Lima Pemain Manchester United Yang Paling Berprestasi Musim Ini

Manchester United pada musim ini dianggap antara pasukan kegemaran untuk muncul sebagai Juara dalam saingan Premier League.

Walau bagaimanapun, selepas mengharungi tujuh perlawanan awal pada musim ini, mereka sepertinya tidak berada di tahap persembahan terbaik seperti yang dijangkakan.

Manchester United pada ketika ini berada di kedudukan keempat dalam carta liga, dua mata dibelakang Chelsea yang sedang berada di puncak.

Perbezaan mata sememangnya tidak begitu jauh antara kesemua enam pasukan yang berada di kelompok teratas dalam saingan liga, namun United sepatutnya boleh mengutip lebih banyak mata berbanding yang mereka miliki pada ketika ini.

Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu berjaya mencatatkan empat kemenangan, satu kekalahan dan dua keputusan seri dari kesemua tujuh perlawanan awal dalam saingan liga.

Ia jelas bukanlah permulaan yang baik untuk Manchester United memandangkan mereka dianggap sebagai pasukan pilihan untuk mencabar kejuaraan pada musim ini.

Jentera serangan yang United miliki pada musim ini dengan pemain seperti Cristiano Ronaldo, Paul Pogba, Jadon Sancho, Bruno Fernandes, Edinson Cavani, Anthony Martial, Marcos Rashford dan Jesse Lingard dianggap yang terbaik berbanding semua pasukan lain.

Walau mempunyai jentera serangan yang super mantap, namun masalah utama yang membelenggu setan merah pada musim ini adalah pemain di posisi defensive midfielder.

Ole Gunnar Solskjaer terlalu bergantung kepada gandingan Scott McTominay dan Fred dengan gandingan tersebut sebenarnya langsung tidak digemari oleh para peminat.

Bukan hanya para peminat, bahkan bekas pemain dan pihak media juga sering menghentam gandingan tersebut dan menganggap mereka titik terlemah setan merah.

Lebih parah lagi, Ole Gunnar Solskjaer sehingga kini masih belum berjaya untuk menemui kesebelasan terbaik dan taktikal tetap untuk beliau guna pakai.

Memandangkan para pemain ketika ini sedang terlibat dengan tugasan antarabangsa, pengurus dari Norway itu sepertinya boleh menggunakan masa yang ada untuk memikirkan perubahan berkait taktikal dan pemilihan pemain.

Beliau jelas sekali perlu ada taktikal tetap untuk digunakan dan paling penting sekali, Ole Gunnar Solskjaer perlu ada kesebelasan tetap yang akan beliau gunakan.

Untuk memperoleh hasil yang positif, beliau perlu memikirkan kesemua hal tersebut, dan andai beliau tetap mengambil mudah hal itu, maka masa depan beliau juga bakal tergugat.

Walau United berada di tahap persembahan yang tidak menentu, namun ada juga barisan pemainnya yang sedang berada di tahap persembahan terbaik masing-masing.

Berikut merupakan lima pemain yang sedang berada di tahap persembahan terbaik mereka, dan dianggap antara lima pemain United yang paling berprestasi sepanjang awal musim ini.

1) Bruno Fernandes

Bruno Fernandes jelas sekali menjadi nadi terpenting United sejak dari awal ketibaannya dari Sporting sebelum ini dengan beliau pada musim lalu memikul United sehingga berjaya mengakhiri saingan liga di kedudukan kedua.

Musim ini, beliau langsung tidak menunjukkan penurunan dalam persembahannya, dengan Fernandes masih lagi menjadi penjaring gol utama United dalam beberapa perlawanan awal liga.

Beliau jelas sekali antara pemain paling berprestasi setakat ini selepas mempamerkan kecemerlangan yang sungguh menakjubkan di atas padang.

Beliau turut berjaya mencatatkan hat-trick ketika aksi perlawanan pembukaan bertemu Leeds United dan turut menjadi nadi penting United dalam kesemua perlawanan dalam saingan Premier League setakat ini.

Walau beliau gagal untuk menyempurnakan sepakan penalti, namun aksi dan persembahan beliau masih tidak boleh diragukan.

2) David De Gea

Sejak dari awal musim ini, De Gea tidak dinafikan lagi sedang berada di tahap persembahan terbaiknya dan sering menjadi penyelamat United.

Beliau sebelum ini tidak berada di tahap persembahan terbaiknya dan sering dikritik oleh para peminat atas aksi tidak menentu yang beliau persembahkan.

