Lima Penerima Anugerah Ballon D’or Terhebat Dalam Sejarah Barcelona

Terdapat pelbagai anugerah individu yang ada dalam dunia bola sepak, dan anugerah Ballon D’or merupakan salah satu anugerah yang paling berprestij dan menjadi idaman setiap pemain.

Anugerah Ballon d’or ditubuhkan pada tahun 1956 dan ia bertujuan untuk menghargai bakat-bakat terhebat dalam dunia bola sepak, dengan mereka yang berada di tahap terbaik akan dicalonkan untuk memenangi anugerah itu.

Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi merupakan dua pemain yang senantiasa mendominasi anugerah tersebut, dengan mereka memenangi 11 dari 12 edisi terakhir ini.

Ia jelas sekali menunjukkan tahap konsistensi mereka berada di tahap yang sukar untuk dijelaskan dengan kata-kata dan kerana itulah mereka dianggap yang terhebat sepanjang zaman.

FC Barcelona merupakan antara pasukan yang paling banyak memenangi kejuaraan sejak bertahun-tahun sebelum ini, dan menjadikan mereka sebagai salah sebuah kelab terhebat dalam sejarah dunia bola sepak.

Barcelona juga merupakan antara pasukan yang sudah memenangi kesemua Piala utama yang pernah dipertandingkan dalam dunia bola sepak.

Mereka juga merupakan satu-satunya pasukan yang masih kekal memegang rekod dua continental treble dalam sejarah dunia bola sepak.

Gergasi Catalan itu merupakan pasukan yang paling banyak wakil yang pernah menerima anugerah tersebut berbanding mana-mana pasukan lain.

Barcelona juga merupakan antara pasukan yang paling banyak melahirkan legenda dalam dunia bola sepak, dan dianggap sebagai antara pemain terhebat sepanjang zaman.

Dari kesemua legenda yang Barca miliki, enam dari pemain mereka pernah memenangi gelaran Ballon D’or, dengan mereka secara keseluruhannya pernah memiliki 12 anugerah paling berprestij dalam dunia bola sepak itu.

Barcelona mendahului Real Madrid dengan kelebihan satu anugerah Ballon D’or untuk menjadikan mereka sebagai pasukan paling banyak menyimpan bola emas tersebut.

Berikut merupakan lima pemenang anugerah Ballon D’or terhebat dalam sejarah Barcelona.

1. Lionel Messi – 2009 hingga 2012, 2015 dan 2019

Ramai yang menjangkakan Messi akan memenangi anugerah Ballon D’or pada tahun 2007 yang lalu, namun beliau pada ketika itu hanya berada di kedudukan ketiga sahaja.

Namun tiada siapa sangka, selepas dari itu, Messi berjaya memenangi enam anugerah tersebut sepanjang kariernya, dan beliau turut masih berkesempatan untuk menambah lagi jumlah koleksi bola emas miliknya.

Pemain kebangsaan Argentina itu menjadikan anugerah Ballon D’or sebagai anugerah tahunan untuknya, dengan beliau merupakan pemenang terbanyak dalam sejarah dunia bola sepak.

Messi jelas telah mendominasi anugerah tersebut dek kerana aksi hebat serta persembahan mantap yang beliau persembahkan di atas padang.

Beliau memenangi empat kali gelaran Ballon D’or secara berturut-turut dari tahun 2009 hingga 2012, sebelum memenanginya semula pada tahun 2015 dan 2019.

Tidak ada sesiapa mampu untuk mempertikaikan kemampuan Messi dengan pemain terhebat sepanjang zaman itu berjaya menjaringkan 672 gol dan mencatatkan 301 assists untuk Barcelona sebelum menyertai PSG.

2. Johan Cruyff – 1973 dan 1974

Johan Cruyff merupakan salah seorang pemain bola sepak terhebat yang kekal dalam ingatan para penyokong Barcelona sehingga ke hari ini.

Legasi dan philosophy yang beliau tinggalkan masih di jaga di setiap generasi di Nou Camp.

Legenda bola sepak Belanda itu telah mengevolusikan corak permainan Barcelona baik ketika bergelar pemain, mahupun ketika menjadi pengurus kelab.

Cryuff menyarung jersi Barcelona dari 1973 sehingga 1978 dengan beliau telah membuat 174 penampilan dan turut menjaringkan 59 gol.

Selain Lionel Messi, Cryuff merupakan satu-satunya pemain Barca yang berjaya memenangi anugerah tersebut lebih dari sekali.

