Lionel Messi Anggap Emi Martinez Penjaga Gol Terhebat Dalam Dunia Bola Sepak

Pemain terhebat sepanjang zaman, Lionel Messi telah memberikan pujian yang menggunung kepada Emiliano Martinez atas kecemerlangan yang ditunjukkan oleh penjaga gol Argentina itu.

Messi menganggap Martinez sebagai penjaga gol terhebat dalam dunia bola sepak hari ini, selepas bintang Aston Villa itu mempamerkan aksi persembahan yang sungguh mengagumkan, baik di peringkat kelab mahupun negara.

Penjaga gol Aston Villa itu telah menstabilkan dirinya sebagai penjaga gol utama Argentina sejak kebelakangan ini.

Beliau setakat ini sudah memiliki 11 caps untuk skuad kebangsaan Argentina, dan turut mempamerkan aksi persembahan yang dasyat ketika beraksi bertemu Uruguay kemarin.

Martinez sangat cemerlang mengawal gawang golnya, dengan beliau dua kali menggagalkan percubaan tepat dari Luis Suarez, dan membantu Argentina itu memenangi perlawanan tersebut dengan clean sheet.

Skuad kendalian Lionel Scaloni itu berjaya menewaskan Uruguay 3-0 dalam aksi perlawanan kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan.

Messi, Rodrigo De Paul dan Lautaro Martinez berjaya mencatat nama sebagai penjaring gol dalam perlawanan tersebut.

Bintang handalan PSG, Lionel Messi telah memberikan pujian yang menggunung kepada Emiliano Martinez atas persembahan mantap yang dipersembahkan olehnya.

“Dibu (Emiliano) Martinez sangat menakjubkan.”

Jelas Messi ketika bercakap kepada TNT Sports.

“Ketika kamu datang pada dia, dia tentu akan respond.”

“Dia mengukuhkan dirinya di posisi penjaga gol dan kami beruntung mempunyai salah seorang penjaga gol terhebat dalam dunia bola sepak.”

Semua mata sudah mula tertumpu ke arah Martinez, sejak dari waktu Arsenal membenarkan beliau untuk menyertai Aston Villa dengan yuran perpindahan bernilai £20 juta tahun lalu.

Penjaga gol Argentina itu telah menghabiskan hampir sedekad di Emirates, dan mula membuktikan yang beliau sebenarnya seorang pemain yang hebat ketika beraksi bersama pasukan pertengahan liga.

Hal ini menyebabkan para penyokong mempertikaikan keputusan kelab, tentang mengapa mereka sanggup melepaskan pemain berbakat seperti Martinez.

Mikel Arteta kemudiannya tampil mendedahkan yang Arsenal sememangnya perlu menjual Martinez, memandangkan mereka memerlukan dana tambahan untuk kelangsungan kelab.

Tambahan pula, The Gunners pada ketika itu merasakan mereka sudah mempunyai Bernd Leno yang akan digunakan sebagai penjaga gol utama.

Martinez walau bagaimanapun telah menunjukkan peningkatan yang mendadak dalam persembahan beliau sejak dari musim lalu.

Beliau menambah garam pada luka di hati penyokong Arsenal, dengan menyatakan yang langkah beliau menyertai Villa sebenarnya permulaan untuknya menjadi pemain terhebat dalam dunia bola sepak.

“Mereka semua kata ia merupakan permulaan untuk kemerosotan karier saya, tapi saya selalu kata, ia permulaan untuk bangkit.”

Tambah Martinez lagi.

“Ketika saya memutuskan untuk sertai Villa, ia kerana saya percaya dengan pengurus dan matlamat kelab, dan saya tahu betapa besarnya Villa ini.”

“Segelintir orang tak sedar tentang bagaimana besarnya Aston Villa. Saya dari hari pertama lagi, saya sudah memasang cita-cita untuk beraksi di pentas Eropah bersama Aston Villa.”

“Saya mahu membawa kelab ini ke tahap yang paling tinggi dan kami ketika ini sedang berada di landasan yang betul. Adakah ia boleh dilakukan pada musim ini? Ya. Tapi kami semua kena berusaha ke arah itu.”

Emi Martinez turut menjadi tulang belakang Argentina ketika memenangi gelaran Copa America pada musim panas baru-baru ini, dan kerana itu jugalah namanya berada dalam senarai pendek 10 calon untuk memenangi anugerah Yashin Trophy.

Melihat kepada persembahan mantap beliau pada ketika ini, sepertinya tiada masalah untuk Martinez memenangi anugerah paling berprestij untuk penjaga gol dalam dunia bola sepak itu.

Sumber: talkSPORT

BACA:  Benzema Anggap Siapa Saja Kritik Messi Dia Sebenarnya Buta Bola Sepak