Liga Perdana Kekal Dengan PSR, Peraturan Baru Ditangguhkan

Profitability & Sustainability Rules (PSR) di Liga Perdana Inggeris akan terus digunakan untuk musim depan, walaupun terdapat rancangan untuk memperkenalkan peraturan kewangan baharu pada musim 2025-26.

Dalam mesyuarat di London pada hari Khamis lalu, kelab-kelab Liga Perdana membincangkan cadangan peraturan Squad Cost Ratio (SCR). Walaupun tiada undian dibuat tetapi mereka bersetuju untuk meneruskan perbincangan. Namun peraturan baharu ini tidak akan dilaksanakan pada musim depan. Ia bermakna PSR akan kekal sekurang-kurangnya satu tahun lagi dan kelab hanya dibenarkan mengalami kerugian maksimum £105 juta dalam tempoh 3 tahun.

Beberapa kelab seperti Manchester United, Newcastle United dan Aston Villa telah mengkritik PSR kerana menghadkan perbelanjaan mereka dalam jendela perpindahan pemain.

Cadangan Baru: Had Perbelanjaan Kelab

Peraturan SCR yang dicadangkan akan menghadkan perbelanjaan kelab kepada 85% daripada pendapatan mereka. Ia termasuk bayaran perpindahan pemain, gaji dan yuran ejen. Ini hampir sama dengan peraturan UEFA, yang menghadkan perbelanjaan kepada 70% daripada pendapatan.

Satu lagi cadangan iaitu anchoring turut dibincangkan. Cadangan ini akan mengehadkan jumlah yang boleh dibelanjakan kelab terbesar untuk pemain. Perbelanjaan mereka akan dihadkan mengikut jumlah hadiah wang dan hak penyiaran yang diterima oleh kelab tercorot liga.

Sebagai contoh, Sheffield United berada di tangga ke-20 liga dan mereka £110 juta pendapatan dari hadiah wang dan hak penyiaran, kelab kaya seperti Manchester City atau Chelsea hanya berbelanja maksima £550 juta, 5 kali ganda dari pendapatan Sheffield United.

Walaupun terdapat sokongan sebulat suara untuk SCR, beberapa isu masih perlu diselesaikan sebelum undian rasmi dibuat.

Tindakan Undang-Undang dan Peraturan Baru

Players Football Association (PFA) sebelum ini telah mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang jika Liga Perdana meneruskan peraturan SCR dan anchoring, yang bakal memperkenalkan had gaji ketat.

Sebagai sebahagian daripada cadangan SCR, Liga Perdana mahu diberikan kuasa tambahan untuk menyiasat kelab. Ini termasuk akses ke premis kelab, telefon kerja dan komputer. Oleh itu, pegawai kelab mungkin perlu menggunakan peranti rasmi kelab untuk urusan berkaitan.

Namun, Liga Perdana menegaskan bahawa lawatan ke kelab hanya akan dilakukan jika kelab enggan bekerjasama dalam siasatan.

Teknologi Ofsaid Separuh Automatik Akan Digunakan

Selain perbincangan mengenai peraturan kewangan, diumumkan bahawa semi automated offside technology (SAOT) akan digunakan di Liga Perdana jika percubaannya dalam pusingan kelima Piala FA pada bulan Mac nanti berjaya.

Teknologi ini akan digunakan dalam 7 perlawanan yang berlangsung di stadium milik kelab Liga Perdana – kecuali perlawanan Preston North End menentang Burnley kerana stadium tersebut tidak mempunyai sistem ini. Ini akan menjadi kali pertama SAOT digunakan dalam perlawanan kompetitif di England.

Pelantikan Pengerusi Panel Kehakiman Baru

Kelab-kelab Liga Perdana juga sebulat suara memilih Sir Gary Hickinbottom (bekas hakim Mahkamah Rayuan) sebagai Pengerusi Panel Kehakiman Bebas yang baru. Beliau menggantikan Murray Rosen KC yang telah tamat tempoh 5 tahun perkhidmatannya.

Baca Juga

Baca Juga