Lovren Harap Liverpool Lalui Kempen Liga Musim Ini Tanpa Sebarang Kekalahan

Pemain pertahanan Liverpool, Dejan Lovren berharap pasukannya akan melalui kempen Liga Perdana Inggeris musim ini tanpa mengalami sebarang kekalahan, sekaligus mengulangi pencapaian skuad ‘Invincible’ Arsenal musim 2003/2004.

Selepas melalui 17 perlawanan liga, Liverpool muncul satu-satunya pasukan yang belum tewas dalam Liga Perdana Inggeris dan kini sedang mengungguli carta liga dengan kelebihan satu mata di hadapan juara bertahan, Manchester City.

Kenyataan yang berani dari pemain yang mendakwa dirinya pemain pertahanan terbaik di dunia

Dalam perlawanan terakhir The Reds, mereka dengan mudah menjinakkan pasukan Setan Merah di gelanggang sendiri dengan kemenangan 3-1. Kemenangan itu juga menyebabkan pengurus bermulut lantang, Jose Mourinho hilang kerjanya di Old Trafford dan tempat beliau telah diganti Ole Gunnar Solskjaer.

Manchester City pula mengalami kekalahan pertama mereka musim ini ketika berkunjung ke Stamford Bridge hampir dua minggu lalu dimana mereka tewas 2-0 kepada Chelsea hasil jaringan N’Golo Kante dan David Luiz.

Selepas melihat prestasi cemerlang Liverpool musim ini, Lovren menaruh harapan skuad yang dibimbing Jurgen Klopp itu mampu mengulangi pencapaian Arsenal lebih 14 tahun lalu dengan mengharungi seluruh musim tanpa sebarang kekalahan.

Mampukah Liverpool mengulangi pencapaian anak buah Arsene Wenger dan merangkul trofi EPL bersalut emas ?

“Saya boleh kata ia merupakan keputusan yang baik untuk kami [merujuk kepada perlawanan Manchester United].”

“Saya berharap kami tidak akan ditewaskan sehingga penghujung musim ini.”

“Sudah tentu ia merupakan satu cabaran tetapi itulah perkara yang kami mahu. Sebab itulah kami menyertai Liverpool, kerana kami tahu kami mampu melakukannya.”

“Arsenal pernah melakukannya sebelum ini, jadi mengapa tidak kami ?”

Lovren juga percya Liverpool mungkin perlu melalui kempen liga musim ini tanpa sebarang kekalahan jika mereka berniat untuk menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris memandangkan kualiti yang ada pada pesaing utama mereka iaitu Manchester City.

Lovren mendakwa beliau tidak dapat melihat sebarang kelemahan pada skuad Manchester City dan turut mengingatkan Tottenham Hotspurs juga tidak jauh dari persaingan.

“Saya tidak pasti sama ada Manchester City memiliki sebarang kelemahan. Musim lepas mereka memenangi liga dengan kelebihan 19 mata. Mereka tahu bagaimana untuk menghadapi keadaan walaupun tewas.”

“Terdapat banyak lagi perlawanan di hadapan kami dan juga Manchester City. Ia bakal menjadi perlumbaan yang sengit dan bukan Manchester City sahaja yang terlibat. Tottenham hanya beberapa mata sahaja di belakang.”

Lovren dakwa Liverpool perlu unbeaten musim ini kalau nak menang liga sebab City power sangat

“Anda tidak boleh duduk dan enjoy sambil berkata, ‘Kami mempunyai 5 atau 6 mata di hadapan pasukan lain’. Bukan itu caranya. Setiap perlawanan yang kami lalui bagaikan final.”

Untuk rekod, Arsenal  muncul pasukan pertama dalam era Liga Perdana Inggeris untuk tidak mengalami sebarang kekalahan sepanjang musim. Mereka melakukannya pada musim 2003/2004 di bawah Arsene Wenger dan menamatkan musim tersebut 11 mata di hadapan Chelsea.

BACA:  Legenda Liverpool Desak Raphinha Dibawa Ke Anfield Untuk Beri Tekanan Kepada Salah