Liverpool Curi Kemenangan di Paris! PSG Dominan Tapi Alisson Kebal

Liverpool Kejutkan PSG di Paris!

Dengan hanya 3 minit berbaki, Harvey Elliott masuk ke padang dan dia hanya memerlukan 47 saat untuk meledak gol kemenangan Liverpool! PSG yang menguasai permainan sepanjang perlawanan akhirnya terpaksa menerima hakikat; dalam bola sepak, satu peluang sudah cukup untuk mengubah segalanya.

Liverpool mungkin tidak bermain cemerlang tetapi ketangkasan Alisson Becker di gawang dan semangat juang yang kental telah memastikan mereka pulang ke Anfield dengan kemenangan 1-0. PSG mendominasi, Liverpool bertahan dan akhirnya satu serangan sudah cukup untuk mencuri kemenangan!

Alisson—Dinding Kebal Liverpool!

Dalam banyak aksi hebat Alisson bersama Liverpool, malam ini mungkin antara yang paling mengagumkan. Dari minit pertama hingga wisel penamat, beliau sibuk menyelamatkan pasukannya daripada serangan bertali arus dari PSG.

Dengan 10 percubaan tepat ke arah gawang, penjaga gol Brazil itu terpaksa bekerja keras. Berdasarkan kualiti serangan PSG, Liverpool sepatutnya bolos sekurang-kurangnya 2 gol. Tetapi dengan aksi heroik dari Alisson, mereka bukan sahaja menang malah membawa pulang rekod bersih tanpa bolos!

Dari menafikan percubaan Khvicha Kvaratskhelia dalam situasi satu lawan satu hingga lah aksi terbang menyelamatkan rembatan Desire Doue, Alisson membuktikan mengapa dia masih dianggap antara penjaga gol terbaik dunia.

Liverpool Menang Dengan Satu Serangan?

Sepanjang perlawanan, Liverpool seperti tidak tahu bagaimana mahu menyerang. Keputusan Arne Slot mengeluarkan Mohamed Salah untuk memasukkan Harvey Elliott seolah-olah isyarat mereka sudah cukup berpuas hati dengan keputusan seri 0-0. Tetapi bola sepak penuh dengan kejutan!

Kemasukan Darwin Nunez ternyata mengubah permainan. Dari satu hantaran jauh, Nunez memenangi tandukan dan mencipta ruang di tepi kotak penalti. Nunez tidak rakus untuk melakukan percubaan, penyerang Uruguay itu melihat larian Elliott dan menghantar bola dengan sempurna.

Tanpa gentar, Elliott menyambut hantaran itu dengan yakin dan merembat masuk gol kemenangan! PSG terkedu, Liverpool bersorak.

PSG Hampir ‘Sembelih’ Liverpool!

Melihat permainan PSG pada separuh masa pertama, ramai menjangkakan mereka akan menang dengan jaringan besar. Berbekalkan 10 kemenangan berturut-turut dan 21 gol dalam 4 perlawanan sebelum ini, pasukan bimbingan Luis Enrique bermain seperti harimau lapar.

Fabian Ruiz, Vitinha dan Joao Neves mengawal bahagian tengah dengan begitu dominan sehingga Liverpool tidak sempat bernafas. Setiap kali Liverpool cuba menyerang, bola segera dirampas kembali.

Ousmane Dembele, Kvaratskhelia dan Bradley Barcola pula beraksi seperti mahu ‘mengajar’ Liverpool cara bermain bola. Dembele hampir membuka jaringan, Kvaratskhelia memperdaya pertahanan dengan aksi solo memukau manakala Barcola hanya perlu memperbaiki penyudahnya untuk meletakkan namanya di papan skor.

Jika bukan kerana kehebatan Alisson, Liverpool mungkin sudah ‘disembelih’ sebelum separuh masa pertama tamat.

Separuh Masa Terburuk Liverpool?

Tanpa ragu, ini adalah 45 minit terburuk Liverpool untuk musim ini! Mereka tidak mampu menyaingi intensiti PSG dan gagal mengekalkan bola lebih dari tiga hantaran.

Arne Slot yang mengharapkan pasukannya bermain lebih bertenaga selepas rehat hujung minggu ternyata kecewa. Liverpool dipaksa bertahan tanpa henti, manakala barisan serangan mereka langsung tidak mendapat bola berkualiti.

Nasib baik mereka mempunyai Alisson dan sedikit tuah!

Malam Cemerlang Nuno Mendes, Tapi…

Jika ada pemain PSG yang boleh berbangga dengan prestasinya, ia ialah Nuno Mendes. Sepanjang perlawanan, dia berjaya ‘mengunci’ Mohamed Salah. Larian pantasnya mematahkan cubaan Salah untuk melepasi pertahanan manakala ketahanan fizikalnya memastikan pemain Mesir itu tidak selesa di atas padang.

Ironinya, ketika Salah digantikan, Mendes jadi leka. Dia gagal membaca larian Elliott dan hanya mampu melihat bola menerjah jaring pada saat-sat akhir.

Bola sepak memang kejam. 90 minit cemerlang boleh terhapus dalam satu detik cuai.

Kesimpulan

PSG bermain lebih baik tetapi Liverpool yang membawa pulang kemenangan. Bola sepak bukan soal siapa bermain lebih cantik di atas padang tetapi siapa lebih berkesan.

Dengan satu serangan yang tepat, Liverpool kini berada di pusingan kedua dengan kelebihan tipis. PSG masih berpeluang membalas dendam di Anfield tetapi jika Alisson terus beraksi seperti malam ini, Luis Enrique mungkin perlu mencari formula baru untuk merobohkan ‘tembok kebal’ Liverpool.

BACA:  Klopp: Tumpas Di Tangan Napoli Persediaan Terbaik Hadapi Manchester City