“Barcelona sentiasa pasukan yang merbahaya dan bermain bola sepak yang baik. Kami perlu bersedia dari minat pertama perlawanan dan menunjukkan kualiti kami. Pasukan yang lebih baik akan bermain di peringkat seterusnya.”

Ketua Jurulatih Bayern Munich, Hansi Flick memuji persembahan seluruh pasukan dan turut mengambil peluang memuji persembahan Lewandowski yang disifatkannya bermain cukup baik.

Barcelona’s Argentine forward Lionel Messi celebrates after scoring a goal during the UEFA Champions League round of 16 second leg football match between FC Barcelona and Napoli at the Camp Nou stadium in Barcelona on August 8, 2020. (Photo by LLUIS GENE / AFP) (Photo by LLUIS GENE/AFP via Getty Images)

“Lewandowski berjaya menjaringkan dua gol dan itu jelas menunjukkan perkara yang mampu dilakukannya. Saya sangat berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan para pemain sepanjang 90 minit. Kami sangat mahukan kemenangan dan meneruskan rentetan aksi baik kami.”

“Chelsea mempunyai pasukan yang mengujakan dan kelajuan yang cukup bagus. Sekiranya mereka berjaya bangkit, ia adalah salah kami tetapi 30 minit awal yang dipamerkan kami amatlah baik.”

Satu-satunya perkara yang mencacatkan kemenangan Bayern Munich awal pagi tadi adalah melihat pemain pertahanan senior, Jerome Boateng tercedera dan terpaksa dibawa keluar pada separuh masa ke-2.

Flick bagaimanapun percaya Boateng mampu kembali pulih menjelang pertemuan penting bertemu Barcelona minggu hadapan.

“Saya tak rasa Boateng mengalami kecederaan serius. Ini adalah maklumat yang saya dapat dari pasukan perubatan kami. Pavard juga berusaha bersungguh-sungguh untuk bersedia menghadapi perlawanan akan datang.”

BACA:  Ronaldo Naik Angin Dengan Komen Erik Ten Hag Kepada Media