Lima Pemain Yang Gagal Menepati Jangkaan di Piala Dunia

Piala Dunia sudah semakin hampir ke penghujung dan setakat ini beberapa nama pasukan yang terkenal sudah pun terkandas di peringkat kumpulan dan pusingan-16 pasukan, seperti Jerman, Sepanyol, Argentina dan Portugal.

Penyingkiran pasukan-pasukan ini semestinya berkait dengan prestasi hambar pemain, selain taktikal pengurus pasukan yang tidak setaraf pengulas bola sepak Facebook di Malaysia.

Jadi, kami kongsikan senarai lima pemain yang diharapkan menyinar dan membantu negara mereka, namun tersungkur awal dan sekadar beraksi seperti itik pulang petang.

Mesut Ozil

Sebelum ini pun sudah banyak kali cakap-cakap di belakang tabir bahawa Ozil selalu gagal menyinar dalam perlawanan besar, sama ada di peringkat kelab ataupun skuad kebangsaan.

Sebelum Piala Dunia bermula, dia dijangka bakal menjadi contoh ikutan kepada pemain muda, memandangkan ini adalah Piala Dunia ketiga yang disertainya namun semua harapan disendukan pemain Arsenal ini.

Dalam perlawanan menentang Mexico, Ozil dilihat sekadar mencukupkan bilangan 11 orang pemain Jerman di atas padang, dan dalam perlawanan kedua menentang Sweden di mana Ozil tidak diturunkan, Jerman berjaya mendapatkan tiga mata.

Buat satu kapsyen untuk gambar ini

Tatkala juara 2014 ini mempersiapkan pasukan menentang Korea Selatan, banyak pihak yang menjangka Lowe akan mengekalkan pemain yang beraksi ketika menentang Sweden.

Namun di luar dugaan, Lowe bertindak menurunkan Ozil sedangkan ramai lagi pemain yang tidak cedera. Seperti yang diketahui ramai, Jerman tewas 2-0 kepada jaguh Asia tersebut lalu pulang awal dan menjadi bahan berita lawak Buletin Utama TV3.

Ini semua sebab Ozil yamg lemah dan lembik!

Leo Messi

Pada usia 31 tahun, edisi kali ini boleh dikatakan sebagai peluang terakhir Messi untuk akhirnya memenangi piala bersama pasukan kebangsaan. Tapi itu lah, harapkan pagar, pagar tak boleh harap.

Dalam empat perlawanan Argentina, Messi hanya berjaya menjaringkan gol dalam satu perlawanan sahaja – ketika menentang Nigeria.

Ketika menentang Iceland, Messi gagal menyempurnakan tendangan penalti dan ketika mereka dibelasah 0-3 oleh Croatia, Messi dilihat seolah-olah sedang bermain Mobile Legend di tengah padang. Langsung tiada fungsi!

Kelihatan Messi sedang buat-buat tidur dalam bas.

Ada satu artikel yang di-copy dari group sebelah mengatakan kegagalan Argentina pada kejohanan ini adalah kerana campur tangan Messi dalam kerja Jorge Sampaoli di mana dia telah memberi arahan supaya Mauro Icardi tidak dibawa ke Russia, Paulo Dybala, Gonzalo Higuain dan Kun Aguero diletakkan di bangku simpanan atas alasan tidak serasi.

Sahih tak sahih cerita ini akan diperiksa di group sebelah.

Messi sebelum ini pernah bersara daripada skuad kebangsaan Argentina namun kembali selepas terikut tindakan Safiq Rahim yang kembali menyarung jersi Harimau Malaya. Adakah Messi bakal bersara sekali lagi? Tunggu tengok lah.

David Silva

David Silva dijangka bakal menyinar buat Sepanyol selepas musim yang cemerlang bersama Manchester City. Walaupun sudah tidak berambut, Silva masih lagi menjadi tonggak pasukan Sepanyol tambahan pula Andres Iniesta sudah tidak lagi mempunyai kudrat dan tenaga seperti dulu.

Silva dikepung beramai-ramai

Kalau di City, Silva berganding dengan Kevin de Bruyne – pemain yang mempunyai corak permainan cukup berbeza berbandingnya namun di kem Sepanyol, gaya Silva adalah serupa dengan isco dan Iniesta dan ini gagal memeberikan impak positif kepada Las Rojas.

Adakah Silva akan masih bersama Sepanyol dalam kempen Piala Dunia 2022? Mungkin tidak.

Robert Lewandowski

Tidak dinafikan Robert Lewandowski adalah salah seorang daripada penyerang terbaik di dunia. Empat musim bersama Bayern Munich dia telah bermain dalam 126 perlawanan dan menjaringkan 106 gol. Rekodnya bersama Polang juga boleh tahan hebatnya.

Lewan telah menjaringkan 55 gol dalam 95 penampilan – satu rekod yang agak baik.

Walaubagaimanapun di Russia, dia dilihat cukup berbeza. Memanglah kualiti pemain Poland tidak setaraf pemain Bayern, namun apa yang mengejutkan ialah aksi Lewandowski itu sendiri.

Lewandoswki hambar bersama Poland

Dia gagal menyudahkan peluang di hadapan gol dalam kotak penalti, tidak melakukan larian membuka ruang dan peluang dan juga sering kelihatan terasing di bahagian serangan.

Adakah itu juga salah pemain skuad Poland? Jawablah!

Thomas Mueller

Seorang lagi peman Bayern Munich dan Jerman dalam senarai ini. Dalam dua edisi Piala Dunia sebelum ini, Muller boleh dikatakan sebagai senjata utama Jerman, di mana dia telah menjaringkan sejumlah 10 gol, termasuk berjaya memenangi anugerah kasut emas pada 2010.

Tidak seperti Ozil, Muller berjaya mengekalkan tempat dalam kesebelasan utama ketika menentang Sweden, meskipun hambar dan sendu ketika menentang Mexico. Dalam perlawanan menentang Korea, Muller sekadar dimasukkan sebagai gantian.

Pemain muka tua ini gagal menyerlah pada edisi kali ini.

Prestasinya bersama kelab pada musim ini amatlah menghampakan di mana dia hanya berjaya menjaringkan lapan gol, namun dia selalunya cemerlang pada peringkat tertinggi.

Akan tetapi langit tidak selalu cerah dan Muller membawa prestasi hambarnya bersama Bayern ke kem Jerman sekaligus memaksa pasukan gergasi tersebut pulang awal. Kesian.

Nota : Jangan tanya kenapa tiada Ronaldo dalam senarai ini kerana penulis adalah fanboy dan juga merupakan Pengerusi Kelab Peminat Cristiano Ronaldo Padang Jawa.

Artikel asal : Sportskeeda

Baca Juga

Baca Juga