Perlawanan antara Liverpool dan Paris Saint-Germain (PSG) sememangnya dijangka penuh aksi mendebarkan dan ternyata ia tidak mengecewakan.
Selepas ketinggalan 1-0 dalam aksi pertama di Paris minggu lalu, PSG mengheret perlawanan ke masa tambahan hasil jaringan awal Ousmane Dembele. Namun, selepas tambahan masa yang penuh debaran tanpa sebarang gol tambahan, segalanya ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.
Di sinilah bintang utama PSG, Gianluigi Donnarumma menunjukkan kehebatannya. Dia berjaya menyelamatkan sepakan Darwin Nunez dan Curtis Jones, sekali gus membantu PSG meraih kemenangan 4-1 menerusi sepakan penalti dan mara ke suku akhir Liga Juara-Juara.
Mari kita lihat detik-detik penting perlawanan ini.
Drama Sepakan Penalti
Nasib sudah memihak kepada PSG seawal lambungan syiling. Mereka mendapat peluang mengambil sepakan penalti menghadap penyokong sendiri di bahagian Anfield Road, memberi kelebihan psikologi kepada skuad kendalian Luis Enrique.
Vitinha memulakan sesi sepakan penalti dengan penuh yakin, menewaskan Alisson dan membuat penyokong Liverpool tidak senang duduk. Mohamed Salah membalas dengan penuh bergaya, menewaskan Donnarumma di sebelah kanan.
Goncalo Ramos tidak menunjukkan sebarang tekanan dan menyempurnakan sepakan dengan tenang ke kanan gawang Alisson.
Malang terus menimpa Darwin Nunez. Pemain yang sudah sedia bergelut dengan nasib buruk musim ini menyepak ke arah kiri Donnarumma dan penjaga gol Itali itu menepis dengan cemerlang. Ousmane Dembele pula menunjukkan ketenangan luar biasa, merembat deras ke sudut kanan atas gawang Liverpool.
Curtis Jones cuba menghidupkan kembali harapan Liverpool tetapi Donnarumma sekali lagi menjadi duri dalam daging, menepis bola yang hampir masuk ke sudut kiri bawah gawang.
Akhirnya, Desire Doue mengakhiri perlawanan dengan satu rembatan padu untuk memastikan PSG mara ke suku akhir dan mematahkan hati ribuan penyokong di Anfield. Liverpool sebelum ini pernah memenangi 4 daripada 5 penentuan penalti dalam pertandingan Eropah dan kini rekod mereka menjadi 4 daripada 6.
Liverpool Terluka… Tapi Tidak Boleh Terus Bersedih
Perlawanan ini ibarat perlawanan akhir dan ia jelas membuktikan kualiti kedua-dua pasukan.
Sepanjang 2 perlawanan, Liverpool dan PSG saling bersaing dengan hebat. Namun pada akhirnya, Liverpool terpaksa menerima hakikat bahawa mereka tersingkir dari pertandingan ini.
Lebih menyakitkan, mereka sebenarnya menunjukkan prestasi luar biasa di peringkat kumpulan. Liverpool menamatkan saingan di tempat teratas daripada 36 pasukan tetapi nasib tidak menyebelahi mereka apabila diundi menentang pasukan gergasi seperti PSG di pusingan 16.
Namun, tiada masa untuk bersedih. Pada hjung minggu ini, mereka bakal beraksi dalam final Piala Carabao menentang Newcastle United di Wembley – perlawanan yang kini menjadi semakin penting. Liverpool perlu bangkit dan memastikan trofi pertama di bawah kendalian Arne Slot berada dalam genggaman mereka.
Dalam saingan Liga Perdana Inggeris, mereka sudah semakin hampir bergelar juara dengan 9 perlawanan berbaki. Tetapi, skuad berbakat ini perlu membuktikan bahawa mereka layak mendapat lebih daripada satu trofi musim ini.
Kekecewaan ini pahit tetapi masa depan Liverpool masih cerah.
Sehebat Manakah PSG Sebenarnya?
Sebelum perlawanan ini, Arne Slot menyifatkan PSG sebagai pasukan terbaik di Eropah untuk musim ini. Kenyataan yang agak mengejutkan memandangkan Liverpool mendahului liga dengan 15 mata dan menamatkan fasa kumpulan Liga Juara-Juara di tempat pertama, manakala PSG hanya layak ke pusingan kalah mati di tempat ke-15.
