Liverpool dan Manchester United Bersaing Untuk Dapatkan Marco Reus

Pemain sayap Borussia Dortmund, Marco Reus telah dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Perdana Inggeris dengan Liverpool dan Manchester United dilaporkan bersaing sengit untuk mendapatkan tandatangan pemain ini.

Reus juga dipetik berkata serius akan mempertimbangkan sebarang tawaran yang hadir untuk khidmatnya. Beliau sedang mencari pilihan kelab yang paling sesuai untuk beliau sertai musim hadapan, dan berkata terdapat 4 hingga 5 kelab luar yang begitu berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Kini pada usia 28 tahun, Reus sedang menjalani proses pemulihan selepas mengalami kecederaan serius pada bahagian lutut beliau. Kontraknya bakal tamat pada June 2019 tetapi Reus mahu mempertimbangkan tawaran kelab lain terlebih dahulu sebelum menandatangani kontrak baru bersama Borussia Dortmund.

Ini Zeus bukan Reus. Gambar : DocumentaryTube

Walaupun masih belum menerima tawaran rasmi dari Dortmund untuk sambungan kontrak, Reus sudah memikirkan masa depan beliau bersama kelab lain dan sudah pasti banyak tawaran yang bakal masuk sekiranya beliau mengambil keputusan untuk keluar hujung musim nanti. Ketika ditemuramah majalah GQ, beliau dipetik berkata,

“Ada 4 hingga 5 kelab luar yang amat berminat untuk mengambil saya. Pada 31 Mei tahun 2019, saya akan berumur 30 tahun. Kontrak saya selepas ini adalah kontrak besar yang terakhir dalam karier saya. Ini juga mungkin peluang terakhir untuk saya mencuba sesuatu yang baru.”

“Saya harus jujur disini kerana saya sendiri pun tidak tahu dimana saya akan bermain musim hadapan. Pada masa sekarang, saya sangat gembira untuk berada di Dortmund dan masih belum memikirkan apa yang bakal berlaku selepas 2019. Tetapi sudah pasti masanya akan tiba tidak lama lagi dimana saya akan duduk berbincang dan membuat keputusan mengenai halatuju karier saya selepas ini.”

Gambar – FootballGate

Satu kelab yang pastinya gembira untuk mendengar temuramah ini adalah Manchester United. Menurut laporan Sky Germany, Red Devils sedang memerhati dengan rapi setiap perkembangan berkenaan masa depan Reus di Signal Iduna Park.

Manchester United bukan asing dengan Dortmund. Mereka pernah berurusan untuk membawa masuk Henrikh Mkhitaryan ke Old Trafford pada musim pertama Jose Mourinho sebagai pengurus Red Devils. Walaupun mengharungi permulaan yang sukar, Mkhitaryan menjadi pemain penting dalam perjalanan Manchester United merangkul trofi Europa League musim lepas.

Seperti semua sedia maklum, Mourinho amat berminat untuk membawa masuk seorang pemain sayap ke dalam pasukannya. Percubaan untuk mendapatkan Ivan Perisic dari Inter beberapa bulan yang lalu gagal selepas pemain antarabangsa Croatia ini menandatangani kontrak jangka panjang yang baru di San Siro.

Marco Reus mungkin calon yang sesuai sebagai alternatif kepada Perisic. Walaupun agak berumur dan sering dilanda kecederaan, Mourinho percaya beliau mampu mengembalikan karier Reus ke tahap ketika Reus membimbing Dortmund mara sehingga ke final Liga Juara-Juara Eropah pada musim 2012/2013.

Gambar : Chai v.d. Laage/imago

Minat yang ditunjukkan Manchester United untuk mendapatkan Reus pasti tidak akan menggembirakan peminat Liverpool khususnya. Reus mempunyai hubungan yang sangat baik dengan pengurus Liverpool sekarang, Jurgen Klopp dan peminat Liverpool amat berharap Klopp mampu menggunakan pengaruhnya untuk memujuk Reus ke Anfield.

Marco Reus adalah produk akademi Borussia Dortmund tetapi mencipta nama bersama seteru setempat, Borussia Mongchengladbach. Beliau berjaya menjaringkan 41 gol dan 28 bantuan gol dalam 109 perlawanan ketika bersama Mongchengladbach. Tidak lama selepas itu, Dortmund terpaksa membayar sejumlah wang yang agak besar untuk membawa masuk kembali produk akademi mereka.

Reus mencapai tahap teringgi karier beliau ketika bermain di bawah Jurgen Klopp dimana beliau memenangi 2 DFL-Supercups, dan pada masa yang sama menjaringkan 53 gol dalam 121 penampilan.

Penulis

Artikel ini ditulis oleh Izzuddin Ismail untuk disiarkan di thesukan.com

Baca Juga

Baca Juga