Liverpool Ada Satu Masalah dan Namanya Adalah Fabinho

Setakat dua perlawanan ini, segalanya tampak kurang menjadi buat Liverpool. Jika dilihat di atas kertas, pasukan bekas bakal juara EPL ini sepatutnya dengan mudah telah berjaya mengutip enam mata penuh dengan perlawanan pertama mereka musim ini adalah menentang pendatang baru ke liga, Fulham di Craven Cottage.

Perlawanan kedua pula mereka bertemu pasukan yang telah mereka tewasan dalam jelajah pra-musim, Crystal Palace di laman sendiri, di dalam stadium yang diketahui sering diiringi oleh sorakan dan nyanyian padu penyokong mereka.

Akan tetapi, Liverpool bagaikan telah memilih untuk memulakan liga dengan jalan yang sukar apabila sekadar merekodkan dua keputusan seri, 2-2 ketika menentang Fulham dan 1-1 menentang Crystal Palace.

Dalam perlawnanan di Anfield pada hari Isnin (waktu UK, bukan waktu Senawang), tendangan lencong yang padu lagi mantap daripada Luis Diaz telah menyelamatkan pasukan The Reds ini daripada dimalukan seperti seteru utama mereka, selepas pemain termahal kelab, Darwin Nunez, dilayangkan kad merah.

Sepanjang 60 minit pertama, Liverpool dilihat mendominasi perlawanan di mana mereka menguasai segenap inci padang. Akan tetapi anak buah Jurgen Klopp gagal menterjemahkan penguasaan itu kepada gol dan mereka juga dilihat sangat rapuh apabila menerima senrang balas.

Ini sangatlah berlawanan dengan apa yang sering kita lihat seperti mana musim yang lepas-lepas di mana pasukan ini dilihat sangat berbisa ketika menyerang dan cukup teguh ketika menerima serangan.

Hal ini adalah kerana dua perkara utama – kualiti para pemain di bahagian pertahanan dan juga rangka bila mana mereka ingin cuba melakukan serangan.

Walaupun Liverpool sering turun dengan formasi 4-3-3 dan mengamalkan mazhab penguasaan bola, sebenarnya mereka menjadi 2-5-3 ketika menyerang. Pemain bek sayap dan nombor lapan seringkali naik ke atas dan menyertai rakan-rakan dalam melakukan serangan manakala dua pertahanan tengah bersama Fabinho, yang berada di depan mereka, membentuk satu dinding untuk menghadang sebarang serangan balas.

Tidak ramai pemain tengah bertahan yang mampu bermain seorang diri di posisi tersebut dengan bagus dan selalunya kita akan lihat banyak pasukan yang menggunakan dua pemain holding midfielder yang tugas mereka adalah untuk melindungi barisan pertahanan.

Di sinilah di mana Fabinho telah menjadi punca kepada ketidakmenangan (ini adalah perkataan baru direka) mereka, meskipun sebelum ini pemain Brazil ini cukup cemerlang di posisi tersebut.

Dalam dua perlawanan liga setakat ini, dan terutamanya ketika menentang Palace, dia sangat terpinga-pinga. Pemain berusia 28 tahun ini telah mencatatkan statistik yang teruk di mana dia telah tewas sebanyak lima kali dalam pertembungan di ruang pertahanan dan gagal memenangi walau satu pun perebutan bola di udara.

Sukar untuk mengkaji kenapa Fabinho menjadi sebegini rupa, tetapi jangkaan utama adalah kerana kekurangan pemain tengah yang menemaninya di bahagian tengah padang.

Liverpool kini berdepan dengan masalah kecederaan di posisi tersebut dan ini bermaksud Klopp terpaksa memerah otak geniusnya untuk memainkan Harvey Elliot dan James Milner di posisi nombor lapan pada hari Isnin.

Ketidaksefahaman dan rentak yang tidak berirama ini adalah berpunca daripada kurangnya masa permainan bersama-sama dan akibatnya, Fabinho terpaksa bertahan seorang diri di ruang yang begitu besar seperti dalam gambargajah di bawah;

Fabinho terpaksa buat kerja orang lain.

Akan tetapi, janganlah risau para penyokong Liverpool yang sejati sekalian. Janganlah kamu marah-marah dan suruh Klopp rehatkan Fabinho. Pemain kelas dunia sepertinya pasti tidak akan mempunyai masalah untuk mengubah nasibnya selepas permulaan yang lembap di dalam liga.

Bukan dia sahaja, malah rakan sepasukannya di Liverpool juga begitu. Mereka pasti akan membantu menaikkan moral pemain berkepala licin ini dan seterusnya kembali mencabar kejuaraan liga seperti biasa.

Perlawanan ketiga liga, menentang Manchester United, boleh menjadi titik permulaan kepada kebangkitan agung ini. Jika mereka berjaya, Fabinho pasti akan menjadi watak penting.

Lagi pula, orang gila je yang tak menang lawan Manchester United ni.

Kalau Liverpool dah tak ada idea sangat nak bangkit macam mana, ambillah moto pasukan Selangor – #MentalitiJuara – dan pasti akan mengubah nasib mereka pada musim ini.

Sumber : Mirror

BACA:  Pembantu Jurgen Klopp Dilaporkan Bakal Menjadi Pengurus Arsenal Yang Seterusnya