Namun, PSG telah meningkat dengan hebat selepas permulaan musim yang perlahan, di mana mereka tewas kepada Arsenal, Atletico Madrid dan Bayern Munich dalam 5 perlawanan pertama. Prestasi mereka dalam 2 perlawanan menentang Liverpool menunjukkan mereka semakin matang sebagai satu pasukan.
Strategi pembelian pemain mereka juga membuahkan hasil. Pemain seperti Vitinha, Nuno Mendes, Willian Pacho, Bradley Barcola, Joao Neves, Desire Doue dan Khvicha Kvaratskhelia menjadi tunjang utama PSG selepas era “bling-bling” Neymar, Lionel Messi dan Sergio Ramos berakhir.
Pada musim lepas mereka berjaya ke separuh akhir dan kali ini mereka tampak lebih mantap di bawah kendalian Luis Enrique. Adakah ini tahun PSG akhirnya menjulang trofi Liga Juara-Juara? Berdasarkan prestasinya, mereka kini pasukan yang sukar digugat.
Liverpool Ditimpa Musibah Kecederaan
Seakan sudah jatuh ditimpa tangga, Liverpool turut menerima berita buruk apabila dua tonggak pertahanan mereka, Trent Alexander-Arnold dan Ibrahima Konate mengalami kecederaan dalam perlawanan ini.
Alexander-Arnold kelihatan tidak selesa selepas terjatuh dengan cara kurang baik. Malah, dia mengambil masa hampir 4 minit untuk berjalan keluar dari padang sambil memegang buku lali. Dengan final Piala Carabao hanya tinggal beberapa hari lagi, keadaannya amat membimbangkan.
Lebih memilukan, ia boleh menjadi musim terakhirnya bersama Liverpool kerana kontraknya hanya berbaki 3 bulan setengah dan Real Madrid dilaporkan sedang mengintai peluang untuk mendapatkan khidmatnya.
Konate juga mengalami kecederaan yang mencetuskan kebimbangan untuk Slot. Sekiranya kedua-dua pemain ini tidak dapat beraksi, Liverpool mungkin terpaksa bergantung kepada pemain muda seperti Jarell Quansah di Wembley nanti.
Dembele, Pemusnah Pertahanan Liverpool
Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Ousmane Dembele kini berada dalam prestasi terbaik dalam kariernya.
Dengan 21 gol pada tahun 2025 setakat ini, dia menjadi pemain paling prolifik di 5 liga utama Eropah. Jaringan awalnya di Anfield juga antara yang paling mudah – hanya satu tolakan jarak dekat ke dalam gawang.
Namun, kekuatan sebenar Dembele bukan hanya pada penyudahnya tetapi juga pada pergerakan lincahnya yang sering membuatkan pertahanan lawan pening kepala. Beliau kerap turun ke tengah padang untuk mencipta kelebihan jumlah pemain, sesuatu yang jarang diberi kredit dalam permainannya.
Ketika jaringan tunggal perlawanan terhasil, dia memulakan gerakan dari garisan tengah sebelum menghantar bola kepada Bradley Barcola, yang kemudian memberikan hantaran lintang untuk disempurnakan oleh Dembele.
Virgil van Dijk mungkin boleh dipersalahkan kerana tidak mengawal Dembele tetapi kadangkala kita harus memberi kredit kepada kepintaran taktikal lawan.
Apa Kata Pengendali Pasukan?
Arne Slot tetap berlapang dada menerima kekalahan ini dan memuji kualiti yang ditunjukkan PSG.
“Itu adalah perlawanan terbaik yang saya pernah terlibat. Kami bermain dengan sempurna kecuali dari segi menjaringkan gol,” katanya.
Sementara itu, Luis Enrique juga mengakui bahawa kedua-dua pasukan layak mara ke peringkat seterusnya.
“Mereka lebih baik daripada kami di sini tetapi pasukan saya menunjukkan karakter hebat di stadium yang penuh bersejarah ini,” katanya.
Walaupun kecewa, Liverpool tidak boleh terus meratap. Masih ada peluang untuk mereka menutup musim ini dengan gemilang.