Lineker: N’Golo Kante Pemain Terbaik Piala Dunia 2018

Bekas pemain antarabangsa England, Gary Lineker percaya N’Golo Kante merupakan pemain terbaik di Piala Dunia 2018 dan yakin pemain tersebut bakal menjadi penentu dalam perlawanan akhir Piala Dunia yang akan berlangsung malam ini.

Pemain tengah Chelsea ini mungkin jarang menjadi tajuk utama di dada akhbar kerana peranannya di atas padang, tetapi Lineker percaya Kante bakal memainkan peranan penting buat Perancis sekiranya mereka mahu menjulang trofi Piala Dunia di Stadium Luzhniki beberapa jam dari sekarang.

Kante antara nama yang dicanangkan untuk memenangi anugerah Bola Emas Piala Dunia 2018

Kante yang baru berusia 27 tahun akan mengemudi bahagian tengah Les Blues bersama Paul Pogba dan gandingan ini telah menunjukkan aksi yang konsisten sejak peringkat kumpulan lagi. Mereka telah menunjukkan persefahaman yang mantap untuk melindungi bahagian pertahanan dengan baik dan memudahkan Antonio Griezmann dan Kylian Mbappe mengkucar-kacirkan pertahanan lawan.

Lineker yang kini bertindak sebagai hos untuk slot Piala Dunia di BBC percaya Kante akan mengatasi Luka Modric di bahagian tengah untuk muncul hero buat Perancis dalam pentas final Piala Dunia.

“Bagi saya, sehingga saat ini, N’Golo Kante merupakan pemain terbaik di Piala Dunia 2018. Beliau mungkin bukan jenis pemain yang kita sering bicarakan atau letakkan sebagai bintang utama.”

Gandingan yang mantop

“Tetapi dengan kehadiran Kante dalam pasukan Perancis, mereka bermain dengan 12 orang pemain. Kante dikira sebagai dua orang pemain. Beliau dilihat berada dimana-mana di atas padang.”

“Beliau mempunyai passing yang berkualiti dan mampu memusnahkan garisan pihak lawan. Kante mampu membawa bola naik ke atas. Secara jujurnya, pasukan yang memiliki Kante dalam pasukan mereka mempunyai kelebihan.”

“Beliau merupakan salah seorang pemain utama untuk Perancis dan salah satu sebab mengapa Perancis dianggap sebagai calon pilihan untuk memenangi perlawanan akhir itu nanti.”

Sebelum menyertai Chelsea pada tahun 2016, beliau bermain untuk Leicester selama semusim tetapi itu sudah mencukup untuk beliau membantu kelab tersebut mencatat sejarah memenangi Liga Perdana Inggeris buat kali pertama dalam sejarah.

“Saya merupakan peminat utama Kane. Di posisi tersebut, Kante merupakan pemain terbaik yang pernah saya lihat mengisi posisi tersebut.”

“Beliau sangat pandai membaca permainan. Beliau memintas bola yang kadang-kala tidak logik untuk dipintas. Beliau berlari dimana-mana. Sesungguhnya Kante adalah pencuri yang sebenar.”

“Cara yang digunakan beliau untuk merampas bola dari kaki pemain lain tanpa disedari merupakan perkara yang sangat menakjubkan. Dan selepas itu, beliau pandai menggunakan bola tersebut dan cepat menghantarnya kepada pemain lain.”

Kalau Kante ada dua tahun lepas, tentu Ronaldo tidak akan mengucup trofi Euro 2016.

2 tahun lalu ketika Perancis tewas dalam perlawanan akhir Euro’ 2016 di tangan Portugal, Kante hanya sekadar memanaskan bangku simpanan sepanjang 120 minit perlawanan. Lineker yakin sekiranya Kante berada dalam kesebelasan utama ketika itu, keputusan perlawanan mungkin berpihak kepada Perancis.

“Saya sering bertanya kepada diri sendiri mengapa Didier Deschamps tidak menurunkan Kante dalam perlawanan akhir Euro 2016. Saya percaya itu merupakan kesilapan terbesar Deschamps walaupun saya amat menghormati beliau sebagai seorang jurulatih.”

“Dengan adanya Kante dalam perlawanan tersebut, Perancis tidak akan tewas.”

BACA:  Pengembaraan Perancis Ke Final Piala Dunia Dua Kali Berturut-Turut