Lima Pemain Yang Tak Gembira Dengan Ole Gunnar Solskjaer

Terdapat lima pemain Manchester United yang tidak gembira dengan pengurus mereka pada ketika ini selepas mencatatkan keputusan seri 1-1 di Old Trafford kemarin.

Anthony Martial meledak gol pembukaan untuk Manchester United mendahului Everton 1-0 selepas beliau cemerlang menyempurnakan hantaran bijak dari Bruno Fernandes.

Walau bagaimanapun, Everton berjaya untuk memadam gol tersebut menerusi Andros Townsend yang meraikan gol jaringannya dengan keraian ‘SIUUUUU’.

Setan merah hanya mampu memenangi dua dari lima perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan, dengan pengurus, Ole Gunnar Solskjaer teruk dikritik atas persembahan buruk anak-anak buahnya.

Ramai pihak yang mempertikaikan kemampuan beliau selepas melihat persembahan buruk Manchester United sejak kebelakangan ini, walau mempunyai barisan pemain berkelas dunia.

Solskjaer yang baru menandatangani perjanjian lanjutan kontrak bersama kelab pada Julai lalu, mendapat sokongan penuh dari vice-chairman, Ed Woodward untuk terus membawa kelab ke arah lebih berjaya.

Walau bagaimanapun, pengurus United itu kini berdepan dengan lima pemain dari skuadnya yang tak gembira dengan persembahan semasa serta cara beliau mengendalikan skuad.

Menurut sumber laporan dari The Daily Telegraph, Cristiano Ronaldo dan Paul Pogba merupakan antara nama pemain yang tidak gembira dengan situasi yang berlaku pada ketika ini.

Kedua-dua mereka jelas kecewa dengan keputusan seri bertemu Everton sebelum ini, dengan Pogba dan Ronaldo terus masuk ke terowong sebaik wisel penamat dibunyikan.

Akhbar tersebut turut melaporkan yang David De Gea turut bengang selepas tamat perlawanan tersebut, dengan beliau berkongsi rasa kecewanya kepada rakan sepasukannya yang lain.

Jadon Sancho yang dilihat sukar untuk memberikan impak positif bersama kelab pada ketika ini, kecewa kerana beliau terpaksa bermain di posisi berbeza.

Solskjaer menurunkan Sancho untuk bermain di posisi sayap kiri ketika aksi bertemu Everton, dengan beliau sebenarnya lebih selesa bermain di posisi sayap kanan.

Donny Van de Beek jelas antara individu paling tidak berpuas hati dengan keputusan Ole Gunnar Solskjaer pada ketika ini dengan beliau gagal untuk mendapat minit permainan yang mencukupi.

Ketika aksi kemenangan 2-1 menewaskan Villarreal dalam saingan Champions League sebelum ini, beliau meluahkan kemarahannya dengan mencampakkan gula getah sambil rakan sepasukannya cuba menenangkan beliau.

Solskjaer turut menegaskan yang kegagalan United mencari gol kedua merupakan punca mengapa mereka gagal untuk mengutip tiga mata ketika beraksi bertemu Everton sebelum ini.

“Kita ada pemain yang mencukupi di belakang bola, kita ada buat beberapa keputusan yang teruk dan menyebabkan kita gagal pada minit-minit akhir permainan.”

Jelas Solskjaer lagi.

“Kami sangat teratur bila bermain tanpa bola, tapi kita sepatutnya mampu untuk mengawal ancaman bahaya dari lawan.”

“Hari ini, kita mendominasi perlawanan, kita cuma gagal untuk menjaringkan gol kedua yang diperlukan dalam perlawanan seperti ini. Everton, seperti apa kita tahu sejak musim lalu, mereka boleh jaringkan gol dari mana-mana saja.”

“Ia tentang serangan balas yang kita hadapi. Kita sudah cukup tersusun, kita sepatutnya mampu tangani situasi itu dengan lebih baik.”

“Kamu boleh beri tumpuan untuk turun lebih ke bawah, hari ini kita ada 75 peratus penguasaan bola atau apa saja lah, dan kita kena counter sekali terus bolos.”

“Kita tak cukup tajam untuk peroleh gol kedua dalam perlawanan ini.”

United akan kembali memulakan aksi saingan liga musim ini pada 16 Oktober nanti bertemu Leicester City di King Power Stadium.

Dengan lima pemain yang tidak gembira dengan beliau, tentu sedikit sukar untuk Solskjaer menyusun strategi beliau dalam perlawanan tersebut.

Kemenangan merupakan satu hal terpenting untuk beliau kerana andai kalah, masa depan beliau di Old Trafford akan semakin terjejas.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Neville: Menang Liga Juara-Juara Eropah Dan Solskjaer Bakal Jadi Pengurus Tetap United