Liverpool Sedia Pecah Rekod Pembelian Kelab Untuk Caicedo

Liverpool yang semakin sendu dalam jendela perpindahan musim panas selepas bermula dengan bergaya sudah bertekad dan bersedia untuk memecahkan rekod pembelian kelab bagi mendapatkan tandatangan Moises Caicedo.

Liverpool kekal dalam perbincangan dengan Brighton & Hove Albion F.C. mengenai potensi perjanjian untuk mendapatkan Moises Caicedo sekiranya perpindahan ke Chelsea tidak menjadi kenyataan.

Kedua-dua kelab itu telah membincangkan terma kewangan dan struktur pembayaran perpindahan ketika Liverpool yang kedekut mempertimbangkan untuk membenarkan perbelanjaan tertinggi dalam sejarah kelab.

Ketika ini, Brighton & Hove Albion dilaporkan mahu menyelesaikan saga perpindahan Caicedo dalam tempoh yang terdekat selepas menolak beberapa bidaan Chelsea dan yang terbaru yang bernilai £80 juta.

Brighton & Hove Albion telah meletakkan £100 juta sebagai penanda aras dan nilai serta harga diri Caicedo bagi membolehkan bidaan diterima dan Caicedo akan dijual kepada pembida tertinggi.

Liverpool masih belum menghantar bidaan rasmi dan membuatkan Brighton ternanti-nanti dan tawaran itu dijangka dihantar sebelum tamat hari jumaat.

Bagaimanapun, jangkaan di Anfield sendiri adalah Caicedo akan berakhir di bawah kendalian Mauricio Pochettino memandangkan tempoh masa yang telah Chelsea usahakan untuk mendapatkan Caicedo.

Liverpool merasakan, memandangkan keadaan dan usaha mereka sendiri yang terus berlarutan dengan Romeo Lavia dari Southampton, pemain berusia 21 tahun itu adalah pemain yang terlalu bagus untuk dilepaskan begitu saja.

Jika tiada kemajuan antara Chelsea dan Caicedo dan pemain tengah Brighton itu berminat bermain di bawah Jurgen Klopp, Liverpool bersedia untuk memajukan perkara itu. Bayern Munich juga dilaporkan sedang meneroka perjanjian.

Difahamkan pemain antarabangsa Ecuador itu telah mengosongkan lokernya di Brighton lima hari lalu dan tidak kembali ke kelab itu sejak itu.

Dia bertapa di London menunggu perpindahan dipersetujui – dan lokasi itu memberi petunjuk Caicedo sepertinya bakal menyertai Chelsea, yang kini dijangka meningkatkan usaha mereka untuk menandatanganinya.

Keutamaan pemain adalah faktor penentu bagaimana kedua-dua kelab meneruskan dan Liverpool bersedia untuk bertindak jika mereka menerima galakan yang diperlukan. Dan hijack mungkin terjadi.

Pada jendela perpindahan Januari lalu lagi saga perpindahan Caicedo telah tercetus dan ketika itu kelab yang tergila-gilakan Caidedo adalah Arsenal namun Declan Rice akhirnya menjadi suri hati Arsenal.

Pada ketika itu, bukan lagi rahsia apabila Moises Caicedo telah menjadi buruan Arsenal dan bidaan daripada Arsenal telah ditolak oleh Brighton & Hove Albion walaupun pemain itu telah bersetuju dan sangat mahukan ke London.

Moises Caicedo melalui Instagram memberitahu Brighton bahawa dia mahu ‘mengambil’ ‘peluang hebat’ yang diberikan kepadanya oleh pasukan hebat dan berkaliber seperti Arsenal dan Chelsea.

Pemain berusia 21 tahun itu berkata dia ‘berterima kasih’ kepada Brighton’ tetapi memutuskan untuk mengambil keputusan sendiri selepas Seagulls menolak tawaran daripada gergasi Liga Perdana itu.

Selepas melakukan perkara bodoh dan memburukkan situasi, Caicedo terus kekal di Brighton dan kini menjadi buruan Chelsea dan Liverpool pula.

Baca Juga

Baca Juga