Diogo Jota, Darwin Nunez dan Joe Gomez berpeluang untuk kembali ke dalam skuad Liverpool untuk perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Bournemouth pada hari ini (Sabtu).
Ketua jurulatih Liverpool, Arne Slot, mengesahkan ketiga-tiga pemain tersebut akan menjalani latihan bersama skuad utama hari ini (Jumaat) sebelum keputusan dibuat mengenai penyertaan mereka dalam perlawanan tersebut.
Nunez terlepas perlawanan menentang PSV Eindhoven akibat masalah kesihatan, sementara Jota tidak beraksi sejak keputusan seri 1-1 menentang Nottingham pada Forest awal bulan ini. Gomez pula mengalami kecederaan hamstring ketika menentang West Ham pada penghujung 2024.
“Ketiga-tiga mereka akan berlatih hari ini,” kata Slot dalam sidang media pra-perlawanan pada Jumaat. “Persoalannya sekarang adakah mereka sudah cukup bersedia untuk bersama kami menghadapi Bournemouth?”
“Ia sesuatu yang perlu kita lihat hari ini kerana kita mempunyai lebih daripada 20 pemain yang tersedia. Kita sentiasa ada lebih daripada 20 pemain yang boleh diturunkan, jadi kita perlu membuat keputusan paling bijak, bukan sahaja untuk mereka tetapi juga untuk memastikan kita menang esok (Sabtu).”
Kehadiran semula Jota, Nunez dan Gomez memberikan suntikan positif kepada skuad Liverpool. Hanya Curtis Jones satu-satunya pemain senior yang masih dalam proses pemulihan selepas mengalami kecederaan ketika menentang Lille awal bulan ini.
Dengan kedudukan yang kukuh dalam saingan Liga Juara-Juara, Slot dapat merehatkan beberapa pemain utama dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan. Keadaan ini turut memberi peluang kepada pemain yang kurang minit permainan untuk beraksi termasuk Federico Chiesa.
Pemain antarabangsa Itali itu menamatkan perlawanan 90 minit buat pertama kali sejak menyertai Liverpool dari Juventus pada musim panas lalu. Persembahan cemerlangnya dalam perlawanan tersebut, ditambah dengan beberapa aksi menarik dari bangku simpanan, membuka peluang untuknya mendapat lebih banyak minit permainan dalam Liga Perdana.
“Ya, sudah tentu dia bersedia untuk bermain lebih banyak dalam Liga Perdana,” ujar Slot. “Jika dia boleh bermain 90 minit di peringkat Liga Juara-Juara, maka dia pasti boleh beraksi dalam Liga Perdana juga.”
Bagaimanapun, Slot mengakui persaingan untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama amat sengit. Chiesa perlu bersaing dengan Luis Diaz, Darwin Nunez, Cody Gakpo, Mohamed Salah dan Diogo Jota.
“Saya rasa anda akan setuju dengan saya bahawa mereka semua bermain dengan cukup baik,” tambahnya.
“Kali terakhir dia bermain 90 minit adalah kira-kira 6 atau 7 bulan lalu ketika Itali tewas kepada Switzerland dalam Euro. Ia satu pencapaian yang hebat untuknya tetapi ia juga hasil kerja keras pasukan kejurulatihan kami yang memastikan dia mencapai tahap kecergasan optimum tanpa perlu bermain banyak perlawanan persahabatan.”
“Jadi, pujian harus diberikan kepadanya atas usaha gigihnya, serta kepada pasukan perubatan kami yang membantu memastikan dia cergas untuk beraksi.”