Lucas Moura Menang Pemain Terbaik Liga Perdana Inggeris Bulan Ogos

Pemain sayap Tottenham Hotspurs, Lucas Moura dinamakan sebagai pemain terbaik Liga Perdana Inggeris bagi bulan Ogos selepas mempamerkan aksi yang cemerlang dalam beberapa perlawanan liga sebelum ini.

Dengan ketiadaan Heung-Min Son yang mewakili Korea Selatan dalam Sukan Asia, Mauricio Pochettino meletakkan Moura bermain di bahagian sayap Spurs. Moura membalas kepercayaan yang diletakkan terhadapnya dengan menjaringkan 3 gol dari 4 perlawanan liga setakat ini.

Moura menyumbang 3 gol dari 4 perlawanan setakat ini

Bekas pemain Paris-Saint Germain ini menjaringkan gol pertama beliau untuk Spurs ketika menang 3-1 ke atas Fulham 3 minggu yang lalu. Moura juga memainkan peranan penting ketika Spurs mencatatkan kemenangan mengejut di Old Trafford minggu lalu dengan Moura menyumbang 2 gol. Spurs menang 3-0 pada hari tersebut dan Moura dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Pochettino kini berdepan tugas sukar untuk menentukan pemain mana yang lebih layak untuk bermain di bahagian sayap kanan memandangkan Son sudah pon kembali dari tugasan antarabangsa beliau.

Son mendapat apa yang dihajatinya apabila Korea Selatan muncul pemenang pingat emas bagi sukan bola sepak di Sukan Asia 2018. Dengan kemenangan ini, Son akan dikecualikan dari menghadiri khidmat negara selama dua tahun yang diwajibkan ke atas setiap lelaki dari umur 18 hingga 35 tahun.

Lucas Moura aka Setan Merah’s slayer

Bagi anugerah pengurus terbaik Liga Perdana Inggeris bagi bulan Ogos, ia jatuh ke tangan pengurus Watford, Javi Garcia. Beliau berjaya membawa Watford menduduki tangga ke-3 liga ketika ini selepas mencatatkan 4 kemenangan dari 4 perlawanan.

Watford berkongsi mata yang sama dengan pendahulu liga, Liverpool dan Chelsea dan hanya dipisahkan dengan perbezaan jaringan sahaja.

Watford berjaya menewaskan Brighton, Burnley, dan Crystal Palace sepanjang bulan Ogos. Spurs menjadi mangsa terbaru Watford minggu lalu dimana mereka bangkit dari ketinggalan untuk mencatatkan kemenangan 2-1 di hadapan penyokong sendiri.

Javi Garcia menang pengurus terbaik selepas menang kesemua perlawanan setakat ini

Sebaik sahaja diumumkan pemenang bagi anugerah pengurus terbaik, Garcia berkata kemenangan ini merupakan hasil kerja keras para pemainnya dan turut memuji pemainnya.

“Kami merupakan satu keluarga yang gembira. Kami tidak boleh melihat terlalu jauh ke hadapan. Buat masa sekarang, kami perlu menikmati perjalanan ini.”

“Saya berasa amat gembira dengan anugerah ini. Anugerah ini merupakan hasil keputusan baik pasukan ini dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini. Ianya hadir berkat kerja semua pihak yang berada di kelab ini.”

BACA:  Penyokong Liverpool Bergurau Mengusik Pemain United Menjelang Sepak Mula Aksi Babak Kedua