Lord Bendtner Umum Persaraan Dari Dunia Bola Sepak

Nicklas Bendtner telah mengesahkan yang beliau akan bersara dari dunia bola sepak profesional di usianya 33 tahun ketika ini.

Penyerang berusia 33 tahun itu telah membuat 81 penampilan untuk skuad kebangsaan Denmark sepanjang 12 tahun karier profesionalnya.

Beliau mula mencipta nama di pentas saingan bola sepak ketika beraksi bersama Arsenal, Juventus, Wolfsburg dan Rosenberg.

Beliau sebelum bersara telah menyertai Tarnby FF’s ‘M+32 Old Boys’, sebuah kelab bola sepak yang beraksi dalam saingan division keempat Denmark.

Namun selepas membuat beberapa penampilan bersama kelab tersebut, beliau memutuskan untuk bersara terus dari bermain bola sepak.

Bendtner ketika ini sedang membintangi rancangan television beliau sendiri bersama kekasihnya, Philine Roepstorff dan beliau telah mengumumkan keputusannya untuk menggantung boots ketika sedang bersiaran dalam salah satu episod rancangan tersebut.

“Saya rindukannya setiap hari, tapi saya juga sedar yang tentu ada tarikh akhir untuk mengakhiri pekerjaan ini.”

Jelas beliau dalam rancangan Bendtner & Philine.

“Saya rasa saya sudah menghabiskan banyak waktu untuk memahami yang semuanya dah berakhir sekarang. Saya akan cari sesuatu yang lain yang akan beri saya apa yang boleh sepak telah beri pada saya sepanjang tempoh bertahun-tahun ini.”

Bekas pemain kebangsaan Denmark itu mungkin akan terus melibatkan diri dalam dunia bola sepak selepas ini.

Ia kerana beliau telah mendedahkan yang dirinya ketika ini sedang melengkapkan proses untuk mendapatkan sijil kejurulatihan.

“Bola sepak merupakan hal terbesar dalam hidup saya dan saya tak boleh tinggalkannya.”

Tambah beliau lagi.

“Sebab itulah saya sekarang dalam proses untuk melengkapkan kursus kejurulatihan saya. Saya harap ia akan membantu saya atau mungkin ia lebih berguna berbanding ketika saya bergelar pemain.”

“Jalan saya pilih, saya akan sentiasa menjadi sebahagian dari dunia bola sepak.”

Bekas penyerang Arsenal itu terpaksa berehat panjang sebelum ini kerana tidak mempunyai kelab, selepas meninggalkan Copenhagen pada tahun 2019.

Beliau hanya bertahan selama tiga bulan sahaja dalam aksi saingan Danish Superliga dengan menandatangani kontrak pada September dan meninggalkan kelab pada Disember tahun sama.

“Memang tak dapat dinafikan yang saya ada impian untuk mendapatkan lebih banyak minit permainan dan perjanjian yang lebih panjang.”

Jelas Bendtner ketika meninggalkan Copenhagen.

“Tapi saya menghormati sepenuhnya keputusan yang dibuat oleh Stale Solbakken (pengurus Copenhagen), dan saya tak menyesal sama sekali dengan apa yang berlaku ketika ini.”

“Sekarang saya mahu memikirkan tentang masa depan saya dan berfikir masak-masak tentang, adakah saya perlu mencuba sesuatu pengembaraan yang baru dalam bola sepak atau berhenti dan buat satu hal yang baru dalam dunia bola sepak.”

Selamat bersara Lord Bendtner! Anda bukan tidak bagus, tapi dunia bola sepak ketika ini yang tak setanding dengan anda. Selamat bersara!

Baca Juga

Baca Juga