Lima Pertahanan Terhebat Dalam Saingan Premier League Musim Ini

Saingan Premier League sejak kebelakangan ini banyak melahirkan para pemain pertahanan yang hebat dan antara yang terbaik dalam dunia bola sepak hari ini.

Memandangkan posisi pertahanan era modern ini boleh berfungsi dengan pelbagai cara baik untuk bertahan mahupun menyerang, maka posisi tersebut menjadi antara yang terpenting untuk mana-mana pasukan sekalipun.

Dan kerana itu jugalah boleh dikatakan hampir kesemua pasukan yang bersaing dalam saingan Premier League memiliki pemain-pemain handal di posisi tersebut.

‘Menyerang akan bantu kamu menang perlawanan, sementara bertahan akan bantu kamu menang Piala’, ungkapan terkenal inilah yang menjadi asas untuk setiap pasukan mula mementingkan posisi pertahanan.

Kerana itu jugalah semakin ramai pemain-pemain berbakat dan hebat yang dapat dilihat beraksi dalam saingan Premier League pada ketika ini, dengan mereka mempunyai gaya serta corak permainan tersendiri.

Jika diingat kembali, pada satu ketika dahulu, saingan Serie A merupakan kilang yang paling banyak melahirkan pemain-pemain pertahanan terhebat dalam dunia bola sepak.

Namun kini saingan Premier League merupakan medan permainan untuk pemain-pemain pertahanan terhebat dunia menunjukkan bakat mereka.

Chelsea di bawah kendalian Thomas Tuchel merupakan contoh kelab yang memiliki ramai pemain pertahanan berkelas dunia, bahkan mereka turut mencatatkan rekod yang sungguh luar biasa ketika aksi saingan Champions League musim lalu.

Skuad kendalian Thomas Tuchel itu hanya merekodkan empat sahaja bolos sepanjang musim lalu dalam saingan Champions League, dan ia merupakan catatan terhebat pernah direkodkan dalam sejarah pertandingan.

Hal itu jugalah yang memainkan peranan penting dalam membantu mereka untuk muncul sebagai Juara Eropah pada musim lalu.

Bercakap tentang kehebatan pemain pertahanan dalam saingan Premier League, berikut merupakan senarai lima pemain pertahanan terhebat yang ada dalam saingan bola sepak Inggeris hari ini.

1.) Joao Cancelo – Manchester City

Joao Cancelo tidak dinafikan lagi sememangnya antara pemain pertahanan terhebat dalam saingan Premier League pada ketika ini.

Pemain full-back Manchester City itu berada di tahap persembahan terbaiknya pada ketika ini, dan memainkan peranan cukup penting dalam sistem kendalian Pep Guardiola.

Beliau sering diturunkan sebagai pemain full-back, dengan Cancelo pada musim ini dilihat antara permainan Manchester City yang paling konsisten.

Cancelo pada asalnya bermain di posisi back kanan, namun sejak kebelakangan ini, beliau lebih kerap diturunkan untuk bermain di posisi back kiri.

Walaupun beliau merupakan pemain yang aktif dengan kaki kanannya, namun Cancelo turut boleh menyumbang dengan sangat baik dari sudut sebelah kiri.

Beliau juga jelas sekali antara pemain yang paling dipercayai oleh pengurus kelab, Pep Guardiola dengan Cancelo berkemampuan untuk mematahkan permainan pasukan lawan.

Beliau juga lebih banyak membantu jentera serangan ketika skuad sedang menyerang dengan Cancelo mempunyai kemampuan yang sungguh menakjubkan dari segi kualiti hantarannya.

Pemain kebangsaan Portugal itu tidak diragukan lagi sememangnya sedang berada di tahap persembahan terbaiknya pada ketika ini, dengan beliau turut mencatatkan statistik yang sungguh dasyat.

Beliau setakat ini sudah berjaya melengkapkan (695) hantaran dan membuat (84) pintasan dalam aksi saingan Premier League setakat ini.

Beliau turut menikmati permulaan musim yang sama hebat seperti ini pada musim lalu, namun gagal untuk kekalkan konsistensi sehingga ke akhir musim.

Dengan Manchester City sedang dalam usaha mereka untuk mempertahankan kejuaraan Premier League pada musim ini, Cancelo jelas sekali diharapkan untuk konsisten dan membantu kelab merealisasikan hasrat mereka.

2.) Trent Alexander-Arnold – Liverpool

Trent Alexander Arnold tidak boleh diragukan lagi sememangnya antara pemain full-back terhebat dalam dunia bola sepak hari ini.

Pemain kebangsaan England itu telah berkembang menjadi pemain berkelas dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan turut menjadi watak penting dalam sistem kendalian Jurgen Klopp.

Gandingan beliau bersama Andy Robertson di bahagian full-back Liverpool sudah cukup kuat untuk menggerunkan pemain pasukan lawan.

Mereka berdua dianggap duo full-back terhebat dalam dunia bola sepak hari ini atas segala sumbangan mereka baik ketika bertahan, mahupun ketika menyerang.

Pemain berusia 23 tahun itu tampil sebagai pemain biasa sahaja pada awalnya dari akademi kelab, namun sejak beliau diberi kepercayaan oleh Klopp, Arnold terus menjadi watak terpenting dalam skuad The Reds.

Beliau turut memegang rekod sebagai pemain pertahanan paling banyak mencatatkan assists (satu musim) dalam saingan Premier League pada musim 2019/20 dengan mencatatkan 13 assists.

Alexander Arnold dikurniakan kemampuan kaki kanan yang sungguh menakjubkan dengan bola hantaran beliau ke dalam kotak penalti cukup mengagumkan.

