Bagaikan jatuh ditimpa tingga. Itulah perumpamaan yang sesuai diberikan kepada bolasepak Belanda. Selepas gagal melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 yang bakal diadakan di Russia, juara Eredivisie tidak lagi mendapat slot automatik untuk bermain dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.
Pengecualian ini disahkan oleh ranking kelab liga yang baru sahaja dikeluarkan oleh UEFA beberapa hari yang lalu. Liga domestik Belanda kini tidak lagi dalam kedudukan yang membolehkan mereka menerima slot automatik ke Liga Juara-Juara seperti edisi-edisi lalu.
Situasi ini akan kekal untuk dua edisi Liga Juara-Juara seterusnya yang bermakna untuk musim 2018/19 dan 2019/20, juara liga domestik Belanda perlu melalui pusingan kelayakan untuk mengesahkan tempat ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.
Kejatuhan bolasepak Belanda sangatlah drastik memandangkan mereka adalah naib juara Piala Dunia 2010 dan menduduki tangga ke-3 ketika Piala Dunia Brazil empat tahun kemudian.
Mereka gagal melayakkan diri ke EURO 2016 dan sekali lagi terpaksa menjadi penonton apabila pasukan terbaik seluruh dunia berkumpul di Russia tahun hadapan bagi merebut trofi terulung bolasepak.
Kelab dari Belanda gagal menunjukkan persembahan yang meyakinkan di peringkat Eropah mengakibatkan kehilangan mata yang banyak dalam kedudukan ranking UEFA. Ranking ini digunakan sebagai panduan dalam pembahagian slot ke kejohanan anjuran UEFA iaitu Liga Juara-Juara dan Europa League.
Dua kelab Belanda yang bersaing dalam peringkat Eropah, Feyenoord (Liga Juara-Juara) dan Vitesse Arnhem (Europa League) menerima nasib yang sama selepas masing-maisng mengakhiri kempen Eropah mereka di tangga tercorot.
Bermula musim hadapan, juara Eredivisie perlu mengharungi dua peringkat pusingan kelayakan bagi beraksi dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara. Situasi ini sememangnya asing bagi bolasepak Belanda yang menjadi rumah kepada 3 bekas juara Eropah masa lalu, iaitu Ajax, Feyenoord, dan PSV Eindhoven selain melahirkan ramai pemain berbakat dan terkenal seluruh dunia.
Belanda kini berada di kedudukan ke-12 ranking UEFA, dibelakang negara seperti Austria dan jiran mereka, Belgium. Walaupun ranking Belanda semakin merudum, mereka masih lagi menjadi hub utama dalam mengeksport pemain muda ke kelab Eropah yang lain dengan kelab seperti Ajax dan Feyenoord mempunyai akademi yang disegani seluruh dunia kerana tanpa putus menghasilkan pemain berbakat.
Feyenoord adalah kelab terakhir dari Belanda yang berjaya memenangi kejuaraan Eropah selepas menewaskan Borussia Dortmund dalam perlawanan akhir Piala UEFA pada tahun 2002. Ajax pula berjaya mara sehingga peringkat akhir dalam edisi Europa League musim lepas sebelum dikecewakan anak buah Jose Mourinho.
Musim ini Ajax gagal melayakkan diri beraksi dalam mana-mana kejohanan Eropah selepas kecundang di tangan Nice dalam peringkat kelayakan Liga Juara-Juara dan selepas itu tewas di tangan Rosenborg dalam peringkat kelayakan Europa League.