Liverpool telah melancarkan bidaan berjumlah £66.8 juta untuk mendapatkan penjaga gol AS Roma, Alisson dan sangat yakin bidaan tersebut akan dterima Roma.
Jika Roma menerima jumlah bidaan tersebut, Alisson bakal menjadi penjaga gol termahal dalam sejarah, meleburkan rekod yang dipegang rakan senegaranya, Ederson yang menyertai Manchester City pada tahun 2017 dengan harga £35 juta (€40 juta) dari Benfica.
Menurut Sky Italy, penjaga gawang No. 1 Brazil itu tidak akan menyertai skuad Roma yang bakal berangkat ke Amerika Syarikat tidak lama lagi untuk menghadapi International Champion Cup.
Liverpool masih lagi belum membuat sebarang kenyataan rasmi mengenai perkara ini tetapi umum mengetahui mereka sedang mencari seorang penjaga gol berkualiti bagi mengisi posisi No.1 kelab tersebut.
Jurulatih Liverpool, Jurgen Klopp menerima tekanan daripada peminat The Kops untuk berbelanja besar bagi mendapatkan penjaga gol bertaraf dunia sebelum musim baru bermula.
Penjaga gol sedia ada Liverpool, Loris Karius dan Simon Mignolet berterusan mempamerkan prestasi kurang meyakinkan, dan ia terbukti apabila Karius melakukan dua ‘schoolboy error’ dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah hujung musim lalu.
Karius menerima kecaman dari segenap ceruk dunia atas persembahan beliau pada malam tersebut yang telah menghadiahkan trofi Liga Juara-Juara Eropah kepada Real Madrid. Tambah parah, memori cinta luka Karius masih lagi terbuku dalam sanubari pemain tersebut sehingga terbawa ke perlawanan pra-musim Liverpool ketika menentang Tranmere yang berkesudahan dengan Liverpool menang 3-2.
Melihat kepada keadaan tersebut, Klopp akhirnya bertindak dalam pasaran pemain dengan menyasarkan Alisson sebagai calon utama untuk menjaga gawang Liverpool musim depan.
Liverpool pada mulanya melakukan bidaan berjumlah £62.4 juta terhadap Alisson tetapi Roma mahu lebih dari itu, dipercayai sekitar £66.6 juta untuk melengkapkan perpindahan tersebut. Perbincangan masih lagi berlangsung di antara kedua-dua belah pihak dan kata putus dijangka akan dapat dicapai dalam masa terdekat.
Sky Sports pernah melaporkan sebelum ini yang Liverpool tidak bercadang untuk melakukan bidaan terhadap Alisson musim panas ini kerana percaya pemain tersebut telah bersetuju untuk menyertai Real Madrid.
Tetapi segalanya berubah selepas kempen Piala Dunia 2018 berakhir kerana Real Madrid mengalihkan tumpuan mereka terhadap penjaga gol Belgium, Thibout Courtois untuk bersaing dengan Keylor Navas di Santiago Bernabeu.
Alisson kini berusia 25 tahun dan sudah bersama Roma selama dua tahun sejak menyertai kelab tersebut pada tahun 2016 dari kelab Brazil, Internacional.
Beliau melakukan penampilan sebanyak 49 perlawanan bersama Roma musim lepas dimana beliau membantu kelab tersebut mara sehingga peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah dan menamatkan kempen Serie A di kedudukan ke-3.