Lima Penyerang Muda Terhangat di Eropah Musim Ini

Pemain muda sering hadir menghiasi kancah bola sepak di dunia, terutamanya di Eropah dan Amerika Selatan. Daripada posisi penjaga gol, pertahanan, pemain tengah sampailah ke penyerang, setiap musim pasti ada pemain yang menyerlah dan mencipta nama.

Jika Donnarumma, kini berusia 18 tahun, menjadi buruan utama beberapa kelab besar dunia seperti Real Madrid, Manchester United dan Manchester City, beberapa pemain lain juga turut membuka mata kelab besar, terutamanya pemain di bahagian serangan.

Jadi kami kongsikan lima pemain di bahagian serangan yang menjadi target pasukan ternama dunia.

Dele Alli

Usia : 21 tahun

Pasukan : Tottenham Hotspur

Jumlah gol setakat ini : 17

Dele dibeli Spurs dari kelab pecahan Wimbledon, Milton Keynes Don pada harga £5 juta (RM25 juta) tiga tahun lalu, dan kini Dele merupakan tonggak utama di bahagian serangan pasukan tersebut. Gandingannya bersama Harry Kane dan Son Heung Min membawa Spurs kekal mengekori rapat pendahulu liga Chelsea sejak awal musim.

Setakat ini Dele telah menjaringkan 17 gol, 14 dalam liga, 1 gol di pentas eropah dan 2 gol di Piala FA. Jika rentak kecemerlangannya berjaya dikekalkan, tidak mustahil kelab yang lebih besar bakal membida pemain lincah ini.

Timo Werner

Usia : 21 tahun

Pasukan : RB Leipzig

Jumlah gol setakat ini : 14

Pemain ini memulakan karier bola sepaknya di kelab VFB Stuttgart sejak berusia 17 dan telah bermain sebanyak hampir 100 perlawanan untuk kelab tersebut. Disebabkan prestasinya yang mantap, kelab kaya yang baru muncul, RB Leipzig telah membelinya pada musim panas 2016 dan dia telah menjaringkan 14 gol setakat ini.

Gandingannya bersama Emil Forsberg dan Yusuf Poulsen berjaya menyerlahkannya sebagai pemain yang hebat dan kini dia telah disenaraikan untuk latihan pusat pasukan kebangsaan Jerman bagi menghadapi kelayakan Piala Dunia 2018.

Giovanni Simeone

Usia : 21 tahun

Pasukan : Genoa

Jumlah gol setakat ini : 11

Gio Simeone adalah anak kepada ketua jurulatih Atletico Madrid, Diego. Bermain untuk Genoa di Serie A, Simeone telah menjaringkan 10 gol liga dan 1 gol dalam Coppa Italia. Mungkin dalam kesibukan Diego mengajar anak orang bermain bola di Atletico, dia tidak lupa untuk meluangkan masa mengajar anaknya sendiri pula.

Larian pantas dan kawalan bola yang kemas membantu pemain ini menyesuaikan diri ketika bertemu lawan yang lebih dewasa dan berpengalaman. Dengan baki perlawanan Serie A yang ada, tidak mustahil jika dia mampu jaringkan sekurang-kurangnya lagi lima gol  sekaligus dapat membantu Genoa kekal di Serie A.

Serge Gnarby

Usia : 21 tahun

Pasukan : Werder Bremen

Jumlah gol setakat ini : 10

Gnarby muncul pemain kedua paling muda, di belakang Jack WIlshere, yang melakukan debut untuk pasukan Arsenal dan ia berlaku pada musim 2012-13 ketika berusia 17 tahun 98 hari dalam perlawanan Piala Liga, menggantikan Alex Oxlade Chamberlain.

Disebabkan tiada masa depan bersama Arsenal, atau Arsenal tiada masa depan, Gnarby memilih untuk kembali ke Jerman pada musim panas 2016 dengan menyertai Werder Bremen pada nilai £5 juta. Setakat ini, Gnarby telah bermain sebanyak 22 perlawanan untuk pasukan Bundesliga tersebut dan menjaringkan 10 gol, kesemuanya dalam liga.

Jika prestasi ini dikekalkan untuk tempoh 2-3 tahun mendatang, tidak mustahil Manchester United bakal memecahkan rekod dunia untuk membawanya ke Old Trafford.

Kylian Mbappe

Usia : 18 tahun

Pasukan : AS Monaco

Jumlah gol setakat ini : 19

Nama pemain ini menjadi tumpuan dunia setelah dia secara bersahaja mengkucar-kacirkan pertahanan Manchester City dalam pertemuan pusingan 16 pasukan Liga Juara-juara minggu lalu. Pasukannya layak ke suku akhir dan akan bertemu kelab Jerman, Borussia Dortmund.

Mbappe melakukan debut pada 2 Disember 2015, pada usia 16 tahun 347 hari – sekaligus muncul pemain termuda bermain untuk kelab negara kecil tersebut. Pada awal musim ini, dia telah mencipta hartik pertamanya dalam perlawanan menentang Metz. Secara keseluruhannya, Mbappe telah menjaringkan 19 gol mengikut pecahan berikut; 12 gol Ligue 1, 2 gol UCL, 3 gol Piala Liga dan 2 gol Piala Perancis.

Meskipun mendapat perhatian ramai, Monaco telah memberi amaran bahawa Mbappe tidak akan dijual seperti penjaring terbanyak Manchester United sekarang, Anthony Martial.

Nota : Semua statistik diceduk dan disonglap dari whoscored.com

Baca Juga

Baca Juga