Sri Pahang FC dilaporkan akan membawa masuk pemain import baharu dari Brazil, Matheus Babi di jendela perpindahan kedua Liga Malaysia dalam masa terdekat.
Perkhabaran Babi bakal menyertai Sri Pahang mulai tersebar selepas beberapa perkongsian beberapa portal sukan dan Facebook mulai tular.
Babi adalah pemain yang beraksi sebagai penyerang dan mempunyai ketinggian 1.91 meter, yang bakal memberikan kelebihan untuk memenangi bola tinggi untuk skuad kendalian Fandi Ahmad.
Pemain itu dikhabarkan kini sedang bercuti dan giat meningkatkan kecergasannya di Brazil sebagai persediaan menyahut cabaran baharu.
Kelab terakhir yang diwakilinya adalah Santa Clara (secara pinjaman) di liga divisyen dua Portugal.
Pemain itu kemudian kembali ke kelab asalnya, Atletico Paranaense di Brazil selepas Santa Clara enggan mengaktifkan klausa untuk membenarkan pemain itu menyertai mereka secara tetap.
Walaupun kembali menyertai Atletico, masa depan Babi yang menjadi pemain kelima termahal pernah dibeli kelab itu masih tidak jelas sehingga khabar angin pemain ini bakal menyertai Sri Pahang.
Sri Pahang kini menduduki tangga ketiga Liga Super selepas mengharungi 15 perlawanan, hasil 9 kemenangan, 4 seri, dan dua kekalahan.
Walaupun tidak diberikan harapan tinggi oleh ramai pemerhati bola sepak tempatan pada awal musim, pencapaian Sri Pahang sehingga mampu menduduki tangga ke-3 Liga Super dianggap mengejutkan.
Atacante Matheus Babi retorna ao Athletico, mas tem futuro indefinido#invictta #BrBethttps://t.co/tL5qAeMb4N
— UmDois Esportes (@umdoisesportes) June 15, 2023
Malah pada satu ketika, kerana rekod tanpa kalah pasukan itu sehingga yang berpanjangan sehingga 11 perlawanan, mereka pernah dianggap sebagai satu-satunya pasukan yang mampu mencabar JDT pada musim ini.
Rekod tanpa kalah itu bagaimanapun dileburkan pada perlawanan ke-12 selepas tumpas 2-0 kepada juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu di Stadium Sultan Ibrahim pada 24 Mei lalu.
Kemungkinan untuk Fandi Ahmad mencari penyerang baharu untuk mempertajamkan barisan hadapan skuad Tok Gajah boleh difahami.
Setakat ini, Sri Pahang telah menjaringkan 28 gol – jumlah terendah di kalangan lima pasukan teratas Liga Super pada ketika ini.
Mampukah Babi melonjakkan Sri Pahang pada musim ini?