Beliau telah menikmati karier yang cukup dasyat bersama Liverpool dengan memenangi Champions League, Super Cup, FIFA Club World Cup dan Premier League.

Masih berusia 23 tahun, Alexander Arnold sudah dianggap antara yang terhebat dan pemain paling konsisten setakat ini.

Tidak ada keraguan yang beliau masih boleh pergi lebih jauh, dan boleh mencapai kejayaan yang lebih besar dalam beberapa tahun ke hadapan ini nanti.

3.) Virgil Van Dijk – Liverpool

Virgil Van Dijk sudah menstabilkan dirinya untuk menjadi salah seorang pemain paling berpengaruh dalam sejarah Liverpool.

Beliau ditandatangani dari Southampton pada tahun 2018 yang lalu, dengan bintang belanda itu dianggap penandatanganan paling berbaloi dalam sejarah kelab.

Liverpool dilaporkan membelanjakan £75 juta pada ketika itu untuk mendapatkan khidmatnya, nilai tinggi yang sebenarnya membawa pulangan yang jauh lebih lumayan.

Van Dijk berjaya memperkukuhkan barisan pertahanan Liverpool sejak dari awal beliau ditandatangani, dan gandingan beliau bersama Trent Alexander Arnold dan Andy Robertson dianggap antara yang terhebat dalam dunia bola sepak.

Gandingan mereka bertiga di posisi pertahanan Liverpool telah berjaya membantu kelab untuk memenangi pelbagai kejuaraan sejak kebelakangan ini.

Van Dijk berjaya memenangi gelaran ‘Premier League Player of the Season’ dan ‘UEFA Men’s Player of the Year’ pada tahun 2019 yang lalu atas aksi mantap yang beliau persembahkan.

Dianggap antara pemain pertahanan terhebat dalam dunia bola sepak, Van Dijk telah mempamerkan aksi yang sangat baik dan konsisten sepanjang musim ini.

Beliau tidak bernasib baik kerana terpaksa diketepikan hampir sepanjang musim lalu, kerana masalah kecederaan, namun sekembalinya beliau ke padang, Van Dijk tetap mampu pamerkan aksi yang mantap.

Beliau jelas sekali akan memainkan peranan yang penting dalam membantu Liverpool untuk mengejar kejuaraan pada musim ini.

4.) Sergi Canos – Brentford

Sergi Canos merupakan antara pemain yang sedang berada di tahap persembahan terbaiknya pada ketika ini.

Bermain dengan pendatang baru dalam saingan Premier League, Brentford, ramai yang awalnya percaya bahawa Canos dan semua pemain skuadnya tidak akan mampu bersaing dengan corak permainan pantas Premier League.

Walau bagaimanapun, skuad kendalian Thomas Frank itu sudah berjaya membuktikan kemampuan sebenar mereka, bahkan turut berjaya memukau para peminat seluruh dunia dengan aksi persembahan hebat yang mereka persembahkan.

Brentford pada ketika ini berada di kedudukan ke-12 dalam carta liga, dan Sergi Canos tidak dinafikan lagi antara kunci utama sebalik kejayaan mereka.

Pemain kebangsaan Sepanyol itu datang dari akademi Barcelona sebelum menandatangani perjanjian bersama Liverpool pada tahun 2015 yang lalu.

Beliau hanya menghabiskan satu musim sahaja bersama Liverpool, sebelum dipinjamkan ke Brentford. Beliau kemudiannya telah dijual ke Norwich City, dan semusim selepas itu Canos dijual semula ke Brentford.

Beliau turut dianggap sebagai antara wira kesayangan di Brentford dan turut cemerlang menstabilkan dirinya untuk terus beraksi dalam skuad utama.

Canos kebiasaannya bermain di posisi right back, namun beliau juga berkemampuan untuk bermain di posisi sayap kanan jika khidmatnya diperlukan.

Canos bahkan turut berjaya menjaringkan gol ketika aksi debut kelab dalam saingan Premier League, ketika mereka menewaskan Arsenal 2-0 pada hari pembukaan saingan liga musim ini.

5.) Cesar Azpilicueta – Chelsea

Cesar Azpilicueta sudah dianggap sebagai antara legenda kelab selepas melihatkan segala sumbangan dan aksi hebat yang beliau persembahkan.

Pemain kebangsaan Sepanyol itu sudah beraksi bersama The Blues sejak dari 2012 lagi, dan beliau turut memainkan peranan penting dalam membantu kelab mencapai pelbagai kejayaan.

Beliau turut sudah memenangi beberapa Piala kejuaraan bersama kelab sejak kebelakangan ini, dan jelas sekali Azpilicueta akan kekal diingati sebagai pemain pertahanan terbaik mereka miliki.

Azpilicueta tidak diragukan lagi sememangnya antara pemain pertahanan paling versatile dalam dunia bola sepak hari ini.

Beliau sudah membuktikan kehebatan beliau dari masa ke semasa, dengan Azpilicueta mampu untuk bermain dengan baik di mana-mana sahaja di posisi pertahanan.

Pemain berusia 32 tahun itu merupakan seorang pemain yang sangat berpengalaman, dengan beliau sudah menjulang 2 kejuaraan Europa League dan satu kejuaraan Champions League.

Beliau juga baru-baru ini berjaya membawa Sepanyol ke aksi perlawanan akhir UEFA Nations League bertemu Perancis.

Dengan kontrak pemain Sepanyol itu akan berakhir pada 2022 nanti, beliau tentunya mahu membantu Chelsea untuk memenangi pelbagai lagi kejuaraan sebelum menentukan perjalanan karier yang seterusnya untuk beliau.

Sumber: Sportskeeda

BACA:  Premier League 2019/20: Manchester United 2-2 Southampton