Liverpool Catat Kerugian Rekod £57 Juta Walaupun Pendapatan Meningkat

Liverpool Bayar Klopp £9.6 Juta, Catat Kerugian Rekod £57 Juta

Liverpool membayar Jurgen Klopp dan staf kejurulatihannya sebanyak £9.6 juta ($12.1 juta) selepas mereka meninggalkan kelab. Pada masa yang sama, kelab itu mencatatkan kerugian pra-cukai tertinggi sebanyak £57 juta bagi musim 2023-24.

Walaupun mengalami kerugian, pendapatan keseluruhan kelab meningkat sebanyak £20 juta kepada rekod £614 juta. Peningkatan ini didorong oleh kemenangan Piala Carabao serta kejayaan menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tempat ke-3.

Namun, tanpa Liga Juara-Juara telah memberi kesan kepada pendapatan media, yang menyusut sebanyak £38 juta. Selain itu, kos operasi kelab terus meningkat, termasuk perbelanjaan gaji yang meningkat daripada £373 juta kepada £386 juta serta jumlah kos pentadbiran yang naik daripada £562 juta kepada £600 juta.

Sementara itu, hutang bank Liverpool berkurangan sebanyak £10 juta, menjadikan jumlah keseluruhan hutang kini £116 juta.


Pendapatan Naik Walaupun Tidak Bermain di Liga Juara-Juara

Pendapatan komersial, yang menjadi sumber utama kewangan kelab, meningkat sebanyak £36 juta kepada £308 juta. Pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan dalam perkongsian strategik serta jualan runcit yang kukuh.

Sepanjang tempoh ini, Liverpool menandatangani beberapa perjanjian penajaan baharu dengan syarikat besar seperti UPS, Google Pixel, Peloton dan Orion Innovation. Selain itu, Kodansha dan Carlsberg turut melanjutkan kerjasama mereka dengan kelab.

Bahagian runcit kelab mencatatkan rekod tertinggi di tujuh lokasi global termasuk pembukaan kedai baharu di Dublin. Aplikasi runcit rasmi Liverpool turut mencatatkan lebih satu juta muat turun, menyumbang hampir 20% daripada jumlah jualan e-dagang. Selain itu, keahlian rasmi kelab meningkat kepada lebih 250,000 penyokong manakala jumlah pengikut di media sosial bertambah sebanyak 37 juta.

Namun, pendapatan media menurun sebanyak £38 juta kepada £204 juta berikutan kegagalan kelab layak ke Liga Juara-Juara dan hanya beraksi dalam Liga Europa. Kejatuhan ini bagaimanapun diimbangi oleh peningkatan pendapatan hak siaran Liga Perdana Inggeris.

Sementara itu, pendapatan hari perlawanan meningkat sebanyak £22 juta kepada £102 juta. Peningkatan ini disumbangkan oleh pembesaran Anfield Road Stand yang menambah kapasiti stadium kepada kira-kira 61,000 tempat duduk serta tambahan 4 perlawanan di laman sendiri berbanding musim 2022-23.


Mengapa Perbelanjaan Gaji Meningkat?

Meskipun beberapa pemain utama seperti Jordan Henderson, Fabinho, Roberto Firmino, Naby Keita, James Milner dan Alex Oxlade-Chamberlain telah meninggalkan kelab, gaji Liverpool tetap meningkat daripada £373 juta kepada £386 juta. Sebagai gantinya, Alexis Mac Allister, Dominik Szoboszlai, Ryan Gravenberch, dan Wataru Endo telah dimasukkan dalam senarai gaji.

Selain itu, sebanyak 11 kontrak pemain telah diperbaharui termasuk Kostas Tsimikas, Conor Bradley dan Ben Doak. Peningkatan gaji ini juga berpunca daripada bayaran bonus Liga Juara-Juara kepada pemain untuk musim sebelumnya, di mana Liverpool mara ke pusingan 16 terbaik.

