Liverpool Sangat Berminat Mahu Mendapatkan Bintang Man Utd

Terdapat berita yang agak mengejutkan dari media UK tentang perpindahan pemain, yang mana Liverpool dikatakan sangat berminat untuk menandatangani bintang Manchester United, Marcus Rashford.

Pemain berusia 24 tahun itu merupakan produk akademi kelab, namun beliau pada ketika ini dilaporkan sedang mempertimbangkan tentang masa depannya.

Dek kerana jarang mendapat tempat dalam skuad utama, Marcus Rashford dikatakan mahu pergi dari Old Trafford dalam usahanya mahu mendapatkan minit permainan.

Menurut sumber laporan dari Fabrizio Romano, pemain kebangsaan England itu senantiasa profesional, namun beliau mahu penjelasan berkait peranannya bersama kelab pada ketika ini.

Dek kerana berita berkait masa depannya sedang tular di media sosial pada ketika ini, sumber terdekat Rashford ada mengatakan yang telefon bintang England itu tak henti-henti berdering kerana menerima panggilan dari beberapa kelab.

Barcelona dikatakan antara kelab yang sangat berminat untuk mendapatkan Marcus Rashford dengan mereka juga merupakan antara kelab yang tak henti-henti menghubungi bintang United itu.

Seandainya Man Utd benar-benar mahu melepaskan Rashford pergi, jelas sekali sudah banyak pasukan yang menanti untuk mendapatkan khidmat pemain penyerang itu.

Seteru utama setan merah, Liverpool juga dikatakan sangat berminat untuk mendapatkan Rashford, namun hal itu sepertinya agak sukar untuk berlaku.

Ini bukanlah kali pertama Rashford dikaitkan dengan bakal menyertai kelab lain, bahkan pemain kebangsaan England itu sendiri turut pernah bersetuju untuk sertai Barcelona sebelum beliau akhirnya membatalkan niatnya itu.

Gergasi Catalan itu pernah menghubungi Rashford tidak lama selepas bermulanya musim 2017/18, dengan bintang United itu dikatakan sangat teruja untuk berpindah ke Sepanyol.

Mundo Deportivo melaporkan yang Rashford sudah bersetuju untuk sertai Barcelona pada ketika itu, dengan beliau sangat berminat untuk melangkah lebih jauh dalam kariernya.

Laporan sama turut menyatakan yang abang Rashford, Dane dan Dwaine turut terlibat dengan rundingan tersebut, namun pada akhirnya bintang United itu mula meragui keputusan beliau untuk ke Nou Camp.

Beliau tak tahu sama ada dirinya mampu atau tidak untuk membiasakan budaya di sana serta bimbang akan ada masalah dari segi bahasa.

Kontrak Rashford bersama kelab pada ketika itu berbaki dua tahun sahaja lagi, dengan beliau terus bersetuju menandatangani kontrak baru bernilai £200,000 seminggu pada musim panas berikutnya.

Melihat Rashford sudah menandatangani kontrak baru, Barcelona kemudiannya memutuskan untuk membeli Antoine Griezmann dari Atletico Madrid pada musim panas yang sama.

Pada Disember tahun lalu, media Sepanyol, El Nacional mendakwa yang pengurus interim Man Utd, Ralf Rangnick sanggup untuk menjual Rashford, dengan Barcelona sekali lagi tampil mahu mendapatkan khidmatnya pada jendela perpindahan Januari lalu.

Selepas pemergian Sergio Aguero, Barcelona merasakan yang Marcus Rashford merupakan calon paling sesuai untuk menggantikan pemain penyerang Argentina itu.

Manchester United dikatakan meminta £60 juta dari Barcelona untuk melepaskan Marcus Rashford, dengan Barca menolak untuk membayar yuran perpindahan setinggi itu.

Terbaru, pengurus interim Manchester United, Ralf Rangnick tampil untuk menafikan dakwaan yang menyatakan bahawa Rashford kekurangan minit permainan di Old Trafford musim ini.

Pengurus dari Jerman itu menegaskan yang tidak ada masalah antara pemain dan kelab pada ketika ini, namun beliau turut ada menyatakan yang pihak kelab tiada masalah untuk lepaskan Rashford andai itu kemahuan beliau.

“Saya tak fikir yang dia tak cukup minit permainan.”

Jelas Ralf Rangnick.

“Dia dah main 13 ke 14 perlawanan sejak saya berada di sini sekarang, dia lebih kerap diturunkan dalam kesebelasan utama berbanding dari bangku simpanan.”

“Saya tak rasa ia satu masalah dan dia tak pernah kata apa-apa tentang itu sejak kami bercakap semalam (minggu lepas). Tapi jendela perpindahan dah tutup sekarang. Jika dia dan ejen atau keluarga dia ada berfikir untuk sertai kelab lain, maka mereka boleh lakukan itu, tapi tunggu musim panas nanti.”

“Saya bercakap dengan dia semalam, dan sehari sebelum itu, jadi saya tak tahu apa-apa tentang dia tak gembira. Dia tak kata apa-apa kepada saya, dia kata kepada saya yang dia gembira dan dia mahu lakukan yang terbaik untuk kelab. Tak ada langsung dia sebut tentang dia tak gembira di sini.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Real Madrid Berjaya Tewaskan Liverpool Untuk Dapatkan Aurelien Tchouameni