Lionel Messi Pamer Aksi Menakjubkan Bantu PSG Benam Montpelier 4-0

Lionel Messi telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan ketika membantu Paris Saint Germain menewaskan Montpelier 4-0 awal pagi tadi.

Ia merupakan kali pertama pemain berusia 34 tahun itu menjaringkan dua gol dalam satu perlawanan dalam saingan Ligue 1.

Persembahan mantap beliau itu berjaya membantu juara saingan Ligue 1 itu untuk mencatatkan kemenangan selesa seterusnya membantu Messi untuk membuktikan kemampuan sebenar beliau yang dianggap sudah hilang itu.

Menjelang perlawanan tersebut, Messi hanya mampu menjaringkan empat gol sahaja dari 24 perlawanan sepanjang musim ini.

Ia jelas sekali satu hal yang sangat mengecewakan memandangkan status Messi sebagai pemain terhebat sepanjang zaman dalam dunia bola sepak.

Sering dikritik dan dihentam sepanjang musim ini, Messi akhirnya berjaya menutup mulut para pengkritiknya ketika aksi bertemu Montpelier awal pagi tadi.

Persembahan mantap yang beliau persembahkan menyebabkan para penyokong PSG mula sedar yang Messi perlu dikekalkan untuk skuad mereka musim hadapan.

Messi hanya memerlukan enam minit sahaja untuk membuka tirai jaringan PSG dalam perlawanan ini, selepas beliau tenang menyempurnakan hantaran Kylian Mbappe.

Pemenang tujuh kali anugerah Ballon D’or itu sendiri turut memainkan peranan penting dalam terhasilnya gol tersebut dan gol itu merupakan gol ke-11 beliau bersama PSG dari semua pertandingan.

Pada minit ke-20 permainan, beliau berjaya menjaringkan gol kedua peribadinya dalam perlawanan ini, juga hasil umpanan dari Kylian Mbappe.

Gol keduanya itu merupakan gol tipikal Messi yang kerap memperdaya penjaga gol sebelum melepaskan rembatan untuk menerjah jaring gawang gol lawan.

Hal seperti itu sering dilakukan oleh Messi ketika kariernya di Nou Camp dan sangat jarang untuk beliau melakukan hal seperti itu di Paris.

Dan kerana itu jugalah ramai yang beranggapan karier Messi merundum teruk sejak tibanya beliau di Parc des Princes.

Angel Di Maria kemudiannya menjaringkan gol ketiga untuk PSG dalam perlawanan ini sebelum Kylian Mbappe tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk bantu Paris Saint Germain mencatat kemenangan 4-0.

Walau bagaimanapun, tindakan Kylian Mbappe tampil mahu menyempurnakan sepakan penalti itu sepertinya tidak diterima dengan baik oleh para peminat.

Ramai yang percaya Mbappe sepatutnya membenarkan Messi untuk mengambil sepakan penalti itu, seterusnya melengkapkan hat-trick beliau dalam perlawanan ini.

Walau bagaimanapun juga, Mbappe tentu ada alasan sendiri tentang mengapa beliau tidak mahu membenarkan Messi untuk menyempurnakan sepakan penalti tersebut.

Hal ini kerana beliau mahu terus menjarakkan diri dari Wissam Ben Yedder dalam perebutan kasut emas saingan Ligue 1.

Mbappe pada ketika ini sudah berjaya merekodkan 25 gol, satu gol mengatasi bintang Monaco itu untuk memenangi anugerah kasut emas.

Walau beliau gagal untuk mencatatkan hat-trick, namun harus diakui yang Messi telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan dalam perlawanan tersebut.

Bahkan ia turut dianggap antara persembahan terbaiknya sepanjang kariernya bersama Paris Saint Germain.

Para penyokong PSG mungkin agak kecewa dengan persembahan beliau sepanjang musim ini, namun apa yang Messi persembahkan dalam perlawanan ini jelas sekali akan mengubah pandangan mereka.

Jika sebelum ini ramai penyokong PSG yang mendesak pihak kelab supaya melepaskan sahaja Messi kembali ke Barca, namun kini sepertinya mereka akan meminta pihak kelab supaya mempertahankan bintang Argentina itu.

Messi jelas sekali diharapkan akan mampu mempertahankan rentak persembahan seperti itu dan terus memberikan yang terbaik untuk kelab pada musim hadapan.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Video Yang Menjelaskan Mengapa Pochettino Mengeluarkan Lionel Messi