Kos pentadbiran turut meningkat sebanyak £38 juta menjadi £600 juta. Jürgen Klopp dan staf kejurulatihannya menerima pampasan keseluruhan sebanyak £9.6 juta bagi menutup baki kontrak kelab. Antara staf yang meninggalkan kelab bersama Klopp ialah Pep Lijnders, Peter Krawietz, Vitor Matos, John Achterberg, Jack Robinson, Andreas Kornmayer dan Andreas Schlumberger. Namun, Achterberg dan Kornmayer tidak menerima pampasan kerana kontrak mereka telah tamat pada 2024.

Sejak 2018, perbelanjaan pentadbiran Liverpool meningkat sebanyak 88%, daripada £320 juta kepada £600 juta, manakala perbelanjaan gaji melonjak sebanyak 86%, daripada £208 juta kepada £386 juta. Pada masa ini, kelab memiliki 1,011 kakitangan yang berkhidmat dalam pelbagai jabatan.


Adakah Liverpool Melanggar Peraturan Kewangan?

Liverpool tidak berdepan risiko melanggar peraturan Keuntungan dan Kelestarian (PSR) Liga Perdana Inggeris, yang menetapkan had kerugian maksimum £105 juta dalam tempoh 3 tahun.

Sebelum ini kelab mencatatkan keuntungan sebanyak £7.5 juta pada musim 2021-22 dan hanya mengalami kerugian £9 juta pada musim berikutnya. Dengan rekod kewangan ini, Liverpool masih berada dalam had yang dibenarkan dan tidak menghadapi ancaman sekatan atau penalti kewangan.


Bagaimana Dengan Hutang Kelab?

Pemilik Liverpool, Fenway Sports Group (FSG) pernah memberikan pinjaman sebanyak £110 juta untuk menampung kos pembinaan Stand Utama baharu di Anfield yang dibuka pada tahun 2016.

Namun, dalam tempoh kewangan ini, belum ada pembayaran balik dilakukan kepada FSG dan baki hutang masih sekitar £71 juta.

Sementara itu, hutang bank kelab berkurang sebanyak £10 juta menjadi £116 juta. Sebahagian besar daripada hutang ini digunakan untuk pembangunan Anfield Road Stand, yang mengalami kelewatan akibat masalah kewangan yang dihadapi oleh kontraktor utama, Buckingham Group. Kesulitan ini menyebabkan kos pembinaan meningkat kepada £90 juta.

Dalam tempoh 8 tahun terakhir, kos operasi hari perlawanan meningkat hampir 80%, manakala kos utiliti melonjak 2 kali ganda dalam tempoh 3 tahun terakhir, mencerminkan kenaikan perbelanjaan pengurusan stadium.


Apa Kata Pihak Kelab?

Liverpool sebelum ini pernah mencatatkan kerugian pra-cukai terbesar sebanyak £49.4 juta pada tahun 2012. Namun ketua pegawai kewangan kelab, Jenny Beacham menegaskan bahawa kedudukan kewangan Liverpool masih stabil dan kukuh.

“Keutamaan kami adalah memastikan kelab ini terus beroperasi dengan stabil secara kewangan. Dengan peningkatan kos yang berterusan, amat penting untuk kami terus mengembangkan pendapatan setiap tahun bagi mengekalkan kestabilan kewangan,” kata Beacham.

Menurut beliau, kejayaan sektor komersial serta pembukaan Anfield Road Stand memainkan peranan penting dalam meningkatkan pendapatan kelab. Hal ini membuktikan komitmen Liverpool untuk terus bersaing di peringkat tertinggi bola sepak, baik dalam pasukan lelaki mahupun wanita.

Selain itu, Liverpool juga memberi tumpuan kepada tanggungjawab sosial dengan memanfaatkan jenama global kelab untuk memberi impak positif kepada komuniti serta memperkasakan usaha kelestarian.

“Kami akan terus mematuhi peraturan kewangan bola sepak sambil mengekalkan pelaburan dalam operasi, infrastruktur, dan pemain. Fokus kami sekarang adalah menamatkan musim ini dengan sebaik mungkin, di dalam dan luar padang, demi mencapai kejayaan yang diimpikan bersama,” tambah Beacham.

BACA:  Premier League 2020/21: Liverpool 0-1 Chelsea