Liverpool Mulakan Perbincangan Dengan PSG Bawa Mbappe Ke Anfield

Liverpool dilaporkan sedang melakukan perbincangan dengan PSG untuk membawa Kylian Mbappe ke Anfield secara pinjaman selama setahun.

Perkhabaran terbaru ini telah menggemparkan media di UK apabila ia mendapat liputan meluas termasuk oleh BBC Sport.

Pemain antarabangsa Perancis itu mempunyai baki kontrak 12 bulan di Parc des Princess dan telah memaklumkan niatnya untuk tidak kekal bersama jaguh Ligue 1 itu melangkaui Jun 2024.

Seperti semua sedia maklum Mbappe mengimpikan perpindahan ke Real Madrid. Namun demikian kelab Sepanyol itu tidak mempunyai sumber kewangan untuk menjana perpindahan Mbappe pada musim panas ini – sekitar £200 juta seperti dipinta PSG.

Ini bermakna Real Madrid sanggup menunggu sehingga musim hadapan untuk mendapatkan Mbappe secara percuma.

Pada masa yang sama PSG turut terdesak untuk menjual penyerang bintang mereka itu kerana tidak sanggup melihat Mbappe pergi secara percuma.

Baru-baru ini Mbappe sudah pun menolak bidaan tawaran rekod dunia £259 juta daripada kelab Arab Saudi, Al Hilal – walaupun dijanjikan dengan bayaran lumayan, selain laluan untuk menyertai Real Madrid selepas semusim.

Situasi itu menyebabkan PSG semakin marah dengan Mbappe. Namun kini Liverpool tiba sebagai pilihan lain apabila menawarkan untuk mendapatkan Mbappe secara pinjaman selama setahun beserta bayaran yang tinggi kepada PSG.

Tidak dinyatakan berapakah bayaran yang ditawarkan oleh kelab Merseyside itu, tetapi laporan Mail Sport mengatakan ia akan memanfaatkan semua pihak.

Tawaran tersebut membenarkan Mbappe meninggalkan Paris, PSG pula akan mendapat bayaran yang mereka mahukan, dan bekas pemain Monaco itu akan melengkapkan perpindahan ke Real Madrid musim hadapan.

Ini bukan kali pertama Mbappe dikaitkan dengan Liverpool. Perbincangan di antara kedua-dua pihak pernah dilakukan sebelum pemain itu memilih untuk menyertai PSG pada 2018.

Walaupun demikian, Mbappe tidak pernah henti-henti memuji Jurgen Klopp dan apa yang dibina oleh jurulatih Jerman itu bersama Liverpool.

BACA:  Kisah Liverpool Yakin Sudah Berjaya Beli Cristiano Ronaldo Pada Harga £4 Juta