Lihat Jaringan Luar Biasa Cantik Dari Sergio Ramos

Ketua pasukan Real Madrid, Sergio Ramos sekali lagi membuktikan bahawa beliau bukanlah seorang centre back yang biasa-biasa apabila berjaya menjaringkan gol melalui sepakan percuma yang sungguh menakjubkan ketika bertemu Mallorca.

Pada hari minggu yang lalu, Sergio Ramos telah dinobatkan sebagai pemain pertahanan yang menjaringkan gol terbanyak sepanjang zaman dalam saingan La Liga selepas menjaringkan gol menerusi sepakan penalti ketika bertemu Real Sociedad.

Beberapa hari selepas mencipta rekod baru, beliau sekali lagi menjaringkan gol untuk Real Madrid dan beliau membuktikan bahawa dirinya bukan hanya pakar bola mati ketika mengambil penalti sahaja.

Ramos berjaya menjaringkan gol menerusi satu sepakan percuma ala David Beckham yang melencong masuk menerjah gawang Mallorca.

Dalam perlawanan tersebut, Vinicius Junior terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-19 perlawanan hasil umpanan dari Luka Modric.

Pada minit ke-56 perlawanan, giliran Sergio Ramos menjaringkan gol untuk Real Madrid bagi mengesahkan kemenangan 2-0 lalu memastikan kedudukan skuad kendalian Zinedine Zidane di puncak saingan La Liga.

Gol cantik tersebut merupakan jaringan ke-69 untuk bintang berusia 34 tahun itu sepanjang kariernya bersama Los Blancos dan jaringan ke-119 sepanjang kerjayanya bersama Sevilla, Real Madrid dan Sepanyol.

Ramos cuma menjaringkan dua gol sahaja dalam dua musim pertama beliau dalam saingan La Liga dengan beraksi bersama Sevilla sebelum beliau menandatangani perjanjian bersama Real Madrid pada tahun 2006.

Sejak dari itu beliau menjaringkan 66 gol dari 15 musim penampilannya bersama Juara 13 kali saingan liga Juara-juara Eropah itu.

Sejak saingan bola sepak kembali bersambung selepas digantung hampir tiga bulan kerana penularan wabak, pemain pertahanan Real Madrid itu telah berjaya untuk menjaringkan tiga gol dari empat perlawanan dalam saingan liga.

Jaringan beliau juga berjaya membawa skuad kendalian Zinedine Zidane ke puncak liga dan bakal menjulang Piala kejuaraan La Liga yang pertama mereka sejak tahun 2017.

Ramos merupakan antara pemain yang sering dibenci oleh penyokong pasukan lawan, terutamanya penyokong Liverpool selepas kejadian yang berlaku dalam perlawanan akhir Liga Juara-juara tahun 2018.

Sergio Ramos ketika itu dikatakan dengan sengaja telah mengasai Mo Salah dan menyebabkan pemain kebangsaan Mesir itu tidak dapat untuk terus beraksi dalam perlawanan akhir tersebut.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawasanya kemampuan Sergio Ramos dalam menjaringkan gol mahupun bertahan sungguh luar biasa hebat.

Beliau juga kini mengambil alih tugas yang ditinggalkan oleh Cristiano Ronaldo untuk mengambil sepakan penalti serta sepakan percuma sejak pemergian bintang Portugal itu ke Juventus pada tahun 2018.

Bahkan, pemenang Piala Dunia bersama Sepanyol itu juga telah menjaringkan gol menerusi sepakan percuma lebih banyak berbanding pemenang lima kali Ballon d’or itu dalam tempoh dua tahun terakhir ini.

Cristiano Ronaldo kini sudah tidak lagi seperti dahulu yang mana skill dan penyudah beliau dalam sepakan percumanya semakin teruk.

Sergio Ramos musim ini sudah berjaya menjaringkan lapan gol untuk Real Madrid, satu rekod yang boleh dibanggakan untuk seorang pemain centre back.

BACA:  PSG Sedang Dalam Pertimbangan Untuk Batalkan Kontrak Ramos