Liverpool Dilaporkan Sudah Mengadakan Pertemuan Dengan Ejen Bintang Real Madrid

Liverpool pada ketika ini sedang mengintai kesempatan untuk menandatangani bintang Real Madrid, Marco Asensio pada jendela perpindahan musim panas ini.

The Reds dikatakan sudah memulakan rundingan bersama ejen Asensio tentang kebarangkalian untuk membawanya ke Anfield pada musim panas ini.

Kontrak pemain kebangsaan Sepanyol itu bersama Real Madrid hanya berbaki setahun sahaja lagi dan jika beliau tidak dijual pada musim panas ini, maka Los Blancos akan kehilangan beliau secara percuma musim hadapan.

Real Madrid jelas sekali mahu mencuba untuk mendapatkan sedikit keuntungan hasil penjualan Marco Asensio, berbanding melihat beliau pergi sebagai pemain bebas ejen musim panas akan datang.

Beberapa kelab sudah mula menunjukkan minat mereka mahu mendapatkan bintang Madrid itu, namun Liverpool dikatakan antara kelab yang sudah menghubungi ejen Asensio sendiri untuk berunding.

Menurut sumber laporan AS, The Reds mendedahkan kepada ejen pemain tersebut yang mereka sebenarnya sangat berminat mahu menandatangani Asensio pada jendela perpindahan musim panas ini.

Juara saingan Scudetto, AC Milan turut sama berminat mahu mendapatkan khidmat Asensio, namun pemain itu sendiri tidak begitu yakin untuk sertai gergasi Serie A itu.

The Rossoneri berbangga dengan kedua-dua Theo Hernandez dan Brahim, dengan mereka turut mengenal pasti Asensio sebagai calon paling sempurna untuk membantu jentera serangan mereka.

Hubungan erat antara Real Madrid dan AC Milan sebenarnya sedikit membantu juara saingan Serie A itu, namun tanda harga yang diletakkan oleh Juara Eropah itu sepertinya sukar untuk Milan turuti.

Real Madrid meletakkan tanda harga bernilai €40 juta untuk sesiapa yang berminat mahu mendapatkan Marco Asensio dan jelas sekali nilai tersebut sukar untuk dipenuhi oleh AC Milan.

Media Sepanyol, Sport turut mendakwa yang Arsenal juga sebenarnya sedang bersedia untuk melaburkan berapa sahaja untuk mendapatkan Asensio, apa lagi selepas melihat Liverpool turut berminat dengan pemain yang sama.

Asensio merupakan pemain yang sering dikaitkan dengan Liverpool dan Arsenal sejak beberapa musim kebelakangan ini, namun tidak ada sebarang rundingan yang berjaya dimuktamadkan.

Liverpool baru-baru ini telah menandatangani pemain penyerang prolifik dari saingan liga Portugal, Darwin Nunez dengan yuran perpindahan yang sungguh dasyat.

The Reds jelas sekali sangat terdesak mahu mencari pemain pengganti di posisi serangan, selepas Sadio Mane secara rasminya akan sertai Bayern Munich pada musim panas ini.

Marco Asensio juga sebenarnya boleh menjadi antara pemain yang bakal mampu mengisi kekosongan yang Mane tinggalkan, andai Liverpool benar-benar berusaha mendapatkan khidmatnya.

Walau bagaimanapun juga, memandangkan beliau kini sering menjadi pilihan kedua dibelakang Rodrygo, Valverde dan Vinicius, jelas sekali bintang Sepanyol itu mahu mencari kelab yang boleh menawarkan minit permainan kepadanya.

Bersama Liverpool, memandangkan adanya pemain seperti Mo Salah, Diaz, Nunez dan Diogo Jota, sepertinya Asensio sukar untuk mendapatkan minit permainan.

Tambahan pula, pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti sendiri sebelum ini pernah mendedahkan yang beliau akan berusaha memastikan Asensio akan menandatangani kontrak baru bersama kelab.

Melihat kepada hal tersebut, sepertinya sukar untuk AC Milan dan Liverpool untuk mendapatkan khidmatnya.

Walau bagaimanapun, memandangkan bersama Real Madrid sendiri beliau tidak mendapat tempat, maka tak mustahil untuk melihat Asensio bersetuju untuk meninggalkan Santiago Bernabeu.

Kebiasaannya selepas Liverpool bertemu ejen pemain itu sendiri, mereka akan segera menghantar bidaan rasmi dan tidak mustahil untuk melihat mereka akan mampu mendapatkan bintang Sepanyol itu pada musim panas ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:Β  Pochettino: Sukar Bandingkan Kane Dengan Salah