Pemain pertahanan Croatia, Dejan Lovren berkata pasukannya bermain bola sepak lebih baik daripada Perancis ketika mereka tumpas dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2018 hujung minggu lalu.
Dalam perlawanan yang sarat dengan gol, Perancis berjaya mencatatkan kemenangan 4-2 ke atas Croatia sekali gus menjulang trofi Piala Dunia buat kali kedua. Walaupun menang, terdapat beberapa pihak mendakwa Perancis bernasib baik kerana beberapa keputusan pengadil dilihat berpihak kepada Les Blues.
Antara insiden yang menjadi perhatian adalah keputusan pengadil untuk menganugerahkan penalti kepada Perancis ketika kedudukan terikat 1-1. Pemain sayap Croatia, Ivan Perisic didakwa menampan bola dengan tangan walaupun ia tidak disengajakan.
Pengadil perlawanan, Nesto Pitana pada mulanya tidak memberikan penalti tetapi selepas diprotes pemain Perancis, beliau memberhentikan perlawanan dan merujuk kepada VAR untuk menilai kembali situasi tersebut.
Selepas berfikir agak lama, Pitana memberikan penalti kepada Perancis dan Antoine Griezmann tenang menyempurnakan sepakan penalti tersebut untuk Perancis kembali mendahului 2-1.
Pemain pertahanan Liverpool, Dejan Lovren kecewa dengan beberapa keputusan pengadil dan mendakwa Croatia bermain bola sepak lebih baik daripada Perancis dalam perlawanan tersebut.
“Perancis mempunyai satu taktik dan anda harus menghormatinya. Mereka menunggu peluang untu menjelma dan berjaya menjaringkan gol. Perancis menggunakan taktik yang sama dalam setiap perlawanan.”
“Saya berasa agak kecewa kerana kami tewas dalam perlawanan tersebut walaupun kami bermain bola sepak lebih baik daripada mereka.”
Pemain pertahanan Perancis, Samuel Umtiti menanduk bola dari sepakan penjuru tetapi bola tersebut mengenai tangan Perisic yang berada di belakangnya. Perisic berada agak dekat dengan Umtiti jadi mustahil untuk beliau mengelak bola tersebut dari terkena tangannya.
Lovren yang mengaku beliau merupakan salah seorang pemain pertahana terbaik dunia selepas menewaskan England dalam peringkat separuh akhir mendakwa Croatia bermain bola sepak yang cantik dan mengkritik penggunaan VAR dalam kejohanan tersebut.
“Perancis merupakan salah satu pasukan pilihan untuk memenangi Piala Dunia dan mereka berjaya melakukannya. Tetapi tiada siapa yang benar-benar faham peraturan permainan. Perisic tidak mempunyai sebarang peluang untuk bertindak balas jadi mengapa pengadil memberikan sepakan penalti ?”
“Sudah tentu VAR harus dinaik taraf menjadi lebih baik. Kadang-kadang ia penalti dan kadang-kadang ia bukan penalti. Saya benar-benar tidak faham.”
“Banyak orang berkata ia bukan penalti tetapi apa yang mampu kami lakukan sekarang ?”
Lovren mengharungi musim yang agak baik bersama Liverpool musim lepas dimana beliau beraksi dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah disamping memastikan Liverpool berada dalam kelompok empat pasukan teratas di Liga Perdana Inggeris.