Peminat Liverpool berharap pasukannya akan menang semua empat trofi utama musim ini – Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara, Piala FA dan Piala Carabao. Tetapi selepas kekalahan 1-0 kepada Plymouth Argyle, impian itu telah musnah.
Harapan Quadruple Musnah
Memenangi empat trofi dalam satu musim bukan sesuatu benda yang mudah. Manchester City yang mahakuat kuat pun hanya berjaya menang 3 trofi. Liverpool hampir melakukannya pada musim 2021-22, tetapi tewas kepada Real Madrid dalam final Liga Juara-Juara dan malah gagal di saingan liga.
Pada musim ini, Liverpool berada di puncak Liga Perdana. Mereka juga mencatat rekod hebat dalam Liga Juara-Juara dan baru sahaja layak ke final Piala Carabao. Dengan prestasi sepadu ini ramai mula percaya Liverpool boleh melakar sejarah.
Namun, jadual yang padat memaksa pengurus Arne Slot untuk menggilirkan pemainnua. Dalam 37 perlawanan sebelum ini, Slot berjaya melakukannya dengan baik. Tetapi kali ini, dia merehatkan terlalu ramai pemain utama dan akibatnya, Liverpool kalah.
Slot Bereksperimen, Liverpool Tersungkur
Beberapa pemain penting seperti Mohamed Salah, Virgil van Dijk, Alexis Mac Allister dan Andy Robertson tidak dibawa ke perlawanan menentang Plymouth. Curtis Jones, satu-satunya pemain senior diletakkan di bangku simpanan. Malah dia tidak digunakan walaupun pasukannya sedang bergelut di atas padang.
Pemain muda seperti Trey Nyoni (17 tahun) dan James McConnell (20 tahun) diberi peluang bermain namun mereka kurang berpengalaman dan sukar mengatasi pertahanan Plymouth yang bermain dengan penuh disiplin.
Liverpool hampir tidak mencipta peluang sepanjang perlawanan. Satu-satunya ancaman serius hanya datang pada minit-minit akhir tetapi percubaan McConnell tersasar. Percubaan dari Diogo Jota dan Darwin Núñez juga dinafikan penjaga gol lawan.
Adakah Kekalahan Ini Ada Hikmahnya?
Slot pernah berkata, “tiada perkara baik yang datang daripada kekalahan.” Tetapi dia mungkin melihatnya dari sudut positif. Pemain utama yang direhatkan akan kembali cergas dan menang lawan Everton pada perlawanan seterusnya.
Ketika ditanya sama ada dia menyesal dengan pemilihan pemain, Slot menjawab:
“Tidak, kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku jika saya turunkan pemain utama. Lawan bermain dengan bola panjang dan perebutan second ball, memang sukar untuk mana-mana pasukan.”
Slot juga menjelaskan bahawa pemain senior seperti Harvey Elliott, Federico Chiesa, Kostas Tsimikas dan Wataru Endo perlu lebih banyak bermain untuk mendapatkan rentak. Namun, pemain ini gagal memberi impak. Elliott mencatat hantaran terburuk untuk musim ini (71%), Chiesa hanya berjaya melepasi 1 daripada 10 pemain lawan dan semua hantaran silang Tsimikas tidak menjadi.
Apa Seterusnya untuk Liverpool?
Kekalahan ini menambah tekanan kepada Liverpool dalam 3 pertandingan yang masih mereka sertai. Jika mereka mahu terus mengejar kejuaraan, mereka tidak boleh lagi melakukan kesilapan seperti ini.
Namun, mereka masih berpeluang menebus kesilapan ini. Dengan pemain utama kembali dalam perlawanan menentang Everton, tiada alasan lagi – mereka mesti menang!