Lima Pemain Bahagian Serangan Yang Mampu Menghancurkan Pertahanan Lawan Dengan Mudah

Dalam bola sepak, pemain di bahagian serangan lebih mudah diingati. Ini kerana mereka banyak terlibat dengan gol-gol yang dihasilkan, sama ada sebagai penjaring, peng-assist, atau pemula gerakan.

Bila kita menyebut pemain bahagian serangan, ini termasuklah penyerang, pemain sayap dan pemain tengah.

Jadi kami kongsikan lima pemain yang mampu membelah pertahanan lawan dengan mudah melalui liuk lentok gelecekan bola ataupun melalui hantaran.

Memandangkan Cristiano Ronaldo dan Leo Messi sememangny telah diketahui ramai kebolehan mereka, maka tidaklah kami masuk kedua-duanya ke dalam senarai ini.

Luka Modric

Kalau dalam askar. Luka Modric ni ibarat Jeneral di mana dia akan menentukan hala tuju permainan sama ada serangan pantas, serangan perlahan atau serangan ke gawang sendiri.

Kebolehannya mengawal bola dengan baik, selain mempunyai pengelihatan yang tajam umpama burung Helang di padang pasir, membolehkannya membuat hantaran-hantaran bahaya kepada rakan sepasukan di posisi yang baik.

Pergerakannya di atas padang amatlah minima jika dibandingkan dengan N’Golo Kante dan dia lebih banyak berlari-lari anak dan lari setempat. Kadang-kadang dia buat lompat bintang di tengah padang. Buat tebiat.

Selain kemampuan membuat hantaran, dia juga mampu menjaringkan gol dari jarak jauh atau jarak dekat. Dia juga merupakan nadi utama pasukan Real Madrid dalam memenangi Liga Juara-juara dua kali dalam tempoh tiga tahun.

Pemain tengah di Malaysia patut menjadikan Modric sebagai contoh terbaik, memandangkan saiz badannya lebih kurang sama dengan pemain bola sepak di Malaysia.

 Mario Gotze

Mario Gotze juga seperti Modric – tidak berbadan besar namun dia mempunyai kepintaran yang dianugerahkan oleh Tuhan. Gotze sentiasa mencari ruang untuk menerima hantaran, atau untuk menarik pertahanan lawan dari posisi masing-masing.

Contoh ini dapat dilihat dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2014, di mana dia berlari di ruang antara dua pertahanan Argentina sebelum menerima umpanan dari kiri.

Gol tersebut mungkin bakal menjadi kenangan yang paling indah dalam hidupnya. Perpindahannya ke Bayern sedikit merencatkan perkembangan kariernya.

Namun kini dia telah kembali ke Dortmund dan beraksi cemerlang sebelum disahkan mempunyai penyakit pengecilan otot, atau bahasa saintifinya Myopathy.

Pierre Emerick Aubameyang

Kadang-kadang kelajuan sepantas cahaya sudah mampu untuk membelah pertahanan pasukan lawan dan inilah yang sering dilakukan oleh pemain Gabon, Aubameyang.

Selain kelajuan, Aubameyang juga mempunyai ketajaman di hadapan gol dan setakat musim ini, dia telah menjaringkan 33 gol dalam 36 perlawanan.

Prestasi ajaibnya pasti akan membuatkan Dortmund dalam keadaan gelisah dengan kelab besar seperti Real Madrid dan Barcelona telah menunjukkan minat untuk membeli pemain ini.

Namun Aubameyang dikatakan mempunyai satu klausa unik dalam kontraknya bersama Dortmund – dia akan kekal di Dortmund jika Reus kekal di kelab tersebut.

Bromance? Kakakarius.

Aubameyang kini bersama Arsenal yang Lemah dan Lembik.

Kevin De Bruyne

Pemain berbangsa Belgium ini menjadi pemain buangan ketika Mourinho mengendalikan Chelsea menyebabkannya dijual kepada kelab Jerman – VFL Wolfsburg.

Kelincahan dan kebolehannya menjaringkan gol mendorong Manchester City membeli pemain ini pada dua musim lepas, sekaligus menjadi duri dalam daging buat pasukan lamanya.

Teknik permainan De Bruyne lebih kurang sama dengan penulis – mempunyai kuasa pecutan yang tinggi, mampu menggelecek pihak lawan, jaringkan gol jarak jauh selain ketepatan dalam tendangan percuma.

Dengan kata lain, De Bruyne adalah jelmaan penulis.

Eden Hazard

Eden Hazard Ekau Sapo adalah satu lawak hambar yang sudah semakin kurang digunakan oleh rakyat Malaysia, namun begitu, itu tidak menghalang pemain perancang Chelsea ini untuk memporak perandakan benteng pertahanan lawan di England.

Meskipun mengalami sedikit penurunan prestasi pada musim lalu, Hazard kembali bangkit menjadi Hazard yang dikenali.

Hazard mempunyai kelajuan dan kawalan bola yang kemas, selain mampu menjaringkan gol dalam apa jua sudut.

Disebabkan kelincahannya juga dia sering menjadi sasaran pemain lawan untuk mencederakannya. Pada musim ini, fokus Hazard untuk merencanakan serangan Chelsea menjadi lebih mudah dengan adanya sokongan daripada N’Golo Kante.

Baca Juga

Baca Juga