3. Ronaldinho – 2005

Ronaldinho merupakan idola bagi para peminat seluruh dunia dengan beliau memiliki aura yang mampu membuatkan sesiapa saja teruja untuk menyaksikannya.

Beliau turut dianggap sebagai pemain terhebat Brazil di era modern, dengan Ronaldinho benar-benar memiliki teknik dan skill yang tidak mampu ditandingi oleh mana-mana pemain sekalipun.

Beliau mengukuhkan kedudukan sebagai legenda Barca selepas berjaya membawa pulang gelaran Ballon D’or ke bumi Nou Camp pada tahun 2005.

Ronaldinho berada di kemuncak kariernya ketika beraksi bersama Barcelona, dengan beliau turut tercalon sebagai pemenang anugerah tersebut pada tahun 2004.

Setahun kemudian, beliau berjaya menewaskan pemain seperti Frank Lampard dan Steven Gerrard untuk memenangi anugerah Ballon D’or pada tahun 2005.

Legenda Brazil itu jelas merupakan pemain paling digeruni lawan pada ketika itu, bahkan beliau juga digemari oleh semua peminat tidak kira dari pasukan mana sekalipun.

Sepanjang lima tahun kariernya, Ronaldinho berjaya menjaringkan 94 gol dan turut mencatatkan 71 assists, dengan beliau turut mencipta pelbagai detik indah yang masih dikenang sehingga ke hari ini.

Bayangkan saja bagaimana hebatnya Ronaldinho, penyokong Real Madrid sendiri turut memberikan standing ovation kepadanya ketika aksi El Clasico pada tahun 2005.

Beliau merupakan pemain Barcelona kedua selepas Diego Maradona yang menerima sambutan hangat dari para penyokong Real Madrid.

4. Rivaldo – 1999

Salah seorang pemain terhebat sepanjang zaman dalam sejarah bola sepak Brazil, Rivaldo pernah memenangi anugerah tersebut pada tahun 1999, yang mana beliau ketika itu bersinar bersama Barcelona.

Pemain kebangsaan Brazil itu berjaya menewaskan legenda Manchester United, David Beckham dan Andriy Shevchenko untuk memenangi anugerah tersebut.

Terkenal dengan kemampuan teknikal beliau yang sungguh menakjubkan, kaki kiri Rivaldo jelas sekali menjadi mimpi ngeri untuk pemain pasukan lawan.

Beliau juga begitu tajam ketika berada di depan gol, dengan kemampuan menggelecek, hantaran dan penyudah yang mampu menewaskan pertahanan serta penjaga gol lawan.

Rivaldo berjaya membantu Barcelona memenangi gelaran La Liga pada tahun 1998 dan 1999 dan juga turut berjaya menjulang Copa del Rey pada tahun 1998.

Sepanjang lima tahun kariernya, Rivaldo berjaya menjaringkan 130 gol dan turut mencatatkan 43 assists dari 235 penampilan bersama kelab.

5. Luis Suarez – 1960

Beliau bukanlah Luis Suarez yang bermain bersama skuad kebangsaan Uruguay, namun beliau adalah pemain terhebat sepanjang zaman Sepanyol, Luis Suarez Miramontes.

Beliau merupakan pemain Barca pertama yang memenangi anugerah Ballon D’or, dengan legenda Sepanyol itu berjaya memenangi anugerah tersebut pada tahun 1960.

Luis Suarez memenangi anugerah Ballon D’or selepas menerima 54 undian, untuk menewaskan legenda Real Madrid, Ferenc Puskas.

Luis Suarez juga kekal menjadi satu-satunya pemain Sepanyol yang pernah memenangi anugerah tersebut dalam sejarah dunia bola sepak.

Suarez memiliki kepantasan, penuh skill dan mempunyai penyudah yang sangat berkualiti untuk menjadikan beliau sebagai pemain terpenting Barcelona pada ketika itu.

Beliau tampil beraksi bersama Barca dari tahun 1955 hingga 1961, dengan Suarez berjaya menjaringkan 68 gol sepanjang kariernya di Nou Camp.

Sebagai tambahan, selain pernah memenangi anugerah tersebut, beliau juga pernah berada di kedudukan kedua dalam senarai pemenang anugerah Ballon D’or pada tahun 1951 dan 1964.

Sumber: Sportskeeda

BACA:  Arteta Bidas Xavi Kerana Kritik Corak Pemainan 'Melampau' Arsenal Lawan Barcelona