Namun pada musim ini, beliau berjaya membuktikan yang dirinya masih lagi salah seorang penjaga gol terhebat dunia.

Selain menyelamatkan sepakan penalti minit akhir Mark Noble ketika aksi bertemu West Ham sebelum ini, beliau turut berjaya menyelamatkan begitu banyak percubaan merbahaya dari pasukan lawan.

Tidak dinafikan juga kerana beliau United beberapa kali terselamat dari berdepan dengan kekalahan dan De Gea jelas antara penjaga gol paling berprestasi setakat ini.

Walau beliau sebelum ini dianggap akan hilang tempat sebagai penjaga gol utama, namun sepertinya De Gea kini sudah mengesahkan tempat sebagai penjaga gol utama kelab dihadapan Dean Henderson.

3) Paul Pogba

Paul Pogba telah memulakan kempen saingan Premier League musim ini dengan sangat cemerlang, dan beliau turut dianggap berjaya menemui rentak persembahan terbaiknya pada ketika ini.

Hanya dari tujuh penampilan dalam saingan Premier League, Pogba berjaya mencatatkan tujuh assist dan ia merupakan satu pencapaian yang sangat menakjubkan.

Ia juga jelas satu peningkatan yang sangat mendadak untuk bintang Perancis itu, selepas beliau melalui musim sendu pada musim lalu.

Persembahan beliau dilihat lebih klinikal dan positif, dan Pogba pada musim ini lebih kerap dimainkan di posisi sayap kiri dengan beliau sangat selesa bermain di situ.

Walau bagaimanapun, masih ada keraguan terhadap prestasi beliau ketika membantu barisan pertahanan dan aksi tidak menentu yang beliau pamerkan dalam dua perlawanan terakhir ini.

Ole Gunnar Solskjaer perlu mencari jalan terbaik agar beliau mampu menggunakan Paul Pogba sebaik mungkin.

Dengan aksi hebat yang sudah beliau pamerkan setakat ini, tidak hairanlah Pogba dianggap antara pemain terbaik dalam saingan Premier League musim ini.

4) Cristiano Ronaldo

Sejak kepulangan semula beliau ke bumi Old Trafford, Cristiano Ronaldo jelas sekali dianggap penandatanganan paling sempurna untuk United pada musim ini.

Beliau berjaya menepati ramalan dengan muncul sebagai penjaring utama United dan telah berjaya menjaringkan lima gol setakat ini.

Dari kesemua lima gol tersebut, jaringan beliau ketika bertemu Villarreal dianggap yang terbaik kerana ia merupakan gol kemenangan untuk United dalam perlawanan tersebut.

Ole Gunnar Solskjaer sendiri sangat berbangga dengan persembahan Ronaldo setakat ini, dengan beliau telah memberikan pujian menggunung ke atas pemainnya itu.

Walau bagaimanapun, dek kerana mengetepikan Ronaldo dari kesebelasan utama beliau bertemu Everton baru-baru ini, Solskjaer teruk dihentam oleh pelbagai pihak.

Cristiano Ronaldo juga turut berjaya memenangi anugerah pemain terbaik bulanan dalam saingan Premier League pada bulan ini.

Melihat kepada gandingan beliau bersama Paul Pogba dan Bruno Fernandes, tidak dinafikan lagi yang Ronaldo merupakan pilihan utama untuk memenangi gelaran kasut emas musim ini.

5) Raphaël Varane

Raphael Varane merupakan penandatanganan terbaru kelab, dengan beliau juga dianggap pemain yang paling disayangi peminat pada ketika ini.

Beliau berjaya mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan sejak dari awal ketibaannya di Old Trafford dan menjadi nadi penting di barisan pertahanan United.

Varane kini menjadi pemain utama untuk United tidak kira sama ada dalam saingan Premier League mahupun dalam saingan Champions League.

Beliau setakat ini sudah membuat tujuh penampilan dan telah mempamerkan aksi persembahan sungguh menakjubkan dalam semua perlawanan tersebut.

Beliau berjaya mengawal barisan pertahanan United dengan sangat cemerlang walau Maguire dan Luke Shaw berada di tahap persembahan terburuk mereka.

Raphael Varane dipilih sebagai antara pemain paling berprestasi pada ketika ini selepas mempamerkan tahap konsistensi yang menakjubkan.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Pogba Berterima Kasih Kepada Mourinho Kerana Menjadikan Dirinya Pemain Lebih Baik